Monday, September 10, 2018

Tajdid Pentarbiyahan Syabab Milenium



Sejak saya diamanahkan oleh YM guru untuk mengendalikan beberapa kelas tutorial, saya dapati rata-rata atau boleh dikatakan majoriti mahasiswa sarjana muda berada dalam mood bermalasan, tidak bersungguh-sungguh menduduki kuliah dan pengajian yang ada. Usaha yang dipertonjolkan secara zahir dinilai pada kadar rendah. Belum lagi disebut tentang etika sebagai seorang pelajar; hadir lewat melebihi 10 minit, tidak hadir tanpa sebab, berpakaian sangat santai dan lain-lain. Tugasan bersendirian atau secara berkumpulan diselesaikan dengan tema ‘asal siap’ sahaja. Jika dibincangkan dengan sebahagian pensyarah mahupun tutor lain, keluhan yang sama diluahkan. Ya, tidak dinafikan budaya ini juga ditampilkan oleh rakan sepengajian dahulu. Apa perkara penting yang hendak di’hightlight’kan adalah sikap fokus dengan niat suci terhadap keberadaan di menara gading. Jika dikenang kembali pengalaman lampau pada zaman asasi, ayah kehabisan duit untuk disalurkan apabila diperlukan. Adakah mereka berkorban dan kita pula mengorbankan diri dengan penuh bangga?. Itu cerita pelajar degree.

Baru-baru ini, sangat mendukacitakan apabila saya melihat penulisan calon sarjana yang kurang memuaskan meskipun berada pada hampir peringkat akhir. Apabila ditegur, biasalah mesti ada hujah balas dan justifikasinya tersendiri. Ketika perbentangan pertahanan penyelidikan hendak bermula, belum bermula dengan salam dan kalam, tiga orang penilai sudah ‘tembak’ perkara yang saya tegur dan minta calon untuk ubahnya. Di sini dapat dirumuskan dua perkara; diri sendiri tidak bersungguh menjalankan penyelidikan dan sukar menerima kritikan terhadap apa yang dilakukan. Poin kedua itu lumrah kerana secara asasnya setiap calon lebih arif tentang penyelidikan yang sedang dijalankannya meskipun jika hendak dibandingkan pengetahuan penyelia. Namun, teramat ralat adalah apabila calon sarjana membawa sama budaya ketika zaman pengajian lepas.

Ketahuilah alam pascasiswazah ada disiplin dan etikanya tersendiri. Sehingga hari ini saya berpegang satu falsafah yang dirumuskan oleh ... (informan dirahsiakan) iaitu dalam pengajian Islam peringkat sarjana umpama untuk melahirkan ulama’, manakala peringkat seterusnya diumpakan menjadi seorang mufti. Walaupun hakikatnya prinsip tersebut tidaklah begitu tepat, namun realitinya kesarjanaan individu perlu mencapai tahap sebegitu. Harus untuk mengatakan tidak tahu, namun sepatutnya perlu tahu. Kerana itulah keizzahan seorang ulama silam. Akhirnya, saya hendak tekankan bahawa meskipun dilahirkan bukan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi, sekurang-kurangnya niat, usaha dan azam perlu diletakkan di tempat yang paling tinggi. Ini kerana yang dinilai bukan pada hasil, namun pada tekadnya. Berlagak mulia dan sombong kepandaian persis iblis, hidup tanpa usaha lebih baik mati.      

Bagaimana kita ingin menjadi pendidik akan datang, sedangkan diri tidak terdidik hari ini!


*Kredit gambar kepada Dr. Roket


Mohd Syukri Zainal Abidin
BA (Malaya) 2014, PhD (Malaya) 2018
14.00 pm
Sempadan P14, Putrajaya

No comments:

Post a Comment