Saturday, November 13, 2010

Rahasia

baru-baru ni emak den ado pergi ke Putrajaya, mengahadir satu seminar tertutup, di dewan yang juga tertutup, yang dikawal rapi oleh 'bodyguard' yang cukup berbody-body..dan semua pintu telah dijaga dan ditutup melainkan satu pintu sahaja iaitu pintu menuju ke tandas..kobarnya siapa yang dah masuk tidak dibenarkan sama sekali untuk keluar semula sehinggalah selesai seminar tersebut..muehehe..bukan itu sahaja, semua hadirin dikehendaki menutup semua telefon serta tidak dibenarkan merakam apa-apa yang berlaku dalam dewan tersebut..ish3..setiap gerak geri dipantau..semua maklumat dirahsiakan kalah program tamrin atau nama famousnya program Sirr kelolaan #$% atau nama zahirnya Jemaah Islam Kampus..hanya orang tertentu sahaja yang dibenarkan masuk iaitu orang yang dah daftar untuk mengikuti program tersebut..memang sungguh kemas perjalanan program tersebut..tajuk seminar tersebut adalah.....jeng3..Rahsia dan kupasan perkara 153, perlembagaan persekutuan yang dibentangkan oleh bekas org UM katanya..siapa yang ambil bidang sains politik ke, siasay syar'iyyah ke, undang-undang silalah semak perlembagaan tersebut..hu3..sy budak falsampah, jadi tak tau benda ini semua dan tidak mahu masuk campur..mak den ajak den pergi lain kali, den pun apo layi, offer diri la..ye la. hidup ini kena pandai kaji, kaji, dan kaji supaya senang nak ijtihad nanti..

antara sajak kot yang ditinggalkan adalah berbunyi seperti berikut..layannnn...zuzzzzz..kurangkan kontrovesi tingkatkan prestasi..


Bangkitlah Bangsaku



Berkumpul kita di sini
Untuk mencari roh melayu
Pejuang-pejuang silam
Kan kita tadah keringat perjuangan
Akan kita hirup penat dan jerih
Akan kita sedut lelah dan eltih
Akan kita pungut laungan tangisan
Akan kita gubah kata-kata keramat
Kita bina sebuah kebangkitan
Kita dirikan sebuah perjuangan
Untuk warisan yang akan kita tinggalkan



Adakah dayus kita bersatu
Demi anak dan cucu
Jangan biarkan mereka sengsara
Angkara sengketa sesame kita
Jangan biarkan mereka meratap
Kerana dendam dan kesumat



Adakah berdosa kita bersama
Demi bangsa dan agama
Jangan biarkan bangsa diinjak
Jangan biarkan agama dipijak
Jangan biarkan Negara dipajak
Kerana khianat-mengkhianati sesama mereka


Adakah salah kita berkampung
Untuk sebuah perjuangan agung
Supaya kuasa kita yang junjung
Agar kita tetap disanjung
Walau alam sudah bergulun



Tika badai melanda pantai
Jangan kita asyik lalai
Kerana ombak akan menghayun
Meruntuh gunung sampai penghujung


Tika bayu menghembus daratan
Jangan kita leka dibuai
Kerana taufan akan mendatang
Memukul ganas tanpa belas



Ayuh teman ayauh kawan
Kita nyalakan semangat membara
Dengan darah dan nanah
Dari cala dan luka


Kita oborkan semangat menjulang
Dengan ratap dan pilu
Dari duka dan sengsara


Kita tegakkan panji bangsa
Dari cebisan baju pesaka
Bertompok merah darah


Kita tiupkan kebangkitan ini
Dengan nafas-nafas terakhir
Pejuang-pejuang bangsa

Rumah kita kelihatan teguh, tapi rapuh



Tidak berhati-hati, bila-bila masa runtuh
Anai-anai semakin banyak di dalamnya
Kitalah yang bersalah membiarkannya berleluasa
Sehingga kerakusan saban hari semakin marak berapi
Serangan terkini ialah tiang seri yang tegak berdiri
Nampaknya yang masih ada hanyalah tapak asas rumah ini
Itupun telah retak di sana sini
Pagar yang mengelilingi yang diharap dapat melindungi
Kiranya pagar yang makan padi

