Wednesday, September 6, 2017




Perutusan Pengerusi PASCA sesi 2016/2017

Assalamualaikum Wrt Wbt

Timbalan Pengerusi
Setiausaha Agung
Bendahari Kehormat
Dan ahli-ahli jawatankuasa sekalian.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-­tiap sesuatu…" (Surah Ali ­Imran: ayat 26)

Sekilas Bibit Permulaan

Pada 1 September 2016 di Amber, Cina Muslim Restoran, Bangsar South saya telah diumumkan oleh Prof. Madya Dr Mohd Fauzi Hamat, Timbalan Pengarah (Ijazah Tinggi), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) sebagai Pengerusi Lajnah Pascasiswazah APIUM bagi sesi 2016/2017. Wallahi, satu pengumuman yang tidak disukai. Bukan apa, suatu bebanan yang sangat tinggi ditaklifkan. Jika diikutkan perancangan awal, saya tidak berkehendak untuk menghadiri majlis makan akhir tersebut sebagai tanda boikot apabila terdengar desas desus saya dicalonkan untuk mengetuai tampuk pimpinan PASCA.

Yang ‘ajibnya, suatu persatuan yang mempunyai kira-kira kurang lebih seribu lebih (kiraan awal) orang calon pascasiswazah di bawahnya dilahirkan dengan seorang ketua sahaja pada mulanya. Dengan ‘title’ rasmi tersebut jugalah dibawa ke ‘Outbound’ di Universitas Islam Negeri Sunang Gunung Djati (UINSGD) Bandung, Indonesia. Mujur ketika itu didokong kuat oleh mantan pengerusi dan ahli jawatankuasa yang masih belum diperalihan kuasa. Kelihatan dunia seakan zalim apabila ‘baton’ dilepaskan secara terlalu pantas dan perlu mendiplomasi hubungan antara saudara serumpun.

Al-kisahnya Tertubuhnya Pasukan yang Hebat

Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera”. (Riwayat Ahmad).
  
Beberapa persoalan yang timbul untuk melantik barisan hadapan pimpinan. Mereka yang pernah bersama atau rekrut pengalaman kroni yang baru? Sahabat seperjuangan atau teman tapi mesra? Proses kehidupan yang sering kita perjudikan untuk mendapatkan hasil keuntungan ataupun kerugian. Bahtera yang kecil di mata tapi hakikatnya sangat besar. Akhirnya berbekalkan pengalaman permusafiran, maka terbentuklah lajnah yang baru. Seperti kata seorang guru, untuk mengenali siapa teman, siapa kawan pergilah bermusafir bersama, maka kau akan temui jawapannya.

Sudah menjadi lumrah, pilihan kita bukan kehendak mereka yang lain. Pemilihan pendokong utama mendapat kritikan mantan yang lepas (bukan pengerusi ya). Namun, saya bulatkan tekad untuk istiqamah sehingga kemenangan. Saya seorang imam, saya juga wajar untuk memilih makmum pilihan hati dan jiwa juga. Eh. Alhamdulillah sehingga saat ini dan selamanya, Ya Allah aku menjadi saksi bahawa mereka adalah sebaik-baik pendokongku, sebesar zarah pun aku tidak pernah kesal terhadap pemilihan ini. Timbalan merupakan tulang belakang saya, tidak pernah untuk tidak mentaati, sesekali tidak pernah berkata tidak. Setiausaha sebagai tulang rusuk kanan saya (bukan kiri ya, eh), sentiasa cekap dan mendahului saya dalam semua perkara. Ibarat pegawai khas atau penasihat pun ada. Bendahari persis tulang kiri saya. Tubuh yang kecil namun berjiwa yang sangat besar. Komitmen yang amat banyak, tetapi sentiasa bersama saya dalam setiap urusan. Siapa berani mencari ‘gap’ yang ada dalam diri mereka? I said they are perfect enough!!!.

