Monday, October 19, 2015

Noktah Buat Cik Enon Murai



Dalam setiap permulaan perhubungan, perkara yang paling ditakuti adalah wujudnya pengakhiran. Bukan kerana bercerainya ruh dan jasad, tetapi  berpisahnya dua hati yang saling mencintai. Pada mulanya seolah menjadi seorang hero pujaan ramai, namun akhirnya rebah longlai tersungkur layu. Adakah kehidupan ini zalim? Atau takdir tuhan yang tidak baik? Menghukum kesilapan yang dilakukan tanpa sedar dengan balasan tikaman serta tembakan bertubi-tubi. Rahmat Allah mengatasi murkanya. Keperitan baginda Muhammad SAW melayan kerenah umatnya disusuli dengan air mata keampunan. Manusia sering memandang kesilapan dengan suatu penghinaan. Seolah tiada ruang pembetulan yang mampu dijernihkan. Sejarah yang berlalu disimpan rapi untuk dibangkitkan semula pada hari kemudiaan, sebagai bukti berlakunya kelukaan, dengan toresan amat dalam yang tidak berupaya dihilangkan, bahkan meninggalkan parut yang kian hari kian segar bukan semakin pudar. Redhailah segala yang terjadi, pasrahlah setiap semua yang sudah berlaku. Terimalah hukuman manusia dengan kuasa yang diberikan oleh tuhannya.

Tiada sekelumit di dalam hati ini untuk memendam hati kerana setiap malam akan memuhasabah diri dan sentiasa memaafi setiap insan yang berada di sisi, terutama mereka yang disanjung tinggi. Diri ini amat takut pengulangan tragedi, sehingga meruntuhkan ukhwah yang dibina selama ini dan keyakinan yang telah diberi. Dua jiwa yang terluka, melukai dan dilukai. Maka, diri ini terpaksa mengundur diri, kaki  digagahi, jiwa dipaksa untuk dituruti, hati meredhai, demi keluarga yang disayangi. Hijrah itu lebih teguh dan sempurna bukan sahaja dengan meninggalkan perkara yang tidak baik, namun berpindah ke sesuatu tempat lain untuk membina kehidupan yang baru, pada kejadian semula. Akhir kalam, semoga semuanya berjaya dunia dan akhirat. Maaf di sepanjang pertemuan, di setiap kesalahan, halalkan segala pemberian, terima kasih atas kenangan yang pernah bersama dicoret dan diciptakan.

Satu yang dipinta, ukhwah Islamiyyah tidak sama sekali akan diputuskan meskipun tidak selalu berada di samping. Jika sekali lagi, lagi dan lagi Allah temukan bersama di luar, sedekahkan senyuman di bibir, hadiahkan mata yang ikhlas dan sebarkan salam sebagai doa kesejahteraan. Jika mendengar perkhabaran jasad ini sedang uji, lawatilah atau bantulah dengan doa penyembuhan. Dan, jika ditakdirkan ruh ini terlebih dahulu dipanggil ilahi, tolonglah bersama-sama memberi penghormatan terakhir, bahagiakan keluarga ruh ini, berhentilah dari memerihalkan cerita yang sudah, kerana inilah destinasi untuk merehatkan diri.

19/10/2015

11:51 pm 

No comments:

Post a Comment