YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
Pengerusi Barisan Nasional Malaysia
6 Mei 2013
Assalamualaikum WBT. Semoga redha dan rahmat Allah bersama YAB
Datuk Seri.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢)فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا (٣)
1.
apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad
berjaya Menguasai negeri Makkah), 2. dan Engkau melihat manusia masuk Dalam
ugama Allah beramai-ramai, 3. maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan
mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
YAB Datuk Seri,
Pertamanya dengan berbesar hati saya ingin mengucapkan jutaan tahniah dan
syabas kepada YAB Datuk
Seri selaku pengerusi Barisan Nasional atas kemenangan pada Pilihan Raya Umum
ke-13 seterusnya membentuk kerajaan Malaysia. Kemenangan ini bukan untuk
dibanggakan kerana tanggungjawab dan amanah yang besar akan datang dan akan
dipersoalkan di akhirat kelak. Para pemimpin agung Islam apabila ditaklifkan
sebagai khalifah, mereka menangis kerana takutkan Allah, gementar hati mereka
terhadap balasan yang amat berat bakal mereka terima apabila mereka gagal melaksanakan
tanggungjawab dengan sebaiknya lalu mengkhianati kepercayaan umat yang
diberikan. Amanah ini digambarkan jauh lebih berat jika dibandingkan dengan
gunung-ganang dan bukit-bukau. Rakyat-rakyat akan menjadi saksi tentang apa
yang dilakukan oleh para pemimpin mereka. Jalankan bebanan yang dipikul dengan
penuh rasa amanah dan adil. Segala ‘aku janji’ yang diikrarkan dan dilafazkan
perlu ditunaikan mengikut masa yang ditetapkan. Jangan sesekali kita tergolong
dalam kalangan orang munafiq yang dijanjikan azab yang amat pedih dan mendapat
balasan kekal di dalam neraka.
حدثنا علي بن مسهر عن يزيد عن مجاهد قال : قال رسول الله صلى الله
عليه وسلم : ثلاث من كن فيه فهو منافق : الذي
إذا حدث كذب ، وإذا اؤتمن خان ، وإذا وعد أخلف
Rasulullah
SAW bersabda “ seorang munafiq akan ada tiga ciri-ciri ini iaitu apabila dia
berkata dia berdusta, apabila diberi amanah dia khianat, dan apabila dia
berjanji dia mungkiri”
YAB
Datuk Seri,
Kajilah
semula semua manifesto yang dibuat oleh Pakatan Rakyat seperti pendidikan
percuma untuk semua, penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penurunan harga minyak,
penurunan harga kereta dan lain-lain lagi. Jika ada antara manifesto tersebut
yang mampu dilakukan oleh pihak kerajaan, maka kami selaku rakyat amatlah berbesar
hati, bergembira dan berterima kasih. Buktikan bukan sahaja Pakatan Rakyat yang
mampu lakukan tetapi juga kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Tunjukkan kepada
kami bahawa kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri boleh melaksanakan sesuatu
kebajikan yang besar meskipun tidak pernah meletakkan ia sebagai janji. Adalah
yang lebih penting lagi, kami amat berharap jangan membebani kami dengan
ekonomi yang melambung tinggi seperti dengan menaikkan harga barang, rumah, cukai,
dan sebagainya. Bagaimanalah nasib kami yang berpendapatan jauh lebih rendah.
YAB
Datuk Seri,
Bukan
itu sahaja, selaku pemimpin Islam di Negara Islam, saya merayu agar YAB Datuk
Seri mengutamakan Islam, memelihara kesucian Islam serta mengamalkan Islam
dalam kehidupan seharian. Solat, puasa, zakat, haji merupakan perkara asas yang
perlu dilakukan oleh setiap individu yang bergelar muslim. Bina,wujudkan, serta
perbanyakkan aktiviti-aktiviti yang bercirikan Islam serta perluaskan lagi
sistem-sistem Islam. Uruskan dan tadbirlah Malaysia bersama golongan ulama’
atau ilmuwan Islam. Mereka sebagai penasihat keagamaan dapat membantu
perjalanan pemerintahan agar tidak terkeluar dari landasan Islam. Bangsa Melayu
jangan disisihkan. Tetapi jangan sesekali juga kita mengabaikan kebajikan
sahabat-sahabat lain yang berlainan agama dan bangsa kerana kita hidup serumpun
dan bermasyarakat. Toleransi sesama kaum perlu dieratkan. Menyentuh sensitiviti
mereka perlu dijauhkan.
YAB
Datuk Seri,
Selaku
orang yang paling berkuasa, maka menjadi satu kewajipan untuk menghapuskan segala
kemungkaran yang ada di atas muka bumi ini. Suburkan persekitaran yang
berlandaskan syariat Islam agar generasi yang lahir akan terus bersih lagi suci
tanpa dikotori oleh titik-titik maksiat dan dosa. Hapuskan rasuah dan bersaing
secara sihat, hapuskan juga kroni, dan ambil mereka yang mempunyai bakat dan kebolehan.
Jangan menggunakan dan mengambil wang rakyat dengan jalan batil. Bersederhanalah
dalam berbelanja. Bebaskan media arus perdana, jangan berlaku zalim terhadap
sesiapa pun. Suburkan demokrasi dan kebebasan bersuara. Panggil saudara serta
sahabat dari pihak pembangkang khususnya untuk duduk semeja berbincang hala
tuju negara dan bersama-sama memakmurkan negara agar terus maju ke hadapan dan
mampu bersaing negara-negara luar. Kritikan luar baik yang membina mahupun
menjatuhkan perlu diambil dengan hati yang terbuka dan dada yang lapang bagi
memperbaiki diri seterusnya menjadi insan yang sempurna.
Akhir kalam, kami rakyat jelata, mahukan
Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang berkebajikan. Laksanakan tanggungjawab
sebagai pemimpin dengan amanah lagi adil dan sebaik mungkin. Dengan kuasa rakyatlah
yang menaikkan seseorang menjadi pemimpin, dan dengan kehendak rakyat juga seseorang
itu turun dari takhta kepimpinan. Pemimpin mempunyai hak kepada rakyat, begitu
juga rakyat mempunyai hak ke atas pemimpin.
عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى
الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون
عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول
الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا
تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة(
Maksudnya: Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah SAW sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”
“Kebajikan Kami, Tanggungjawab Anda,
Kami Mendokong Kepimpinan YAB Datuk Seri”.
Mohd Syukri Bin Zainal
Abidin
Rakyat Malaysia yang
prihatin.