Saturday, April 13, 2019

Platinum Oh Platinum


Bermula 8 – 12 April, kami mempunyai Minggu Terbuka fakulti bagi tahun 2019. Ia merupakan aktiviti tahunan saban tahun sejak beberapa tahun yang lepas. Sebagai orang yang memilih jalan akademik, kami sentiasa menunggu pertandingan poster yang dianjurkan bagi mempamerkan kajian serta penyelidikan masing-masing. Pertandingan tersebut turut menggalakkan calon pascasiswazah untuk menyertai kerana hadiah untuk kategori ini juga disediakan. Sepanjang tiga tahun perjalanan sebagai seorang pelajar atau pun penyelidik muda, aku turut tidak terlepas menanam hasrat serta impian untuk bersama rakan-rakan memperlihatkan penyelidikan dalam bentuk pameran poster. Cuma aku lebih cenderung untuk menyertainya pada akhir kajian dek kerana penyelidikan sudah mempunyai hasil dan juga telah hampir selesai. Maka, sebagai individu yang mempunyai personaliti yang perlukan persediaan rapi dalam sesuatu perkara, aku berjaya menyiapkan poster penyelidikan kurang lebih setahun awal sebelum pertandingan diadakan. Namun, pada waktu kejadian, aku diminta oleh penyelia untuk hadir ke seminar anti keganasan mewakili varsiti. Niat yang aku pasakkan dalam hati dari awal pengajian, ditambah pula dengan persiapan awal, terpaksa aku padamkan. Aku yakin dan percaya setiap perjalanan dalam kehidupan ada keindahannya. Pandanglah dengan mata hati yang sentiasa positif.

            2019, aku berkhidmat sebagai pembantu penyelidik secara tidak rasmi. Projek yang baru bermula pada 1 Februari. Ini bermakna hanya 2 bulan sahaja ia baru berjalan. Namun, penyelidikan bermetodekan kajian eksperimen perlu diselesaikan dalam tempoh setahun sahaja. Agak luar kebiasaan. Tempoh progress yang sangat pendek menyebabkan bossku berbelahbagi untuk menyertai pertandingan poster akademik kali ini. Namun, aku main terjah tetap mahu teruskannya dengan niat untuk suka-suka mengisi aktiviti yang ada. Persiapan yang terlalu singkat menuntut aku untuk meminta ihsan serta belas pertolongan daripada orang lain.

            Terdapat dua designer yang hebat dalam kalangan pelajar jabatan yang aku kenal. Seorang menggunakan perisian adobe illustrator dan seorang lagi menggunakan photoshop. Bagi memudahkan gerak kerja, kami memilih Abel (bukan nama sebenar) memandangkan beliau tinggal di daerah yang berhampiran dan tiada masalah untuk hadir ke fakulti untuk urusan perbincangan. Seperti biasa, sebagai seorang sufi hipstur ayat pertama aku lontarkan kepadanya adalah “Niatkan buat kerja ini kerana seorang guru” kerana dengan asbab guru kita mencapai hakikat ikhlas kerana Allah SWT mudah-mudahan. Aku sentiasa melihat hasil seorang yang ikhlas amat jauh kualitinya berbanding yang buat sesuatu dengan niat yang terpaksa. Aku menderafkan content untuk disematkan di dalam poster. Selebihnya aku menyerahkan kesenian jari jemari kepadanya. Sebab tabiat aku, aku sendiri boleh mencipta dan menghasilkan design sendiri, tapi aku perlukan masa yang panjang sedangkan realitinya kami tiada masa pun melainkan buat apa yang terlintas sahaja. Boss pula meminta pengisian poster perlu dipaparkan dalam bahasa Inggeris memandangkan projek pun dalam bahasa tersebut. Nafas yang tercungap-cungap oleh komitmen yang sangat banyak memaksa aku untuk menggunakan jalan pintas menterjemahkan isi menggunakan bantuan google translate. Profesor pun buat macam tu what. Eh. Cuma aku perlukan khidmat proofread bagi memastikan bahasa yang digunakan setaraf dengan level akademik dan aku juga menggalas nama baik bossku. Maka, aku pun memanfaatkan anak boss, Hasyier (nama sebenar) untuk menyumbang keringat terhadap uminya. Dan akhir sekali, content keseluruhan disahkan oleh boss sebelum dimuatkan dalam poster.


            Terima kasih kepada Tuan poster-poster platinum yang lepas kerana dijadikan sebagai rujukan. Hasil pembentukan keseluruhan poster juga berjaya diselesaikan dengan cukup pantas sekali bahkan sungguh menawan jiwa. Namun dukacitanya, selepas poster tersebut berjaya dicetak, satu persatu typo keaiban tersingkap. Kurelakan pengorbanan kewangan untuk dicetak kali kedua. Semakan teliti ahli pasukan dilakukan huruf by huruf. Dan akhirnya kami menyerah diri dengan mencetaknya semula dan menampalnya di papan pertandingan tanpa cuba-cuba mencari kesalahan diri.

            Rabu, 10 April. Bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 tengah hari dikatakan tempoh penilaian berlangsung. Kami sepasukan mempunyai rezeki program yang teramat sangat padat pada hari itu. Aku terpaksa berkecuali dalam kesemua aktiviti tersebut dan terpaksa bersabar menghadapi penilaian 4 orang panel dari luar sehingga jam 5.30 petang. Pehhh. Esoknya plak ada temu duga pensyarah UM bhai. Tapi takpe, aku percaya rezeki buat mereka yang berusaha dan bertaqwa. Kemenangan adalah bagi mereka yang sabar. 2 penilai memberi masa 10 minit pembentangan. Seorang penilai yang memberi cadangan penyelidikan dengan kritikal seolah dia penyelidik bersama. Boss hanya angguk dan katakan ya, aku yang berhasrat untuk konfrontasi pun tiada mood dek kerana sangat kepishangan. Seorang lagi penilai hanya menilai berdasarkan apa yang terpapar di poster. Siap sebut lagi markah setiap elemen. Katanya, setiap kali dia bertanya kerana kesamaran info dan maklumat, maka akan hilang markahnya. Alhamdulillah, satu soalan sahaja dia tanyakan, iaitu apakah metode yang dijalankan. Kat situ kami dapat 7/10. Kebanyakan markah dia bagi 10/10 termasuk design poster. Clap3.

            Tiba waktu pengumuman. Jawatankuasa maklumkan nama kami ada sebagai pemenang, tetapi tidak tahu pingat apa. Nafsu aku yang mutmainnah terus jadi inginkan kemenangan pertama. Aku pun tak tahu kenapa ia boleh berlaku sedangkan aku tahu mustahil kajian mentah boleh juara. 18 orang tim penyelidik menyertainya. Bermula dari saguhati sehingga ke gold medal aku membuka telinga dengan kecil sebab takut mendengar akan kekalahan. Akhirnya, takdir Allah SWT yang termaktub di lawh mahfuz menunjukkan kami juara. Wallahi aku nak sebut, rasa nak nangis rasanya. Walaupun pertandingan di peringkat fakulti sajohhh. Bukan apa, kita gadaikan masa, tenaga dan sebagainya diganjari dengan sebuah kemenangan. Kemenangan hari ini sama sekali tidak menjamin kejayaan pada hari esok. Aku beriman dengan teori ini.




Terima kasih atas usaha dan doa semua baik secara langsung mahu pun tidak. 

Ini sekadar suatu luahan hasil kepuasan diri tahap tertinggi.

12 April 2019
11.15 malam