Saturday, June 2, 2018


Malaysia Baru: Tugas Kita sebagai Khalifah yang Baru

9 Mei yang lepas, Malaysia telah mengalami perubahan tampuk pimpinan yang baru. Perubahan secara total setelah Negara melalui pemerintahan yang lama selama kurang lebih 61 tahun. Kelompok pemimpin yang menaiki takhta dislogankan oleh golongan tradisionalis sebagai mereka yang mesra dengan aliran pemikiran Islam yang bercorak liberal. Oleh itu, institusi agama yang gah berdiri dimomokkan untuk menjalani ‘penyucian’ serta perlu disegarkan kembali daripada kotoran pemikiran tokoh pimpinan lama yang menggubal dasar dan meneraju badan tersebut.

Al-maklum setiap agama mempunyai misi dan visi dalam menarik minat setiap individu. Bukan itu sahaja, tokoh-tokoh bidaah dalam agama Islam sendiri juga giat mencari pendokong dan penyokong masing-masing. Cuma dalam hal ini, Islam terpelihara oleh perlembagaan Negara. Corak dan pendekatan yang berhemah, lemah lembut serta sopan santun dinyatakan perlu diterapkan dalam berhadapan dengan pelbagai pihak khususnya mereka yang bukan Islam ataupun mereka yang tidak berminat dengan Islam mahupun mereka yang anti dengan Islam.

Jenayah dalam Islam disebut dalam tiga kategori: fahsya’, munkar dan baghy. Terdapat juga tiga pendekatan yang boleh diaplikasikan terhadap jenayah tersebut iaitu dengan menggunakan (tangan) kuasa, (lidah) nasihat dan hati. Di sini dapat disimpulkan bahawa penguatkuasaan undang-undang hanya boleh digunakan kepada mereka yang melakukan jenayah secara besar-besaran seperti rompakan, rusuhan dan lain-lain lagi. Manakala, kejahatan yang dilakukan oleh dua pihak hanya boleh dinasihati sahaja, apatah kejahatan peribadi yang merupakan hak masing-masing. Sebagai contoh, tidak berpuasa, hisap dadah, minum arak dan banyak lagi merupakan dosa hasil pilihan sendiri. Hanya Allah SWT sahaja yang layak memberi hukuman dan bukannya penguatkuasa. Pemikiran umpama ini digagaskan oleh seorang tokoh terkemuka tanah air yang mempunyai pengaruh yang sangat besar bahkan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi.   

Pelaksana-pelaksana berlatarbelakangkan pendidikan agama berada dalam setiap institusi agama. Mereka ini berkerja secara berkumpulan. Bukan itu sahaja, di belakang mereka terdapat juga para pakar pelbagai bidang sebagai tempat rujukan dalam menasihati isu-isu yang timbul sesama masyarakat. Rombakan secara total harus dilakukan dalam apa jua keadaan. Dengan erti kata, perkara yang tidak baik boleh diperbaiki dan isu yang sudah baik boleh dipertambahbaik lagi. Namun begitu, sepanjang kebersamaan saya bersama pegawai-pegawai tinggi dalam suatu institusi agama, apa yang saya lihat tidak lain hanya mereka bergerak demi kesejahteraan umat. Contohnya, masalah sosial serta salahlaku sebagai contoh, mereka akan mencari solusi terbaik dalam menangani serta menyelesaikan masalah tersebut menurut perspektif agama dengan menggunakan pendekatan berhikmah yang amat teliti.   

Hari ini, saya terdengar rintihan mereka (pegawai tinggi agama) bahawa akan lahirnya penjenamaan baru dalam beberapa perkara seperti tiada lagi penggunaan istilah Fatwa Kebangsaan dan diharmonikan kepada panggilan hukum yang diinstinbatkan. Mungkin pengharmonian ini dilakukan agar tidak kelihatan keras, zalim dan sebagainya. Walau apapun yang berlaku, tugas serta tanggungjawab agamawan tetap diteruskan. Bahkan amanah ini tidak lagi tertumpu kepada orang agama, bahkan perlu digalas oleh setiap individu yang bergelar khalifah. Ketahuilah, hilangnya atau terhapusnya agamawan tidak memberi kesan sedikit pun terhadap mereka. Bahkan kita yang kehilangan cahaya yang akan menyuluh, memberi serta menunjuk jalan untuk anak keturunan. Islam juga tetap suci meskipun tiada yang menganutnya. Namun, Islam yang menjadi destinasi kita selepas di dunia ini. Serahkan urusan agama kepada ahlinya. Muhasabah dan lihat diri kita.

Saya bukan pegawai agama, hanya terlibat dengan agamawan sahaja.

Saya mendambakan ketinggian serta kegahhan institusi agama supaya dihormati seperti al-Azhar, Madinah mahupun Iran.