Sementara anai-anai bermaharajalela di dalamnya
Di luar ular lidi menjadi naga bercabang lidah
Menunggu saja untuk menyambar apa yang ada

Sementara semua itu terjadi
Kita penghuni di rumah ini
Ada yang bertelagah sesama sendiri
Ada yang hanyut dalam angan-angan dan mimpi
Ada yang di adudomba tanpa sedar
Ada yang bergendang dan asyik menari
Ada yang terus menghimpun harta dari punca yang diragui
Sekali sekala saja kita menyalak
Itupun bila digertak
Salakan yang nyaring tidak lagi digeruni
Mereka penuh yakin kita tidak bertaring lagi
Yang tinggal hanya gusi

Inilah satu-satunya rumah kita amanah Allah
Tiada faedah berdegar-degar berpidato tanpa berbuat apa
Cukuplah mendabik dada berbangga
Rumah ini tampak gagah zahirnya sahaja
Hakikatnya sudah banyak yang rapuh, yang lapuk, yang lekang
Jika masih jua tidak peka, tidak dikekang
Masa akan tiba
Kita tuan hanya pada nama
Tiada lagi bertakhta

Habsah Hassan – 23 Januari 2006

Updated

Sudah berbulan-bulan sy tidak memperbaharui catatan sy..ini kerana diri ini sudah ketandusan idea..bukan apa, matlamat blog sy diwujudkan untuk bercerita atau berkata-kata tentang isu semasa..isu semasa kini sungguh banyak tetapi semua isu berkait dengan politik, politik kepartian..walaupun orang selalu berkata bahawa politik tak boleh dipisahkan dengan Islam, kalau pisah sekular..namun adakah politik hari ini politik Islam atau siasah syar'iyyah..maaf la ye, sy bukan ambil jurusan tersebut semasa belajar, tetapi sekurang-kurangnya sy tahu serba sedikit tentang politik Islam dengan ilmu yang tak seberapa ini..politik tanah air kita ditahap yang cukup kotor..kalau gune penapis air pun tak boleh hilang..biarlah orang-orang politik atau politikus yang terus manerajui bidang tersebut, dan sy dengan bidang saya yang tersendiri.. seperti kata ustaz Nuruddin, setiap orang ada kemahiran masing-masing, bidang masing-masing, jurutera dengan juruteranya, politik dengan politiknya, doktor dengan doktornya, sgama dengan agamanya..kalau sume jadi imam siapa pula nak jadi makmum.. teruskan usaha kalian.. bak kate sahabat sy, dan guru sy, yang dinilai adalah keikhlasan di dalam beramal..amal yang sebanyak mungkin dan pastikan hati kita bersih untuk beramal..sifir yang mudah, setiap yang kita lakukan kita yang tanggung, agar di hadapan Allah kelak kita ada jawapan dengan amalan kita..

