BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, April 26, 2011

Teologi Ketuhanan Wahabiyyah


1) Apakah maksud Teologi ?

Perkataan teologi adalah perkataan yang berasal daripada dua kalimah kata yang berbeza daripada bahasa Greek iaitu ‘teo’ dan ‘logis’. Dari sudut bahasa, teo membawa maksud Tuhan ataupun pencipta dan pemilik alam ini. Logis pula membawa maksud kata-kata, cakap-cakap ataupun cerita-cerita. Dari sudut Istilah pula, kita dapat simpulkan bahawa teologi adalah sesuatu yang berkaitan dengan keyakinan kepada Tuhan .Teologi meliputi segala sesuatu yangberhubungan kait dengan Tuhan. Dengan kata lain, teologi membawa maksud perbincangan mengenai konsep ketuhanan.
Perbincangan mengenai teologi adalah perbincangan pokok bagi sesebuah agama kerana dasar di dalam agama adalah beriman dan mempercayai tentang kewujudan tuhan mereka. Oleh disebabkan itu,Islam tidak terlepas daripada perbincangan tentang teologi kerana agama ini mengakui bahawa adanya tuhan yang maha Esa. Dengan adanya perbincangan dan perbahasan mengenai soal ketuhanan, maka wujudlah perselisihan dan perbezaan pendapat tentang aspek perbincangan dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Perbezaan ini telah dijadikan sempadan dan titik perbezaan antara kumpulan-kumpulan islam (firqah) dalam agama Islam. Antara kumpulan Islam yang mempunyai perbezaan dalam membahaskan aspek kertuhanan dalam agama Islam adalah Salafiyyah atau lebih dikenali dengan nama golongan Wahabi.



2) Siapakah golongan Wahabi ?

