Monday, October 22, 2018




Ucapan Wakil Graduan Ijazah Tinggi
Majlis Apresiasi Graduan 2018
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
22 Oktober 2018 (Isnin)
Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

أَعُوْذُ بِاللَّهِ السَّمِيْعِ الْعَلِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ، وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ، الهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِ كُلِّ مَعْلُومٍ لَكَ

Assalamualaikum WBT.

Terima kasih pengacara majlis, saudara Hariz Shah.

Yang dihormati, YBhg. Prof. Madya Dr. Ruzman Md Noor, Timbalan Pengarah Bahagian Ijazah Dasar, YBhg. Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Hamat, Timbalan Pengarah Bahagian Ijazah Tinggi, Prof. Madya Dr. Roslan Mohd Nor, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, yang dimuliakan para ilmuwan, dakatir, ibu bapa, keluarga dan yang diraikan para graduan serta hadirin yang dikasihi sekalian. 

Terima kasih diucapkan kepada Bahagian Ijazah Tinggi kerana telah mempersila saya untuk menyampaikan ucapan mewakili 151 orang graduan yang terdiri daripada 56 orang graduan daripada Program Ijazah Kedoktoran dan 95 orang graduan daripada Program Ijazah Sarjana. Ini merupakan kesempatan tertinggi yang diberikan kepada saya sepanjang 10 tahun keberadaan di akademi. Namun, ini juga merupakan penampilan terakhir saya di varsiti tercinta. Terlebih dahulu saya ingin memohon keizinan daripada semua guru yang mulia dan para senior yang berpengalaman bagi menyampaikan sedikit ucapan. Saya juga ingin memohon maaf sekiranya terdapat ucapan saya yang dirasakan tidak mewakili teman-teman pascasiswazah sekalian.

Memandangkan saya diperuntukkan  masa selama 15 minit, saya mewakili teman-teman graduan pascasiswazah ingin mendedikasikan penghargaan tertinggi yang tiada batasan ataupun limitasi kepada kesemua pihak mahupun individu yang terlibat sepanjang tempoh pengajian kami. Tanpa mereka sudah pasti kami menghadapi pelbagai masalah dalam menanganinya.

Yang pertama, Prof. Dato' Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff khasnya dan tim amnya. Beliau merupakan figura terbesar di Akademi. Segala urusan yang besar pasti melibatkan dan melalui beliau. Saya secara peribadi telah mendapatkan tandatangan beliau sebanyak 2 kali bagi perlanjutan penghantaran tesis. Tanpa budi bicara dan pengaruh beliau, sudah pasti urusan saya sukar dipermudahkan di peringkat Institut Pengajian Siswazah. Begitu juga pegawai-pegawai di bawah beliau yang kami berurusan atas kapasiti penyelidikan mahupun pentadbiran.

Yang kedua, Prof. Madya Dr. Ruzman Md Noor khasnya dan tim amnya. Meskipun beliau berada di bahagian Ijazah Dasar, ada jasa dan sumbangan yang diberikan secara tidak langsung, sebagai contoh, ketika saya hendak menghantar tesis, saya memerlukan tandatangan, Timbalan Pengarah Bahagian Ijazah Tinggi, namun beliau berada di luar negara, maka saya perlu mendapatkan tandatangan Dr. Ruzman bagi pihak Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Hamat. Al-maklum jika tanpa sumbangan beliau, sudah pasti urusan penghantaran tesis saya tergendala.

Yang ketiga, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Hamat khasnya dan tim amnya. Bagi kami graduan Program Ijazah Tinggi tidak dapat menafikan sumbangan beliau yang teramat sangat besar dalam menyelia urusan pengajian. Beliau telah mewujukan 3 group whatsapp bagi keperluan sarjana, doktor falsafah dan calon pascasiswazah antarabangsa. Untuk makluman semua, Dr. Fauzi merupakan ahli group yang paling aktif antara kami. 24 jam beliau berada dalam mode standby dalam memberi khidmat kepada kami. Kadang-kadang pada waktu tengah malam beliau menghantar whatsapp bertanyakan perkembangan mahupun memberikan info berkaitan pengajian. Kami berharap agar Dr. Fauzi dilanjutkan tempoh jawatan sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Ijazah Tinggi bagi sesi pentadbiran baru akademi akan datang.

Begitu juga, dedikasi khas diberikan kepada kesemua staf Ijazah Tinggi kerana telah menjalankan tugas dengan penuh sempurna sehingga urusan kami menjadi amat mudah dan sangat lancar. Terima kasih kepada puan Nor Zahian Hanafi, insan yang rajin bekerja berbanding bossnya sendiri bak kata Dr. Fauzi, puan Noor Adilla Addenan, cik Noor Fadzlin Aleena Mudzafar, puan Norazah Ithnin, individu yang banyak bekerja, puan Siti Noorimah Abu Bakar, puan Zainon Adon dan encik Khairul Azwan Mahayuddin.

Yang keempat, Prof. Madya Dr. Roslan Mohd Nor khasnya dan tim amnya. Antara syarat penghantaran tesis bagi seseorang calon sarjana mode penyelidikan dan doktor falsafah adalah penerbitan artikel di mana-mana jurnal yang diikitiraf oleh Universiti Malaya atau fakulti. Justeru, urusan kami tidak akan lengkap sekiranya tidak berhubung dengan beliau untuk pengesahan penerbitan. Sekadar sisipan, Dr. Roslan sendiri telah menghubungi saya melalui telefon semasa beliau berada di surau untuk bertemu atas urusan pengesahan penerbitan.

Yang kelima, terima kasih kepada ketua-ketua jabatan kami dan pembantunya yang sentiasa memayungi dan bekerja keras untuk kami. Kesempatan khas diberikan kepada Dr. Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman dan puan Noor Afishah Abd Aziz yang setiap kali urusan pengajian, urusan surat menyurat keperluan pengajian akan siap terus tanpa perlu menunggu 3 hari bekerja.

Yang keenam, Para Profesor seperti Prof. Dato’ Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Hidayat Buang, Prof. Datin Dr. Raihanah Hj. Abdullah, termasuk juga al-marhum Prof. Dr. Joni Tamkin Borhan yang menjadi pengerusi viva voce kami. Untuk makluman graduan sarjana muda dan sarjana, berbaiklah kepada mereka dalam perhubungan awam kerana mereka merupakan antara kunci kejayaan viva seseorang calon doktor falsafah. Pada kesempatan ini juga, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Prof. Datin Dr. Raihanah Hj. Abdullah atas perlantikan sebagai Pengarah berkuatkuasa 1 November 2018. Suatu catatan baru sejarah terukir di akademi sejak 1996 dan mana-mana Fakulti Pengajian Islam di Institusi Pengajian Tinggi Malaysia apabila wanita menerajui pimpinan tertinggi. 

Yang ketujuh, para penyelia, mentor dan pensyarah kami semua. Penyelia saya, Prof. Madya Dr. Che Zarrina Sa’ari dan Dr. Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman, mentor Prof. Madya. Dr. Khadijah Mohd Khambali @ Hambali dan kesemua pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam. 

Yang kelapan, kesemua pegawai tertinggi sehingga kepada staff sokongan dalam setiap bahagian. Mohon maaf, jika diikutkan hati dan perasaan, saya ingin menyebutkan nama satu persatu yang pernah berurusan dengan saya khususnya dan kami semua umumnya. InsyaAllah kami panjatkan doa kesejahteraan kepada kesemua individu ini kerana pernah muncul dalam hidup kami, secara sengaja memberi khidmat mahupun bantuan ataupun secara tidak sengaja menyebarkan salam pertemuan.

Yang kesembilan, kedua ibu bapa, keluarga, teman-teman dan idola-idola kami. Ibu bapa yang meletakkan kami sebagai aset dalam kehidupan mereka. Sentiasa sabar menyantuni kerenah anaknya sepanjang tempoh mengenal kehidupan serta mencari pengalaman hidup menuju fasa kematangan. Teman-teman yang berada di sisi mahupun yang jauh di mata yang sentiasa mendoakan kejayaan kami. Begitu juga idola-idola kami. Di sini saya meletakkan bekas tutee saya dari jabatan saya sendiri dan para junior yang saya kenali dari Jabatan Fiqh dan Usul, Ekonomi, Pendidikan Islam dan lain-lain sebagai antara idola saya meskipun mereka masih muda. Mereka juga akan bergraduasi pada petang ini. Tahniah diucapkan. Tahniah juga kerana ada di antara mereka yang akan menerajui tampuk pimpinan lajnah pascasiswazah baru pada era pentadbiran baru akademi.