Monday, June 7, 2010

Israel Laknatullah ‘Alaihim (LA) Mencabar Kita

Baru-baru ini Malaysia dan dunia dikejutkan dengan isu kekejaman Israel LA terhadap misi kapal konvoi yang membawa muatan bantuan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan, kerusi roda, bantuan pendidikan dan lain-lain ke Gaza. Pada mulanya kapal Mavi Marmara yang bergerak terlebih dahulu untuk melaksanakan misi mereka telah berjaya ditawan oleh para tentera yang kejam dan tidak berperikemanusiaan itu. Bukan setakat itu saja,10 aktivis sukarelawan telah terkorban termasuk beberapa yang lain mengalami cedera. Dan selang beberapa hari selepas peristiwa itu, sekali lagi kita digemparkan bahawa kapal kedua yang mempunyai misi yang sama iaitu kapal Rachel Corrie yang menyusul kemudian turut ditawan sebelum memasuki Gaza. Semua negara di dunia sudah maklum dengan perkara ini. Apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri Israel LA,..... memang dikotakan. Dia mengatakan tiada sebarang bantuan yang dibenarkan memasuki ke Gaza. Seperti mana respon dari seorang kawan yang berpendidikan sains politik memberitahu bahawa jika bantuan sampai ke Gaza ini bermakna kekalahan akan berlaku di pihak Israel LA. Oleh sebab itu, walaubagaimanapun Israel LA tetap bertekad tidak membenarkan mana-mana bantuan sampai ke Gaza. Dalam masa yang sama, Amerika Syarikat pula duduk dan menjadi pelindung di bawah naungan Israel LA sehingga menyebabkan Israel LA menjadi semakin sombong dan angkuh kerana pengaruhnya sungguh kuat di samping dilindungi wilayah yang amat besar. Amerika seolah-olah berkata Israel LA adalah kami, dan kami pula adalah Israel LA, kalian menyerang dan ingkar dengar Israel bermakna kalian menyerang dan ingkar dengan kami. Dalam masa sekarang semua pihak hanya mampu mengutuk dan melihat macam itu sahaja kekejaman yang berlaku sedangkan PBB(Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan ICJ sedang lena dibuai mimpi agaknya. Isu ini sepatutnya diselesaikan bagi mereka yang mempunyai pengaruh yang besar seperti Perdana Menteri sendiri, para menteri, jika rakyat yang mahu selesaikan tiada siapa yang mahu pandang apatah lagi mahu ambil peduli. Dalam hal ini, saya cukup bimbang jika isu besar ini dimain politikkan oleh sesetengah pihak. asalah sebesar ini mampu juga dipolitikkan utuk kepentingan peribadi. Seperti mana yang kita tahu, misi dan matlamat utama Israel LA adalah untuk menghancurkan Islam, diikuti Kristian dan akhir sekali bangsa-bangsa lain. Mereka hanya mahukan mereka sahaja yang tinggal di bumi Allah yang indah ini. Angan-angan mat jenin mereka sungguh tinggi sampai mencecah langit. Di sini marilah kita bersama-sama menghulurkan tangan, memegang erat antara satu sama lain seperti rapatnya kita di sof ketika solat berjemaah menenteng Israel LA tidak kira bangsa,keturunan apatah lagi kesepaduan dan kesatuan ummah yang lebih diharapkan. Kita lupakanlah sengketa antara kita,tinggalkanlah sementara perdebatan kita kerena kita mempunyai misi dan visi yang besar di hadapan kita. Sekarang bukannya lagi masa untuk menunding jari menentukan siapa yang patut dipersalahkan, tetapi sekaranglah masa yang dinanti-nantikan pihak musuh, waktu yang palih digeruni musuh Islam iaitu waktu kesatuan kita semua. Jangan disebabkan keegoan kita, saudara-saudara sedarah kita menjadi mangsa korban dan agama suci kita diperhinakan. Ada seorang bertanya kepada saya, kita ada ramai alim ulama’, begitu juga dengan Indonesia mentelah tanah-tanah arab yang merupakan tempat suci, tempat kelahiran pasa anbiya’, kita dah melakukan pelbagai ikhtiar seperti solat hajat, membaca yassin tetapi mengapa permintaan masih tidak dikabulkan lagi, saya pun menjawab dengan mudah, ringkas tapi padat iaitu kita tidak akan menang selagi mana kita tidak bersatu, dan masih mencari salah siapa. Seperti mana sabda junjungan kita, nabi Muhammad SAW umat Islam seperti bebuih dilautan namun masih tidak mampu mengalahkan pihak musuh yang sedikit. Kalau nak diikutkan dengan sejarah perjalanan Islam, hanya sedikit tentera Islam memadai untuk mengalahkan tentera musuh yang berlipat kali ganda seperti yang paling kita maklum peperangan Badar. Adakah kita mahu menunggu perkara sedemikian rupa tempias kepada kita, baru kita mahu membuat satu perubahan, pada masa itu mungkin kita agak keterlewatan waktu. Sedarlah, bangkitlah, semboyan telah berbunyi, marilah menuju ke medan bakti. Bersatulah wahai kaum muslimin membebarkan dunia dari cengkaman kafir yang mengancam Islam. Jadilah seperti tentera-tentera saidina Umar, tentera-tentera sultan Muhammad Al-Fateh, tentera-tentera Salman Al-Farisi..

