Tuesday, March 4, 2014

Sekadar perkongsian untuk diamalkan


Ini bukan sahaja amalan berbentuk doa, tetapi juga amalan yang melambangkan ikhtiar bagi seorang manusia. Kenapa amalan ini seolah kita hanya beribadah kerana peperiksaan? Perlu difikirkan sejenak. Kita melakukan amalan ini dengan meminta kepada Allah yang Maha Berkuasa, dengan merendahkan diri dan mempercayai hanya Dia yang mampu memberi dan memakbulkan hasrat dan impian kita. Jika kita tidak memerlukan pertolongan dariNya, pastikan kita hanya akan berpegang erat dengan usaha kita seperti mana pepatah mengatakan ‘rezeki secupak takkan jadi segantang’, ‘sesiapa yang berusaha, dia akan dapat, sesiapa yang menanam, dia akan menuai’. Kita belajar 48 jam tanpa henti pasti membuahkan hasil yang baik, dan mereka yang melakukan usaha yang kecil, pasti menghampiri kegagalan seperti mana ungkapan ‘berjaya tanpa usaha adalah mustahil, gagal dengan usaha adalah takdir’.

Doa dan amalan batiniah bukanlah menolak usaha secara total, kerana Allah sentiasa menyuruh hambaNya berusaha kemudian menyerahkan segala urusan padaNya. Namun, amalan ini merupakan suatu cabang usaha dengan kesungguhan kita disamping peranannya sebagai doa, ditambah lagi dengan usaha kita sehabis mungkin, maka mudah-mudahan kejayaan yang terhasil mengiringi rahmat dariNya. Bagi penulis, usaha, doa, dan tawakal duduk seiring, bukan usaha, diikuti dengan doa dan tawakal. Apa yang penting, iktikadkan dari dalam diri, Allah SWT merupakan tuhan kita, Dia berkuasa atas segalanya, Dia juga Maha Berkuasa melakukan apa sahaja mengikut kehendakNya.

Ingin disentuh di sini, jika amalan ini dilakukan ikhlas serta disandarkan kepada Allah SWT semata-mata, maka apa yang berlaku sama ada baik atau pun sebaliknya sebagai natijah amalan ini, kita sesekali tidak akan menyesal bahkan menyalahkanNya terhadap takdir yang ditentukan. Kerana akal kita yang terhad tidak mampu dan berupaya mengetahui dan menanggapi segala rahsia dari Allah, dengan erti kata lain, baik di mata kita bukan bermakna baik di sisi Allah dan sebaliknya, kerana peraturan dan perundangan baik dan buruk Dia yang menentukan bukannya manusia. Sekiranya amalan ini tidak mampu memberikan kejayaan yang cemerlang dengan 11 A dalam SPM dan 4.0 dalam Ijazah, bahkan menghampiri kegagalan dan boleh jadi kita gagal selepas bersungguh melakukan amalan ini, yakinilah itu yang terbaik yang Allah berikan kepada kita. Bersangka baiklah kepada Allah SWT.

Sesiapa yang ingin mencuba, sukacita amat dialukan dan dipersilakan. Rasailah keredhaan Allah terhadap kita. Lakukan paling minimum iaitu apabila bermulanya peperiksaan berjalan sehinggalah saat keputusan peperiksaan diumumkan, jika lebih rajin dan ikhlas, bermula pada minggu ulangkaji peperiksaan, dan jika mengkehendaki setiap usaha pembelajaran kita lebih berkat di samping natijah yang baik, amalkan dalam kehidupan seharian. Penulis hanya mampu membudayakan hanya pada situasi pertama dan kadang-kadang pada keadaan yang kedua. Alhamdulillah penulis sudah mengamalkannya selama kurang lebih sebanyak 12 kali selama dalam tempoh jangka masa 6 tahun. Tiada apa yang perlu dibanggakan apatah lagi ‘dibongakkan’. Penulis tidak akan berkongsi sekiranya tiada mendatangkan faedah serta manfaat. Bak kata kak Ton “Percayalah cakap kak Ton”. Krik krik kriuk…

Setiap awal ada pengakhiran, begitu juga dengan doa. Akak senior semasa zaman sekolah penah berpesan, jangan lupa membaca doa selesai belajar. Ini bermakna, tiap kali kita belajar, kita akan memulakan dengan doa, jarang sekali diakhiri juga dengan doa. Begitu juga dengan mengulangkaji pelajaran. Penulis juga sering lupa untuk diamalkan walaupun sehingga hari ini.