Yang terakhir, kesemua pihak mahupun individu yang membantu perjalanan pengajian pascasiswazah kami meskipun sekadar sebesar zarah. Usaha yang kecil pasti dibalas dengan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
 
Fellow compariots and friends alike! Our current jouney has been completed, and yet our life's voyage will continue on , and the next destination shall throw at us trials such that we have yet to see before. Therefore, we humbly asks du’a from our erstwhile scholars and asatizah to pray for our journeys no matter where we are. The sanad and silsilah in our studies will be instrumental in the development of the current ummah and the next generation. InsyaAllah, it will be beneficial for religion, race and country.

For those who wish to continue their studies in the postgraduate world, the following counsel will prove helpful. Know that pursuing posgraduate studies is a self-consciously made choice and not a level of requirement that is needed once upon a time.

5 advices that we wish to convey, adapted from the sufism’s element approach:

1- al-Niah: The intentions to pursue studies must be pure. It is because all predicaments and tribulations comes high and low like the tide, endlessly without stop. A pure intention will be able to break down the obstacles that come and overtake us.

2- Mujahadah al-Nafs: A constantly high diligence and a strong strength of mind.

3- Riyadah al-Nafs: Never quit nor stop on your journey, even though giving it all up crosses our mind from time to time. If you do fall, rise promptly and walk on stronger than before.

4- Tazkiyah al-Nafs: Always strive to be closer to Allah. Postgraduate studies is a humbling phase, never letting arrogance be sown in your heart. Be like the rice stalk, it bends lower as it is laden with ripening grains.

5- Mursyid: Obey your supervisor. 80% of your success will depend on their efforst and goodwill.

وأخيرًا ، أَوَدُّ أَنْ أَدْعُوْ جَمِيْعَ الْحَاضِرِيْنَ فِيْ هَذَا الْمَجْلِسِ إِلَى الْجُلُوْسِ لَحْظَةً لِإِعْطَاءِ تَقْدِيْرٍ كَبِيْرٍ لِمُعَلِّمِنَا البروفسور. الدكتور Joni Tamkin Borhan وَإِنْ لَا نَسْتَطِيْعَ أَنْ نَعْمَلَ الذِّكْرِيَاتِ الرَّائِعَةَ مَعَهُمْ فِيْ هَذَا الْعَامِ وَبَعْدَهُ. وَهَذَا الْجُلُوْسُ هَدِيَّةُ تَشْرِيْفٍ وَإِظْهَارُ شَوْقِنَا إِلَيْهِمْ. لَهُمُ الْفَاتِحَة

Salam hormat daripada saya.
Thank you for your all kind attentions.
Jazakumullahu khayr al-jaza’. Bi al-tawfeeq wa al-najah.

Assalamualaikum WBT.

Al-Faqir, akhukum fillah,
Mohd Syukri Zainal Abidin, PhD
Mantan Pengerusi
Lajnah Pascasiswazah
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya sesi 2016/2017



Monday, September 10, 2018

Tajdid Pentarbiyahan Syabab Milenium



Sejak saya diamanahkan oleh YM guru untuk mengendalikan beberapa kelas tutorial, saya dapati rata-rata atau boleh dikatakan majoriti mahasiswa sarjana muda berada dalam mood bermalasan, tidak bersungguh-sungguh menduduki kuliah dan pengajian yang ada. Usaha yang dipertonjolkan secara zahir dinilai pada kadar rendah. Belum lagi disebut tentang etika sebagai seorang pelajar; hadir lewat melebihi 10 minit, tidak hadir tanpa sebab, berpakaian sangat santai dan lain-lain. Tugasan bersendirian atau secara berkumpulan diselesaikan dengan tema ‘asal siap’ sahaja. Jika dibincangkan dengan sebahagian pensyarah mahupun tutor lain, keluhan yang sama diluahkan. Ya, tidak dinafikan budaya ini juga ditampilkan oleh rakan sepengajian dahulu. Apa perkara penting yang hendak di’hightlight’kan adalah sikap fokus dengan niat suci terhadap keberadaan di menara gading. Jika dikenang kembali pengalaman lampau pada zaman asasi, ayah kehabisan duit untuk disalurkan apabila diperlukan. Adakah mereka berkorban dan kita pula mengorbankan diri dengan penuh bangga?. Itu cerita pelajar degree.

Baru-baru ini, sangat mendukacitakan apabila saya melihat penulisan calon sarjana yang kurang memuaskan meskipun berada pada hampir peringkat akhir. Apabila ditegur, biasalah mesti ada hujah balas dan justifikasinya tersendiri. Ketika perbentangan pertahanan penyelidikan hendak bermula, belum bermula dengan salam dan kalam, tiga orang penilai sudah ‘tembak’ perkara yang saya tegur dan minta calon untuk ubahnya. Di sini dapat dirumuskan dua perkara; diri sendiri tidak bersungguh menjalankan penyelidikan dan sukar menerima kritikan terhadap apa yang dilakukan. Poin kedua itu lumrah kerana secara asasnya setiap calon lebih arif tentang penyelidikan yang sedang dijalankannya meskipun jika hendak dibandingkan pengetahuan penyelia. Namun, teramat ralat adalah apabila calon sarjana membawa sama budaya ketika zaman pengajian lepas.

Ketahuilah alam pascasiswazah ada disiplin dan etikanya tersendiri. Sehingga hari ini saya berpegang satu falsafah yang dirumuskan oleh ... (informan dirahsiakan) iaitu dalam pengajian Islam peringkat sarjana umpama untuk melahirkan ulama’, manakala peringkat seterusnya diumpakan menjadi seorang mufti. Walaupun hakikatnya prinsip tersebut tidaklah begitu tepat, namun realitinya kesarjanaan individu perlu mencapai tahap sebegitu. Harus untuk mengatakan tidak tahu, namun sepatutnya perlu tahu. Kerana itulah keizzahan seorang ulama silam. Akhirnya, saya hendak tekankan bahawa meskipun dilahirkan bukan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi, sekurang-kurangnya niat, usaha dan azam perlu diletakkan di tempat yang paling tinggi. Ini kerana yang dinilai bukan pada hasil, namun pada tekadnya. Berlagak mulia dan sombong kepandaian persis iblis, hidup tanpa usaha lebih baik mati.      

Bagaimana kita ingin menjadi pendidik akan datang, sedangkan diri tidak terdidik hari ini!


*Kredit gambar kepada Dr. Roket


Mohd Syukri Zainal Abidin
BA (Malaya) 2014, PhD (Malaya) 2018
14.00 pm
Sempadan P14, Putrajaya

Tuesday, July 10, 2018

‘Saktah’ sebuah perjalanan pengajian: Aku datang dan pulang sebagai penuntut ilmu.



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Kurang lebih 3 tahun aku meneruskan pengajian yang aku pilih hasil redha dan izin seorang guru pada mulanya, di samping suluhan Illahi mudah-mudahan. Pengajian tanpa melalui fasa normal pelajar tipikal. Menyahut ruang dan peluang yang luar biasa.

Kepada pembaca yang teramat sangat disayangi sekalian. WaAllahi aku cuba muhasabah diri, pernahkah kalian melihat status atau perakuan aku di alam nyata mahupun media sosial yang menzahirkan status pengajian tinggi? Seamal atau praktik aku, aku hanya menyatakan keadaan sebenar apabila kalian bertanya. Kerna aku pahat kuat dalam jiwa, pengajian adalah amanah Tuhan yang akhirnya wajib untuk kita sumbang kepada masyarakat serta ummah. Pendidikan tinggi bukan suatu lesen untuk bermegah bahkan suatu bebanan tanggungjawab yang akan dipersoalkan kelak.

Sekian...

Viva voce merupakan suatu perbentangan oral yang dijalankan sebelum calon menjadi sarjana atau ahli akademik. Pada mulanya aku hanya anggap ia persidangan biasa seperti Proposal Defence, Candidature Defense atau Seminar Hasil. Kejayaan tergantung kepada keupayaan penulisan. Namun, pengalaman senior membuktikan kekuatan manusia sama sekali tidak meninggalkan kesan, bahkan rezeki dan takdir Allah SWT adalah segala penentu. Maka dengan itu, aku anggap ia umpama yaum al-Hisab. Logika pasti akan mempertikaikan bahawa sia-sia usaha kita sekiranya semua berbalik kepada nasib. Bagi aku, seorang yang bergelar pelajar meskipun sempurna dalam penulisan, belum menjamin kemampuan dalam merespon lontaran persoalan-persoalan jawatankuasa. Kata guruku, seorang bakal sarjana lebih-lebih lagi dalam peringkat tertinggi, dia kena arif dalam kajiannya dan alim sekitar disiplin ilmu yang diceburinya. Fuhhh!!! Bolehkah untuk kita berkatakan ‘saya tidak tahu’?...