Tiada Apa Yang Mustahil

Pada suatu hari saya menghadiri satu majlis perkahwinan. Dalam ketika husyu’ menjamu hidangan yang amat lazat sekali, saya ada terdengar perbualan beberapa orang pak cik. Lantas saya terus menyelinap mencuri perbualan mereka walaupun pada hakikatnya hukum mencuri adalah haram dan balasannya dipotong anggota yang mencuri tersebut. Nasib baik saya tak dikenakan hukuman potong telinga..hu3.. Tiba-tiba saya tertarik dengan pengakuan seorang pak cik yang merupakan guru pencen atau dalam bahasa yan lain bekas guru. Beliau mengatakan seperti ini “ saya sudah menghisap rokok selama 67 tahun pun boleh berhenti, kalau ada anak muda yang baru 5 tahun dalam gejala ini mengakui bahawa sukar untuk berhenti atau ketagih, ini adalah merupakan pendustaan dan pembohongan yang besar. Sungguh hebat fakta kes yang beliau utarakan. Bila direnungkan sejenak, betol juga.. Kawan saya dahulu di usia remaja pun pernah melibatkan diri dalam kegiatan merokok ini, namun pada detik ini, dia sudah tidak lagi merokok bahkan menjadi seorang yang bergelar manusia..ha3..pelik je bahasanye..biasa larrr ahli falsafah katakan.. Mungkin ada dalam kalangan perokok akan mengatakan bahawa, belom cuba belom tau, da cuba baru tahu bagaimana ketagihannya. Menurut kajian dan tesis saya sendiri, saya yakin dan percaya rokok tidak membawa kepada ketagihan. Cuma yang saya tahu, ketagihan itu berlaku dan berpunca dari ketagihan hawa nafsu untuk melakukan perkara tersebut. Yakin dan percayalah dengan pasti..Cuba kita mencabar diri untuk tidak merokok selama sehari, seminggu, sebulan atau sebagainya, sudah tentu kita mampu sahut cabaran tersebut. Janganlah sampai musibah dari rokok menimpa kita barulah ketagihan kononnya sudah hilang dan penyelesaian menyusul. Sesungguhnya ia tidak berguna lagi ibarat nasi sudah basi..ha3.. Saya bagi perumpamaan, kita suka sangat makan pizza, kita akan makan sehingga menjilat jari, kita mahu maknnya setiap hari, disebabkan kekangan-kekangan yang ada seperti masalah kewangan, namun persoalannya di sini bolehkah kita mengawalnya??Sudah pasti kita mampu mengawal kehendak kita dek disebabkan perbelanjaan yang tidak mencukupi.. Kita sendiri tahu bahawa makanan seumpana tersebut telah dicampurkan dengan bahan-bahan yang tertentu bertujuan menjadikan rasa makanan tersebut bertambah enak lagi. Saya teringat ketika saya diusia remaja di zaman persekolahan lagi. Dalam satu kempen anti dadah. Dadah merupakan musuh nombor satu kita. Penceramah ketika itu merupakan bekas dadah itu sendiri. Dia telah berkecimpung dalam dunia itu beberapa tahun tanpa sebarang rasa penyelesaian. Ntah dari mana puncanya, dia telah mendapat hidayah Allah untuk kembali ke pangkal jalan dan terus bertaubat. Dia pun bertekad untuk mengubah kehidupan dan juga membetulkan dirinya. Dia mengurungkan dirinya dalam sebuah bilik. Dengan ketagihannya dan kepenyengatan dadah tersebut membuatkan dirinya tidak tentu arah dan hala tujuan. Dia menghantukkan dirinya ke dinding namun dia tetap tekad untuk meneruskan usaha-usaha perubahan dirinya dan tawakkal yang tinggi di iktikadkan. Akhirnya Allah masih menyayanginya dan membiarkan dia terus hidup untuk terus bertaubat. Jadilah dia seorang yang berjaya kini. Fuh panjang ceritanya. Di sini saya mengatakan tiada yang mustahil dalam dunia ini selagi ada niat dan usaha-usaha yang teguh. Bak kata orang melayu “nak seribu daya tak nak seribu dalih”, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan” dan pelbagai lagi. Janganlah kita mudah mengalah sebelum mencuba sesuatu. Untuk melakukan perubahan kita perlukan kepada semangat yang tetap, usaha yang berterusan dan yang paling penting sekali niat yang ikhlas untuk berubah. Perubahan tidak datang dengan mudah tanpa pengubahnya.. Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang datang melayang. Ubahlah, setiap sesuatu perkara yang ditegah tersembunyi hikmah yang tersendiri. Jangan beri dalih tapi katakan boleh. Tiada apa yang mustahil.