Setelah Majlis Tertinggi dengan penuh redhanya bersetuju membantu saya memimpin lajnah untuk tempoh setahun, proses ‘snowball’ dilakukan untuk mendapatkan serta melantik ahli jawatankuasa pula. Tanpa banyak songeh, cadangan yang diutarakan bersama dengan jawatankuasa yang lama terus diterima pakai. Dua orang Ex Officio dengan penuh vitonya saya sediakan kerusi khas, bagi mengapit kanan dan kiri seorang pengerusi. Pengalaman orang lama wajib diambil kira meskipun orang muda dikatakan seorang yang idealis.

Kejayaan atau Kegagalan? Bersama Muhasabah Renungkan

Berkaitan kelemahan jawatankuasa, kata guruku Penasihat Majlis Pimpinan Pelajar Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi 2006/2007 (beliau Naib Presiden V ABIM Pusat), itu semua adalah keputusan yang dibuat secara syura dan percaya atau tidak di dalam keputusan syura tiada keputusan yang salah, sama ada tepat atau kurang tepat. Tiada keputusan yang salah, malah setiap keputusan yang tepat akan diberikan dua ganjaran dan yang kurang tepat satu ganjaran. Jika hendak dibandingkan dengan perlantikan pimpinan yang lepas, biarlah pihak yang berhak lakukan. Setiap pemilihan ini ada hikmahnya. Setiap entiti yang dipilih ada peranan dan fungsinya. Taat dengan ketaatannya, rajin dengan kerajinannya, bersungguh dengan kesungguhannyaa dan lemah dengan kelemahan yang mereka sendiri pilih. Sekurang-kurangya lajnah ini merupakan medan untuk melatih serta memperbaiki diri untuk menjadi semakin sempurna seterusnya membantu menyempurnakan individu yang lain.

Sekalung Tangisan Penghargaan

Terima kasih tanpa batasan dan had, skop juga limitasi didedikasikan kepada kesemua barisan staff Bahagian Ijazah Tinggi (BIT) APIUM atas hubungan kerjasama yang tersangat-sangat sempurna diberikan kepada kami. Dr Fauzi, Puan Yan, Cik Aleen, Kak Dila, Kak Aza, Kak Nun, Kak Intan, Abang Ghaffar (sudah ditukar ke bahagian lain), Wan (dah berhenti) dan juga Abang Awi (belum sempat taaruf lagi). P/S: Nama glamour dan mesra. Terima kasih atas sedikit kepercayaan (takut nak letak harapan tinggi) yang diberikan kepada saya khususnya dan kami umumnya dalam membantu kalian menguruskan hal-hal berkaitan Ijazah Tinggi. Bukan senang nak naikkan nama Ijazah Tinggi. Tapi alhamdulillah, dalam tempoh setahun ini kehadiran serta kewujudan kami mendapat perhatian pihak fakulti/akademi. Ketahuilah bahawa tatkala saya memohon izin pengunduran diri, ada hati-hati yang tersentap, terobek disiat, bahkan ada air mata keegoan yang cuba menitik ke bumi. Kerana apa, kerana hubungan yang dibina ditautkan dengan ikatan kasih dan sayang dari Allah.

Harapan dan Wasiat Akhir

Kepada Pengerusi, para pimpinan serta ahli jawatankuasa yang baru, ketahuilah kerja kalian adalah suatu bentuk amal jariah. Berpenat lelah dan mungkin menangis tetapi tidak dibiayai dengan perbelanjaan wang ringgit. Meskipun begitu, anggaplah mereka BIT merupakan majikan, amanah dan tanggungjawab kalian. Kalianlah pengantara antara pelaksana dan pelajar. Jika mereka dikritik dengan sesuatu yang kurang tepat, maka perjelaskan, jadilah benteng kepada mereka. Mereka juga umpama ayahanda dan ibunda kalian. Taatilah pada jalan kebenaran, jangan sesekali menyelisihinya. Teruskan membina perhubungan antara satu sama lain. Tiada yang lebih berharga melainkan mahabbah insan dalam naungan rahmat Allah. Teruskan agenda yang direncana serta diputuskan bersama. Bawalah BIT, APIUM dan UM gah di persada universiti.

‘Meneruskan Legasi Kegemilangan’