Secara fitrahnya, kita tidak akan lari merasakan diri berkebolehan, berkeupayaan dan berkemampuan. Namun, sifat serta sikap tersebut bagi aku kita perlu hakis bahkan buang dalam diri seorang penuntut pengajian Islam. Rentetan itu, apabila aku direncanakan untuk menduduki viva, sejak dari itu kehidupan aku sedikit mengalami perubahan dan anjakan paradigma. Jantung sentiasa bergerak laju seperti kuda mahu perang, menggigil tidak tentu dan banyak lagi respon automatik. Solusi yang diambil serahkan segalanya bulat-bulat kepada Allah SWT.

Tiba hari dan masa yang ditunggu. Terdengar kelantangan Dato’ Pengerusi dalam persidangan. Ketua Jabatan menyambut suara tersebut dengan separa serius dan humor. Lagak seorang pejuang hanya berzikir ‘Ada aku kesah, nak jadi apa, jadilah, satu peringkat yang pasti dilalui oleh semua orang apabila tiba waktu’. Apabila aku dijemput masuk ke bilik sidang, syarat utama adalah beri salam. Duduk dengan sopan, bertingkahlaku bertamadun Islam. Aku terdengar seperti Dato’ Pengerusi beritahu selalu nampak aku solat kat Surau. Heh. Aku kat rumah budak masjid walau surau hanya beberapa langkah. Lelz. Dato’ Pengerusi maklumkan bahawa kalau tidak tahu jawab tidak tahu, ia bukan suatu kesalahan. Kenyataan tersebut disambut oleh Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi dengan mengatakan Imam Malik juga berkata tidak tahu dalam perihal yang mungkin beliau tidak berupaya menjawab. Apa pun pesan Mahaguru, jawab dengan yakin walau ... Hehehe.

Sidang berjalan dengan penuh aman dan bahagia. WaAllahi sangat bahagia. Dengan panel yang sangat tenang, ibarat ada Malaikat yang memantau. Poin di sini, hubungan awam atau Public Relation sangat penting. Fame bukan famous juga perlu. Ini merupakan siasah atau diplomasi antara pelbagai pihak. Kethiqahan murshid juga diambil kira. Akhir persidangan, dedikasi penghargaan aku kepada semua jawatankuasa dan jemputan menuntut Dato’ Pengerusi meminta Timbalan Pengarah membelanja aku, bukan aku belanja beliau. Kbai.

Hakikat kejayaan itu rahasia Tuhan. Boleh jadi ia merupakan syafaat dari kegagalan. Kini... Aku mencari destinasi seterusnya. Dengan cabaran serta kehidupan yang baru. Seperti biasa, usaha, usaha dan usaha. Kesemua usaha campakkan tawakal kepada Allah SWT.

Penghargaan terulung dihadiahkan kepada ayahanda Prof. Dr. Joni Tamkin bin Borhan atas doa dan tabarruk. Kepada insan yang setiap detik bersama. Terima kasih diucapkan.

Coretan ditulis ikhlas untuk calon mendatang 

3 Julai 2018
4.30 petang
Bilik Lajnah Pascasiswazah APIUM

3 Julai 2018, 11.30 - 12.30 pagi.
Ahli-ahli Jawatankuasa Pemeriksa Ijazah Doktor Falsafah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Pengerusi: Dato’ Profesor Dr. Ahmad Hidayat bin Buang
Wakil Senat Universiti Malaya: Profesor Madya Dr. Hanafi bin Husin
Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi: Profesor  Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat
Ketua Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam merangkap Penyelia bersama: Dr. Syed Mohammad Hilmi bin Syed Abdul Rahman
Pemeriksa Luar: Profesor Dr. Saiful Akhyar Lubis (Indonesia)
Pemeriksa Luar: Profesor Madya Dr. Rohaizan bin Baru  (UNISZA, Malaysia)
Pemeriksa Dalam: Dr. Mohd Khairul Naim bin Che Nordin (UM, Malaysia)
Penyelia: Profesor Madya Dr. Che Zarrina binti Sa’ari

Keputusan (Tertakluk kepada Senat): Lulus. Pembetulan secara minor perlu dilakukan dan tesis boleh diserahkan pada bila-bila masa selepas siap dibaiki selewat-lewatnya 3 bulan.