Tuesday, May 11, 2010

Jeram Is Jeram


Setelah lama menyepi dek kerana memenuhi masa cuti dengan kerja, penulis kini kembali menyambung menulis blog.. Ini kerana saya terpanggil untuk menulis tentang program yang baru sahaja selesai dijalankan atas kegembiraan dan keterharuan sepanjang berada di sana.. Program yang diberi nama IMTEC atau nama panjangnya Intelectual Motivation Teenagers Camp selama 3 hari bermula pada selepas sembahyang jumaat 7 Mei berakhir tengah hari ahad 9 Mei.. Program ini baru sahaja sehari melebuhkan tirainya namun kerinduan kepada kerenah pelajar-pelajarnya sudah terasa.. Hanya dengan menaiki motorsikal, saya bertolak dari rumah ke Wangsa Maju dan menginap di sana satu malam kemudian menyambung kembali perjalanan sebagai musafir ke Meru, Klang dan kemudian dengan menaiki kereta pula menuju destinasi asal, Sekolah Agama Menengah Jeram, Kuala Selangor.. Perjalanan yang memakan masa dalam dua jam suku keseluruhannya bermula dari rumah ke Jeram seorang musafir memang agak memenatkan tapi apakan daya, semuanya untuk menyelesaikan satu matlamat dan misi yang murni semata-mata untuk mencurahkan sedikit bakti dan pengalaman..

Pada mulanya hati memang berat untuk melaksanakan tugas ini, namun diri ini cuba mendidik dan mengajar hati supaya mengikhlaskan hati untuk berkongsi segala-segalanya kepada mereka.. Bak kata orang, kalau hati tak ikhlas, takkan membuahkan hasil dan kejayaan.. Program yang pertama bermula dengan LDK iaitu ice breaking iaitu pengenalan diri.. Tak kenal maka tak cinta.. Dari situlah saya bersama Zaid dan Mariam, rakan sekumpulan yang ditugaskan dalam satu kumpulan yang sama.. Perjalanan Ice Breaking yang pada suram mulanya, namun kesuraman yang hilang kini menjadi ceria ( lirik lagu inilah cinta) dengan kehadiran dan kewujudan beberapa pelajar yang telatah, gelagat dan kerenahnya mencuit hati kami dan menceriakan keadaan yang suram seperti Irham atau nama glamournya Am atau Ali serta Atikah.. Beberapa ahli kumpulan yang lain seperti Faiz, Amri atau nama gelarannya Ali, Asifah, Amirah, Fatimah, Ain, Izyani, serta hanis yang agak sedikit diam mungkin kerana malu atau sebagainya..

LDK kedua yang bertajuk warkah cinta, iaitu para pelajar dikehendaki menulis sekeping surat yang mengandungi harapan mereka kepada ibu mereka bersempena dengan hari ibu pada keesokannya iaitu 9 Mei.. Masa yang diberikan selama 10 minit.. Semua pelajar menulis dengan tekun terutamanya perempuan.. Pelajar lelaki agak kekok untuk menulis surat kepada ibu mereka, lama kelamaan mereka akhirnya berjaya menulis surat tersebut sehingga tak mahu berhenti setelah masa sudah tamat.. Perlaksanaan aktiviti ini adalah para fasi ditugaskan untuk mengoyokkan dan memijak surat harapan mereka untuk melihat apa respon dan adakah mereka terkesan dengan tindakan tersebut.. Kami merancang untuk mengaburkan mata mereka dengan mengoyokkan dengan perlahan dan menyuruh rakan lain berbuat demikian.. Tapi ada salah sorang dari mereka tahu apa perlaksanaan latihan ini.. Mereka pun main baling-baling kertas yang sudah komot dan bergelak ketawa.. Bukan itu saja mereka yang kehilangan ibu pun dengan bangganya melakukan sedemikian rupa.. Kami pun menukar plan kami dengan memberi kesedaran tentang peri pentingnya ibu dalam kehidupan.. Mereka pun terus terdiam dan perlakuan mereka terus terhenti.. Ibaratnya hanya bunyi kipas je kedengaran.. Memang agak pening melihat kenakalan mereka di usia remaja.. Kami tahu luaran je nakal dan sebagainya tapi dalam hati ada taman dan mudah tersentuh..Namun kenakalan itu bukan satu permasaalahan jika hati masih boleh dilentur dan dilembutkan.. Kita merupakan manusia yang punyai perasaan.. Bukan kami mahu transformasi mereka dilakukan secara drastik tetapi perubahan yang disusuli oleh kesedaran sendiri.. Bak kate Dr Syed, kesalahan dan kesilapan merupakan satu proses untuk menuju kematangan dalam hidup..

