BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, May 6, 2013

Surat Terbuka kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak






YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
Pengerusi Barisan Nasional Malaysia

6 Mei 2013
                                
Assalamualaikum WBT. Semoga redha dan rahmat Allah bersama YAB Datuk Seri.



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢)فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا (٣)


1. apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah), 2. dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai, 3. maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

YAB Datuk Seri,

Pertamanya dengan berbesar hati saya ingin mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada YAB Datuk Seri selaku pengerusi Barisan Nasional atas kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 seterusnya membentuk kerajaan Malaysia. Kemenangan ini bukan untuk dibanggakan kerana tanggungjawab dan amanah yang besar akan datang dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Para pemimpin agung Islam apabila ditaklifkan sebagai khalifah, mereka menangis kerana takutkan Allah, gementar hati mereka terhadap balasan yang amat berat bakal mereka terima apabila mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya lalu mengkhianati kepercayaan umat yang diberikan. Amanah ini digambarkan jauh lebih berat jika dibandingkan dengan gunung-ganang dan bukit-bukau. Rakyat-rakyat akan menjadi saksi tentang apa yang dilakukan oleh para pemimpin mereka. Jalankan bebanan yang dipikul dengan penuh rasa amanah dan adil. Segala ‘aku janji’ yang diikrarkan dan dilafazkan perlu ditunaikan mengikut masa yang ditetapkan. Jangan sesekali kita tergolong dalam kalangan orang munafiq yang dijanjikan azab yang amat pedih dan mendapat balasan kekal di dalam neraka.

حدثنا علي بن مسهر عن يزيد عن مجاهد قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ثلاث من كن فيه فهو منافق : الذي إذا حدث كذب ، وإذا اؤتمن خان ، وإذا وعد أخلف
Rasulullah SAW bersabda “ seorang munafiq akan ada tiga ciri-ciri ini iaitu apabila dia berkata dia berdusta, apabila diberi amanah dia khianat, dan apabila dia berjanji dia mungkiri”

YAB Datuk Seri,

Kajilah semula semua manifesto yang dibuat oleh Pakatan Rakyat seperti pendidikan percuma untuk semua, penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penurunan harga minyak, penurunan harga kereta dan lain-lain lagi. Jika ada antara manifesto tersebut yang mampu dilakukan oleh pihak kerajaan, maka kami selaku rakyat amatlah berbesar hati, bergembira dan berterima kasih. Buktikan bukan sahaja Pakatan Rakyat yang mampu lakukan tetapi juga kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Tunjukkan kepada kami bahawa kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri boleh melaksanakan sesuatu kebajikan yang besar meskipun tidak pernah meletakkan ia sebagai janji. Adalah yang lebih penting lagi, kami amat berharap jangan membebani kami dengan ekonomi yang melambung tinggi seperti dengan menaikkan harga barang, rumah, cukai, dan sebagainya. Bagaimanalah nasib kami yang berpendapatan jauh lebih rendah.

YAB Datuk Seri,

Bukan itu sahaja, selaku pemimpin Islam di Negara Islam, saya merayu agar YAB Datuk Seri mengutamakan Islam, memelihara kesucian Islam serta mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian. Solat, puasa, zakat, haji merupakan perkara asas yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang bergelar muslim. Bina,wujudkan, serta perbanyakkan aktiviti-aktiviti yang bercirikan Islam serta perluaskan lagi sistem-sistem Islam. Uruskan dan tadbirlah Malaysia bersama golongan ulama’ atau ilmuwan Islam. Mereka sebagai penasihat keagamaan dapat membantu perjalanan pemerintahan agar tidak terkeluar dari landasan Islam. Bangsa Melayu jangan disisihkan. Tetapi jangan sesekali juga kita mengabaikan kebajikan sahabat-sahabat lain yang berlainan agama dan bangsa kerana kita hidup serumpun dan bermasyarakat. Toleransi sesama kaum perlu dieratkan. Menyentuh sensitiviti mereka perlu dijauhkan.

YAB Datuk Seri,

Selaku orang yang paling berkuasa, maka menjadi satu kewajipan untuk menghapuskan segala kemungkaran yang ada di atas muka bumi ini. Suburkan persekitaran yang berlandaskan syariat Islam agar generasi yang lahir akan terus bersih lagi suci tanpa dikotori oleh titik-titik maksiat dan dosa. Hapuskan rasuah dan bersaing secara sihat, hapuskan juga kroni, dan ambil mereka yang mempunyai bakat dan kebolehan. Jangan menggunakan dan mengambil wang rakyat dengan jalan batil. Bersederhanalah dalam berbelanja. Bebaskan media arus perdana, jangan berlaku zalim terhadap sesiapa pun. Suburkan demokrasi dan kebebasan bersuara. Panggil saudara serta sahabat dari pihak pembangkang khususnya untuk duduk semeja berbincang hala tuju negara dan bersama-sama memakmurkan negara agar terus maju ke hadapan dan mampu bersaing negara-negara luar. Kritikan luar baik yang membina mahupun menjatuhkan perlu diambil dengan hati yang terbuka dan dada yang lapang bagi memperbaiki diri seterusnya menjadi insan yang sempurna.

 Akhir kalam, kami rakyat jelata, mahukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang berkebajikan. Laksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dengan amanah lagi adil dan sebaik mungkin. Dengan kuasa rakyatlah yang menaikkan seseorang menjadi pemimpin, dan dengan kehendak rakyat juga seseorang itu turun dari takhta kepimpinan. Pemimpin mempunyai hak kepada rakyat, begitu juga rakyat mempunyai hak ke atas pemimpin.

عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة(

Maksudnya: Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah SAW sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”


“Kebajikan Kami, Tanggungjawab Anda,
Kami Mendokong Kepimpinan YAB Datuk Seri”.



Mohd Syukri Bin Zainal Abidin
Rakyat Malaysia yang prihatin.



0 comments: