Thursday, February 27, 2014

Ibuku Merestuimu…



Teman…
Kau muncul menemaniku saatku berjauhan bersama keluarga
Membina serta mencipta sebuah kehidupan yang baru
Bermula dari perkenalan hinggalah hati saling memerlukan
Perkongsian hidup diamalkan setiap masa.

Kurang lebih tiga tahun kita serasi bersama
Tiap detik dan saat waktu berpisah tiada
Ketawa bersama tiada duka yang tercipta
Sebuah kebahagian yang Allah anugerahkan buat kita.

Namun…
Nikmat tersebut tidak berkekalan lama
Ditarik balik akibat dari kesilapan yang tidak tahu puncanya
Sehingga meretakkan kemanisan ikatan yang dibina selama ini
Ku redha ku pasrah dengan pengakhiran ini.

Kau terus memecut laju meninggalkan nostalgia
Tanpa memikirkan lamanya usia jambatan yang terjalin
Tanpa cuba memperbaharui cinta yang usang
Supaya ia bersinar seperti dulukala.


Kawan…
Suatu ketika kau terbuang hina oleh teman rapatmu
Ku mengutipmu dan memeliharamu
Kita juga bermula dengan mengenali sehinggalah menjadi mesra
Perihal keluarga kita saling dikongsikan bersama.

Namun…
Umur kasih kita jauh lebih pendek
Hanya mampu bertahan seketika cuma
 Memang firasat dan ilham ku menjangkakan sedemikian
Dua dan tiga berdekatan zahirnya tetapi alergik batinnya.

Sungguh tragis bila acap kali dikenang
Dibibir ku sering mengungkap benci
Realitinya hatiku sering menyayangi
Inilah akibat keegoan yang tidak mahu berdamai.


Sahabat…
Kau tidak pernah ku angkat martabatmu
Tetapi berbeda sekali dengan kau
Kau menjunjung tinggi kedudukan ku
Kau sanggup meninggalkan hasrat mu tanpa ku.

Kau mengerti layanan ku terhadap mu ibarat insan biasa
Namun kau tetap tidak berganjak untuk meninggalkan ku
Setiap kehendak mu tidak ku ikuti
Setiap paksaan ku kau  penuhi.

Endah dan mengabaikan mu menjadi budaya ku
Kau tidak meminta apa jua tetapi tetap memberi
Ketika ku melanda penderitaan kau menghulurkan segala bantuan
Tanpa ku sempat untuk memohon raih simpati.

Sedarlah…
Allah menjanjikan syurga buat mu
Bukan untuk ku yang tidak mengenang budi
Jasad ku turut akan menjadi saksi di akhirat kelak
Yang akan menjamin kebaikan mu terhadap ku.


Wahai teman, kawan, dan sahabat…
Meskipun ia mempunyai berlainan pengertian
Tidak sama namun bagi ku kau tetap serupa
Yang sering menjadi sebutan ibu ku
Kebahagiaan ibu ku pasti juga kebahagiaan buat ku.


Walaupun semakin hari kita semakin jauh meninggalkan
Cukup bagi ku kau masih mengiktirafku
Menganggap ku sebagai kenalan suatu masa dahulu
Mampu memberi senyuman tatkala bersua kembali.

Biar jauh di mata bukan di hati
Fatihah, tiga qul, dan doa sentiasa dihadiahkan
Moga kita sentiasa berjaya di dua dunia
Allah temukan kami kembali di syurga nanti…