Kemudian LDK ketiga adalah debat antara kumpulan atas tajuk Gejala Sosial Di Kalangan Remaja Terutama Remaja Sekolah Agama Salah Siapa ; Ibu Bapa, Guru, Rakan Sebaya, Media Massa Atau Kerajaan?. Mereka berbincang sesama mereka.. Setiap kumpulan perlu membahas isu tersebut.. Memang seronok apabila apabila berdebat, hanya suka menyalahkan orang lain sehingga tidak tampak kekurangan diri.. Namun matlamat atau resolusi aktiviti ini untuk melihat sejahu mana pemikiran mereka.. Cuma ada 3 LDK yang sempat dijalankan kerana dikekang oleh kekurangan masa.. Masa sungguh singkat diberikan untuk beramah mesra dan mengenali secara dekat dan rapat personaliti mereka..

Setelah aktiviti penutupan, kami berkumpul sekali lagi sebelum meninggalkan mereka dan kembali meneruskan kehidupan harian masing2.. Di sini kami bercadang untuk menyuruh setiap individu menyampaikan sepatah dua kata kepada kami.. Namun waktu Zuhor pun sudah masuk, akmi minta beberapa wakil dari mereka untuk memberi ucapan kepada kami.. Dari situlah detik-detik perpisahan bermula.. Rasa kemuncak sebak di hati untuk melepaskan mereka.. Mudah-mudahan dengan nombor telefon dan email kami dengan mereka dan nombor dan email mereka dengan kami, kami dapat berhubung semula InsyaAllah.. Ketika dalam kereta hendak pulang, kami melalui di asrama perempuan, mereka menunggu kami di koridor tingkat atas sekali dan ada yang menuggu di pintu pagar menjerit-jerit nama kami dan melambai-lambai ke arah kami.. Terharu dibuatnya.. Kalaulah sepanjang aktiviti mereka memberi sepenuhnya komitmen, kemesraan akan dapat terjalin dengan indah..

Tamatlah sebuah perjalanan di SAM Jeram.. Kalau ditakdirkan untuk datang kembali di sana InsyaAllah kami akan datang lagi.. Setiap pertemuan di tangan Allah dan setiap pertemuan pasti diakhiri oleh perpisahan.. Hujung bulan ini kalau ada rezeki saya akan pergi ke KL pula atas tujuan yang sama dan andai perancangan di benarkan dan diredhai Allah, akhir bulan 7 saya akan ke masjid Putra, PutraJaya dengan perkara yang sama atas anjuran bersama oleh ISLAMIC OUTREACH-ABIM serta Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Asasi UIAM, Gabungan Intelek Mahasiswa Darul Qur’an , Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Mahasiswa Malaysia Mesir bertemakan ‘Menjejak Intelegensia pewaris salafussoleh’.. Kita merancang Allah jua merancang tetapi Allah jualah sebaik-baik perancangan..