Amalan ini diberikan oleh ayahanda guru penulis Al-Fadl wal al-Karim al-Ustaz Ramly Bin Abd Rahim. Semoga pahala berterusan diberikan kepada beliau, dan mereka yang terlibat dalam usaha mencipta usaha dan doa ini, insha’ Allah. Terlupa pula penulis nak minta sanad amalan ini. Maka, tidak perlulah penulis mengijazahkan kepada sesiapa secara bersemuka, cukup sekadar perkongsian dari penulis. Hehehe.   ^_^ 

  


Thursday, February 27, 2014

Ibuku Merestuimu…



Teman…
Kau muncul menemaniku saatku berjauhan bersama keluarga
Membina serta mencipta sebuah kehidupan yang baru
Bermula dari perkenalan hinggalah hati saling memerlukan
Perkongsian hidup diamalkan setiap masa.

Kurang lebih tiga tahun kita serasi bersama
Tiap detik dan saat waktu berpisah tiada
Ketawa bersama tiada duka yang tercipta
Sebuah kebahagian yang Allah anugerahkan buat kita.

Namun…
Nikmat tersebut tidak berkekalan lama
Ditarik balik akibat dari kesilapan yang tidak tahu puncanya
Sehingga meretakkan kemanisan ikatan yang dibina selama ini
Ku redha ku pasrah dengan pengakhiran ini.

Kau terus memecut laju meninggalkan nostalgia
Tanpa memikirkan lamanya usia jambatan yang terjalin
Tanpa cuba memperbaharui cinta yang usang
Supaya ia bersinar seperti dulukala.


Kawan…
Suatu ketika kau terbuang hina oleh teman rapatmu
Ku mengutipmu dan memeliharamu
Kita juga bermula dengan mengenali sehinggalah menjadi mesra
Perihal keluarga kita saling dikongsikan bersama.

Namun…
Umur kasih kita jauh lebih pendek
Hanya mampu bertahan seketika cuma
 Memang firasat dan ilham ku menjangkakan sedemikian
Dua dan tiga berdekatan zahirnya tetapi alergik batinnya.

Sungguh tragis bila acap kali dikenang
Dibibir ku sering mengungkap benci
Realitinya hatiku sering menyayangi
Inilah akibat keegoan yang tidak mahu berdamai.


Sahabat…
Kau tidak pernah ku angkat martabatmu
Tetapi berbeda sekali dengan kau
Kau menjunjung tinggi kedudukan ku
Kau sanggup meninggalkan hasrat mu tanpa ku.

Kau mengerti layanan ku terhadap mu ibarat insan biasa
Namun kau tetap tidak berganjak untuk meninggalkan ku
Setiap kehendak mu tidak ku ikuti
Setiap paksaan ku kau  penuhi.

Endah dan mengabaikan mu menjadi budaya ku
Kau tidak meminta apa jua tetapi tetap memberi
Ketika ku melanda penderitaan kau menghulurkan segala bantuan
Tanpa ku sempat untuk memohon raih simpati.

Sedarlah…
Allah menjanjikan syurga buat mu
Bukan untuk ku yang tidak mengenang budi
Jasad ku turut akan menjadi saksi di akhirat kelak
Yang akan menjamin kebaikan mu terhadap ku.


Wahai teman, kawan, dan sahabat…
Meskipun ia mempunyai berlainan pengertian
Tidak sama namun bagi ku kau tetap serupa
Yang sering menjadi sebutan ibu ku
Kebahagiaan ibu ku pasti juga kebahagiaan buat ku.


Walaupun semakin hari kita semakin jauh meninggalkan
Cukup bagi ku kau masih mengiktirafku
Menganggap ku sebagai kenalan suatu masa dahulu
Mampu memberi senyuman tatkala bersua kembali.

Biar jauh di mata bukan di hati
Fatihah, tiga qul, dan doa sentiasa dihadiahkan
Moga kita sentiasa berjaya di dua dunia
Allah temukan kami kembali di syurga nanti…