#MisiUsahaUntukGraduasiTopiBulat


Saturday, June 2, 2018


Malaysia Baru: Tugas Kita sebagai Khalifah yang Baru

9 Mei yang lepas, Malaysia telah mengalami perubahan tampuk pimpinan yang baru. Perubahan secara total setelah Negara melalui pemerintahan yang lama selama kurang lebih 61 tahun. Kelompok pemimpin yang menaiki takhta dislogankan oleh golongan tradisionalis sebagai mereka yang mesra dengan aliran pemikiran Islam yang bercorak liberal. Oleh itu, institusi agama yang gah berdiri dimomokkan untuk menjalani ‘penyucian’ serta perlu disegarkan kembali daripada kotoran pemikiran tokoh pimpinan lama yang menggubal dasar dan meneraju badan tersebut.

Al-maklum setiap agama mempunyai misi dan visi dalam menarik minat setiap individu. Bukan itu sahaja, tokoh-tokoh bidaah dalam agama Islam sendiri juga giat mencari pendokong dan penyokong masing-masing. Cuma dalam hal ini, Islam terpelihara oleh perlembagaan Negara. Corak dan pendekatan yang berhemah, lemah lembut serta sopan santun dinyatakan perlu diterapkan dalam berhadapan dengan pelbagai pihak khususnya mereka yang bukan Islam ataupun mereka yang tidak berminat dengan Islam mahupun mereka yang anti dengan Islam.

Jenayah dalam Islam disebut dalam tiga kategori: fahsya’, munkar dan baghy. Terdapat juga tiga pendekatan yang boleh diaplikasikan terhadap jenayah tersebut iaitu dengan menggunakan (tangan) kuasa, (lidah) nasihat dan hati. Di sini dapat disimpulkan bahawa penguatkuasaan undang-undang hanya boleh digunakan kepada mereka yang melakukan jenayah secara besar-besaran seperti rompakan, rusuhan dan lain-lain lagi. Manakala, kejahatan yang dilakukan oleh dua pihak hanya boleh dinasihati sahaja, apatah kejahatan peribadi yang merupakan hak masing-masing. Sebagai contoh, tidak berpuasa, hisap dadah, minum arak dan banyak lagi merupakan dosa hasil pilihan sendiri. Hanya Allah SWT sahaja yang layak memberi hukuman dan bukannya penguatkuasa. Pemikiran umpama ini digagaskan oleh seorang tokoh terkemuka tanah air yang mempunyai pengaruh yang sangat besar bahkan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi.   

Pelaksana-pelaksana berlatarbelakangkan pendidikan agama berada dalam setiap institusi agama. Mereka ini berkerja secara berkumpulan. Bukan itu sahaja, di belakang mereka terdapat juga para pakar pelbagai bidang sebagai tempat rujukan dalam menasihati isu-isu yang timbul sesama masyarakat. Rombakan secara total harus dilakukan dalam apa jua keadaan. Dengan erti kata, perkara yang tidak baik boleh diperbaiki dan isu yang sudah baik boleh dipertambahbaik lagi. Namun begitu, sepanjang kebersamaan saya bersama pegawai-pegawai tinggi dalam suatu institusi agama, apa yang saya lihat tidak lain hanya mereka bergerak demi kesejahteraan umat. Contohnya, masalah sosial serta salahlaku sebagai contoh, mereka akan mencari solusi terbaik dalam menangani serta menyelesaikan masalah tersebut menurut perspektif agama dengan menggunakan pendekatan berhikmah yang amat teliti.   

Hari ini, saya terdengar rintihan mereka (pegawai tinggi agama) bahawa akan lahirnya penjenamaan baru dalam beberapa perkara seperti tiada lagi penggunaan istilah Fatwa Kebangsaan dan diharmonikan kepada panggilan hukum yang diinstinbatkan. Mungkin pengharmonian ini dilakukan agar tidak kelihatan keras, zalim dan sebagainya. Walau apapun yang berlaku, tugas serta tanggungjawab agamawan tetap diteruskan. Bahkan amanah ini tidak lagi tertumpu kepada orang agama, bahkan perlu digalas oleh setiap individu yang bergelar khalifah. Ketahuilah, hilangnya atau terhapusnya agamawan tidak memberi kesan sedikit pun terhadap mereka. Bahkan kita yang kehilangan cahaya yang akan menyuluh, memberi serta menunjuk jalan untuk anak keturunan. Islam juga tetap suci meskipun tiada yang menganutnya. Namun, Islam yang menjadi destinasi kita selepas di dunia ini. Serahkan urusan agama kepada ahlinya. Muhasabah dan lihat diri kita.

Saya bukan pegawai agama, hanya terlibat dengan agamawan sahaja.

Saya mendambakan ketinggian serta kegahhan institusi agama supaya dihormati seperti al-Azhar, Madinah mahupun Iran.