Friday, March 12, 2010

Berakhirnya Sebuah Perjalanan

Cukupnya 13/03/2010 maka berakhirlah sebuah perjalanan buat diriku selama 2 tahun menyamai 4 semester di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan..Perjalanan yang penuh tenang ini dilalui di bumi tarbiah yang berserambikan serambi Mekah yang mana berlatar belakangkan suasana yang amat sesuai untuk seorang yang bernama penuntut ilmu..Namun jiwa ini terasa amat kerugian kerana tidak memanfaatkan waktu dan masa yang ada untuk menunutut ilmu sejauh yang mungkin..Diri ini hanya datang ke kuliah semata-mata untuk memenuhi tanda tangan dan hanya memenuhu syarat sebagai seorang yang bergelar mahasiswa..Bak kata orang, pergi kuliah, balik kuliah tidur..Inilah rutin seharianku di sini..Pengalaman-pengalaman selama 2tahun itulah saja yang diri ini pelajari..Ragam manusia,fitnah keduniaan,ukhwah lillah.. Walaubagaimanapun diri ini mengenali sahabat2 yang bersama-sama menemani hidup, menyebarangi segala bentuk ujian yang datang bersama-sama..Sahabat2 ini muncul ketika hujung2 usia di sini..Namun walaupun hanya berjumpa di jangka waktu yang amat pendek namun, yakin dan pasti ukhwah yang terjalin mengatasi sahabat2 satu fikrah perjalanan mahupun sahabat2 yang sudah lama dikenali..Takkan ku lupakan segala memori yang telah ku ukirkan sendiri di bumi ini..Ada suatu ketika, kami tidak tidur satu malam, membahaskan perkara2 dan permasalahan yang timbul di sini.. hanya berbincang saja yang mampu kami lakukan, langkah seterusnya kami tidak mampu melaksanakannya..Ini kerana kami insane yang kerdil,suara kami tidak siapa yang mahu endahkan..Namun akhir2 ni, kami bercadang untuk berjumpa dengan para pensyarah wibawa sebagai persiapan untuk ke Kuala Lumpur.. Persiapan yang kami cari adalah ilmu dari seorang guru yang penuh amalan bukannya persiapan fizikal dari aktivis2 mana-mana persatuan.. Diri ini ingin menemui seorang guru yang bercirikan ahli sufi, namun sayangnya beliau masih di Cairo, Mesir.. Sungguh hampa diri ini untuk berjumpa pelbagai guru dengan pelbagai pandangan yang mat bernas sekali.. Kami hanya sempat menemu bual seorang saja guru, hanya berbekalkan masa selama 15minit, tetapi yang pasti 15 minit seolah2 kami berbincang selama 15 jam lamanya..Hari demi hari, detik waktu tetap berjalan..Kami akan menyambung pelajaran di kampus induk di Universiti Malaya Kuala Lumpur yang mana inilah dunia sebenar bagi seorang mahasiswa pengajian Islam..Selama ini kita disuapkan dengan waqi’ yang cukup selesa..Hari mndatang merupakan penentu siapa kita..Hanya berbekalkan ilmu yang berkat dan amalan yang ikhlas kita semua mampu mengharungi dengan penuh ketenangan..Moga-moga kesudahan yang baik di sini akan menjadi permulaan yang baik di sana kelak..

Monday, January 25, 2010

Fitrah Kehidupan

Kita kate kita nak pergi berjihad,
Tapi bagaimana solat harian kita..

Kita kate nak pergi berjihad,
Bagaimana dengan bebanan amanah kita..

Kita kate kita nak pergi berjihad,
Tapi bagaimana ketaatan dan adab pergaulan bersama ibu bapa..

Kita kate kita nak pergi berjihad,
Tapi berapa banyak harta yang kita infak untuk jalanNYA..

Kita kate kita nak pergi berjihad,
Tapi bagaimana pergaulan sesama kita..

Kita kate kita nak pergi berjihad,
Cukupkah persediaan bekalan sebulum kita pergi berjihad..

Kita kate kita nak pergi berjihad,
Sudah hadamkah kita erti jihad keseluruhannya..

Jadi, buktikanlah apa yang kita laung2kan.. Bukan jadikan apa yang kita ungkapkan sebagai tangkal azimat saje.. Jadikan ia sebagai kain rentang mempropagandakan keperluan sesuatu kelompok.. Hanya mampu melontarkan kata2 berbisa tapi palsu.. Tiada menghasilkan sedikit makna sekalipun, tidak tumpah seperti percakapan burung kakak tua..

Bila kita ajak berbincang untuk tambahkan ilmu,
Dia taknak,
Dia cakap kita perlu praktik ilmu2 yang kita ada terlebih dahulu..

Bila kita ajak buat mesyuarat,
Dia taknak,
Dia kate ade urusan yang lebih aula..

Bila kita ajak duduk berbahas,
Dia taknak,
Dia kate kita hanya pandai mengkritik saje..

Bila kita mengingatkan tanggungjawabnya,
Dia wat tak endah,
Dia kate dia lebih mengetahui amanat tersebut berbanding kita..

DAN,,..

Bila dia ajak praktikkan ilmu di luar,
Kita cakap taknak,
Dia cakap kita lari dalam perjuangan..

Bila dia pulak ajak buat pertemuan,
Kita cakap taknak,
Dia cakap kita takmahu berkorban untuk Islam..

Bila dia ajak duduk selesaikan masaalah,
Kita cakap taknak,
Dia cakap kita taknak bantu mereka menyelesaikan permasaalahan..

Bila dia ajak kita wat sesuatu kerja,
Kita cakap taknak,
Dia cakap kita taknak bantu pemuda2 Islam..

Bila kita nampak kelemahan barisan dia,
Kita ingatkan dia dengan penuh hikmah,
Dia kate itulah lumrah kia dicemuh,
Dia kate kita hanya pandai menentang..

Inilah putaran kehidupan seharian kita, yang tiada noktah, yang tiada titik penghujungnya.. Ayuhlah semua, kita berganding bahu, same2 melupakan kehebatan diri, ingatlah kebaikan orang lain.. Satukanlah pemikiran kita berlandaskan satu pemahaman, jangan dek kerana mereka tak berpikiran seperti mereka, ini bermakna mereka bukan dikalangan kami.. Biar jalan yang berbeda-beda asalkan matlamat kita satu, matlamat yang sama iaitu mencapai taqwa ALlah Azza Wajalla..

Thursday, January 7, 2010

Mahasiswa Flexible

Setelah kita tamat dari alam persekolahan, kita akan melangkah kaki masuk ke zaman Universiti bagi meningkatkan lagi proses pembelajaran. Mahasiswa merupakan satu golongan yang berpengaruh dalam membentuk sesebuah Negara. Golongan ini tidak terikat dengan apa-apa fahaman, persatuan mahupun apa-apa yang menyempitkan diri dari aktif bergerak bebas. Sepatutnya jika kita sudah bergelar sebagai seorang mahasiswa,pikiran jika sewajarnya terjurus jauh kehadapan seperti yang dicanangkan oleh pelbagai pihak,mahasiswa minda kelas pertama. Kita haruslah dah pandai memikirkan dan membezakan mana yang baik dan mana yang kurang baik. Kita bukan lagi seperti di alam persekolahan, yang mana sering dan acap kali disogokkan dengan pelbagai perkara, disuapkan dengan segala bentuk pemikiran. Dan setiap perkara wajib kita ikuti dengan membuti tuli. Tapi tidak sekarang!! Kita ini dalam proses pembelajaran yang mana, belajar, belajar dan terus belajar. Dan jangan juga kita lupa dan alpa, dalam proses pembelajaran juga kita seharusnya ada proses mengkaji, menyelidik bagi setiap apa yang diberikan. Ulama’ dahulu kala juga mencari ilmu dengan sepenuh jiwa dan mengkaji ilmu tersebut tanpa diterima bulat kerana dikhuatiri ilmu yang diterima kurang tepat dan tidak sampai sanadnya kepada nabi. Jadi, bagi mereka yang sudah bergelar mahasiswa, jadilah sebagai siswa yang matang, berpikiran tajam dan yang penting tidak sesekali ampuh termakan kata-kata kosong dan pemikiran yang mahu merosakkan kita. Menjadi hak kita untuk memilih sesuatu keputusan tanpa terasa terikat oleh apa-apa perkara yang menyekatkan. Saya menyeru kepada semua, janganlah sempitkan pemiran kita, terimalah segala idelogi yang datang,asalkan yang penting kita mempunyai pemahaman bagi mengatasinya sekiranya idealogi tersebut menyempang sedikit lari dari landasan yang benar. Ayuh mahasiwa! Tegakkanlah kamu dengan kebenaran, janganlah kamu tunduk dengan setiap urusan yang datang kepada kamu tanpa kamu selidikinya terlebih dahulu. Bukakankah buah fikiran kamu seluas-luas yang mungkin seperti luasnya langit dan bumi ciptaan Allah SWT. Jangan kita mudah menghukum dan memegang satu pandangan tanpa melihat pandangan-pandangan yang lain. Segala yang benar tetap benar, jangan kita tutup kebenaran itu dek kepentingan pihak kita.

فمن يعمل مثقال ذرة خيرا يره , ومن يعمل مثقال ذرة شرا يره