Apa Itu Wahabi ?
Istilah Wahabiyah merujuk kepada suatu aliran atau fahaman yang dinisbahkan kepada Muhammad Bin Abdul Wahab.Wahabi juga merujuk kepada pengikut dan pendokong fahaman beliau.Kedua-dua istilah ini adalah sandaran kepada Muhammad Bin Abdul Wahab.
Sejarah Wahabi
Fahaman atau golongan wahabi ini bermulanya diambil nama itu dari seorang tokoh yang bernama Muhammad Bin Abdul wahab, lahir pada tahun 1699 masihi, yang mana ulama berselisih pendapat tentang tarikh kelahiran dan kematian beliau namun pendapat yang masyhur tentang kelahiran beliau adalah pada tahun 1115 hijriah atau bersamaan dengan 1703 masihi di kampung Huraimila, Najd, Arab Saudi. Wahabi diambil sempena nama ayah beliau sebagai mana Imam As-Syafi’I, Imam Hanbali dan sebagainya. Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah bersepakat untuk tidak menisbahkan nama golongan tersebut sempena nama beliau sendiri sebagai muhammadi supaya masyarakat Islam tidak keliru dengan ajaran Islam sebenar lantas menganggap fahaman beliau adalah ajaran Rasulullah SAW. Pada mulanya beliau merupakan seorang peniaga atau dikira pedagang yang sering berpindah dari satu negara ke satu negara yang lain, dan diantara negara yang beliau pernah singgah adalah Baghdad, Iran, India, dan Syik.Beliau mengembara dan belajar dengan Mr Hampher atau dikenali sebagai Syeikh Muhammad Al-Majmu’i di Basrah. . Pada 1710 masihi Mr. Hampher dihantar oleh pihak British ke Mesir, Turki, Iran, Hijaz dan sekitarnya. Kemudian pada tahun 1125 hijriah bersamaan dengan 1713 masihi beliau telah terpengaruh oleh seorang orientalis inggeris yang bernama Mr. Hampher yang merupakan agen Yahudi yang bekerja sebagai mata-mata inggeris di Timur Tengah. Mr. Hampher merupakan seorang pakar ilmu Islam yang pandai berbahasa Arab, Turki, Parsi dan telah lama memperlajari Islam di Turki dan Iraq,Dia telah merasuah Ibnu Wahab dengan hadiah kahwin muta’ah dengan dua orang ejen yahudi perempuan yang menyamar sebagai muslimah yang bernama Safian Isfahan dan Asiahni Siraj . Sejak itulah beliau menjadi alat bagi inggeris untuk menyebarkan ajaran barunya.Inggeris telah berhasil mendirikan golongan bahkan agama baru ditengah-tengah umat Islam demi untuk menghancurkan Islam bahkan adanya ajaran-ajaran baru seperti Ahmadiyah dan Qadiyani. Bakan Muhammad Bin Abdul Wahab juga termasuk dalam target dalam program kerja kaum kolonial dengan alirannya Wahabi
Kemudian, Ibnu Wahab pulang ke kampungnya, namun ditentang dan diusir oleh bapanya, Syeikh Abdul Wahab seorang ulama’ sunnah yang baik. Begitu pula guru-gurunya.Bapanya mengatakan bahawa Ibnu Wahab seorang yang lemah ingatan dan gagap.Ibnu Wahab pada asalnya seorang pengikut mazhab Hanbali.Namun begitu, Ibnu Wahab sangat terpengaruh dengan ajaran Ibnu Taimiyyah yang mengasaskan fahaman mujassimah.
Namun sejak dari mulanya lagi, ayah dan guru-gurunya mempunyai firasat dan pandangan yang kurang baik tentang diri beliau, bahkan beliau akan sesat dan menyebarkan kesesatan. Oleh itu, mereka menyuruh orang ramai berhati-hati dengannya. Akhirnya ternyata bahawasanya sangkaan dan ramalan itu benar.Setelah perkara itu didapati benar, ayahnya pun memberi amaran yang keras dan menentangnya. Bahkan abang kandungya Sulaiman Bin Abdul Wahab, seorang ulama besar dari mazhab Hanbali turut menulis buku bantahan terhadap Muhammad Bin Abdul Wahab yang berjudul As-Sawa’iqul Ilahiyah Fi Radi ‘Ala Wahabiyah. Tidak ketinggalan juga salah satu guru Ibnu Wahab di Madinah, Syaikh Muhammad Bin Sulaiman Al-Kurdi As-Syafi’i, menulis surat berisi nasihat : “wahai Ibnu Abdil Wahab, aku menasihatimu kerana Allah, tahanlah lisanmu dari mengkafirkan kaum muslim, jika kau mendengar seorang meyakini bahawa orang yang ditawassulkan boleh memberi manfaat tanpa kehendak Allah, maka ajarilah dia kebenaran dan terangkan dalil bahawa selain Allah tidak boleh memberi manfaat maupun kemudharatan, kalau dia menentang bolehlah kau menganggapnya kafir, tetapi tidak mungkin kau mengkafirkan kaum As-Sawadul A’dham (kaum majoriti) diantara kaum muslim, kerana engkau menjauhi dari kelompok yang besar, orang yang menjauhi dari kelompok yang besar lebih dekat dengan kekafiran, sebab dia tidak mengikuti kaum muslim. Setelah diusir oleh bapanya, Ibnu Wahab menyambung terus ajaran dan fahamannya itu di seluruh Najd.Perjuangannya itu dipantau oleh Mr. Hampher dan disokong oleh British.Pada tahun 1747, Ibnu Wahab bertemu dengan Muhammad Ibnu Saud yang berketurunan Yahudi yang mana menguasai kawasan Durriyyah ketika itu.Ibnu Wahab meminta pertolongan dari Ibu Saud.Maka Ibnu Wahab bergabung dan bekerjasama dengan keluarga Saud mengembangkan ajaran Wahabi lantas membentuk kerajaan Arab Saudi.Ibnu Wahab telah mengumumkan penubuhan mazhab wahabi pada tahun 1737 masihi. Diantara ajarannya barang sesiapa yang tidak mengikutinya dianggap sesat, kafir, halal darah dan hartanya.Hadrat Abdullah bin Umar meriwayatkan dua hadith yang menyebutkan “Mereka telah menyimpang dari ajaran yang benar. Mereka telah menuduh umat Islam (menerusi pengertian) ayat-ayat yang sebenarnya diturunkan kepada orang-orang kafir,” dan juga “Apa yang aku bimbang, terjadi ke atas umatku, perkara-perkara yang paling menakutkan ialah tafsiran mereka terhadap ayat-ayat al-Quran menurut akal mereka sendiri dan yang menyimpang dari maksud yang sebenar” . Muhammad Bin Abdul Wahab meninggal pada 1795 Masihi.
Menurut Syeikh Nasiruddin al-Bani tahap penguasaan ilmu Muhammad Bin Abdul Wahab hanya mengfokuskan kepada persoalan tauhid yang tulin sahaja dan tidak menumpukan dalam konsep Islam yang lain. Ini menunjukan bahawa pembaharuan atau tajdid yang dibawa oleh Muhammad Bin Abdul Wahab hanya menumpukan kepada permasalahan akidah sahaja. Penekanan terhadap akidah sahaja menyebabkan beliau dan pengikutnya menjadikan persoalan ibadat sama dan setara dengan persoalan akidah. Bukan itu sahaja Muhammad Bin Abdul Wahab juga tidak mengambil berat mengenai penggunaan hadith daif, hadith yang lemah dan penghujahan hujah hukum mengenai hadith daif. Begitu juga beliau berpegang pada mazhab Hanbali
Manakala menurut pandangan Syeikh Muhamad Abu Zuhrah , Muhammad Bin Abdul Wahab menjadikan persoalan dan permasalahan ibadat sama dengan persoalan akidah sehingga seseorang itu boleh menjadi kufur sebab masalah ibadahnya, sehinggakan ada diantara orang awam menganggap sama perokok dengan orang musyrik. Bukan itu sahaja, Muhammad Bin Abdul Wahab turut memikul senjata memerangai mereka yang bercanggah pendapat dengan beliau dengan alasan memerangai amalan bidaah dan wajib melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.Ibnu Wahab juga berpegang dengan perkara-perkara yang kecil.Sebagai contoh walaupun sesuatu itu tiada kaitan dengan berhala namun dianggapnya sebagai berhala seperti penggunaan fotografi dan gambar.Fahaman mereka itu juga keterlampauan dalam memahami bida’ah sehinggakan dalam setiap perkara yang tiada kaitan dengan ajaran agama dan ibadah juga dihukum dan dikira sebagai bida’ah seperti meletakkan langsir di Raudhah Nabi. Pengikut Muhammad Bin Abdul Wahab yang terlampau taksub, menganggap bahawa hanya pendapat mereka dan golongan mereka sahaja yang benar serta tidak mungkin berlaku salah sementara pendapat orang lain adalah salah dan tidak mungkin wujudnya kebenaran.
Siapa golongan yang digelar Wahabi ?
Para ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jamaah menyimpulkan bahawa, mereka yang berfahaman wahabi bahkan pengikut wahabi mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Barang sesiapa yang mempunyai banyak atau majoriti ciri-ciri, maka sahlah dia seorang wahabi, atau berfahaman seperti wahabi mahupun pendokong fahaman Wahabi. Ini kerana, kita tidak boleh dilabelkan atau melabelkan seseorang sebagai wahabi selagi mana mempunyai ciri-ciri yang sedikit sahaja. Sebagai contoh, golongan wahabi ini beranggapan bahawa qunut dalam solat subuh adalah bidaah. Namun kita tidak boleh menentukan hanya dengan tidak melakukan qunut dikatakan sebagai wahabi kerana imam mazhab juga ada yang tidak melakukan qunut ketika solat subuh. Adakah imam mazhab tersebut merupakan wahabi??sedangkan wahabi muncul kebelakangan ini, selepas kurun imam-imam mazhab empat. Oleh itu, digariskan bebarapa ciri-ciri wahabi seperti berikut ;
 Tiada bida’ah hasanah
Fahaman dan golongan wahabi ini berpegang bahawa setiap perkara yang baru dan direka dalam agama adalah bidaah, dan segala yang bidaah adalah mungkar. Seperti mana yang kita sendiri ketahui, bidaah itu terbahagi kepada dua iaitu bidaah hasanah dan bidaah saiyiah, atau bidaah mahmudah dan bidaah mazmumah.Namun mereka menolak semua bentuk bidaah walaupun sesuatu itu mempunyai maslahah tersendiri.
 Terpengaruh dengan IbnuTamiyyah, Ibnu al-Qayyim , Abdul Aziz Ibnu Bazz,
Nasiruddin al-Albani, Sheikh Soleh Ibn Uthaimin, Sheikh Soleh Fawzan al-Fawzan.

Seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini, wahabi ini amat gemar membaca dan menelaah karya-karya terutama sekali pandangan Ibnu Taimiyyah. Selain itu, mereka juga suka menukilkan pandangan Ibnu Bazz, dan al-Bani disamping tokoh-tokoh mereka yang lain.
 Menggelar penentang mereka sebagai syi’ah, ahbash, khawarij
Golongan wahabi ini amat gemar menggelarkan penentang mereka dengan gelaran seperti syi’ah, khawarij dan juga ahbash. Rentetan itu, barang sesiapa yang tidak setuju dengan pandangan mereka atau tidak menyokong fahaman mereka, mereka dengan mudah menggelarkannya dengan gelaran tersebut.
 Menentang tasawwuf, kaum sufi dan jemaah tarekat.
Wahabi amat sensitif dan terkesan dengan kaum-kaum sufi dan tarekat. Mereka beranggapan bahawa kaum tersebut bukannya dating dari Rasulullah bahkan menyempang jauh dari ajaran Islam.
 Terpengaruh dengan ajaran yang lemah, samar dan salah dari Ibnu Taimiyyah
Ahlu Sunnah terima sebarang ajaran atau pandangan yang benar dari Aibnu Taimiyyah. Yang menjadi permasalahannya sekarang, golongan-golongan wahabi ini amat taksub dengan setiap ajaran Ibnu Taimiyyah meskipun ajaran tersebut bersifat lemah mahupun salah dari kebenaran
 Tidak suka keturunan Rasulullah
Mereka amat benci dengan keturunan rasulullah SAW. Ini kerana dia menganggap keturunan rasulullah atau ahlu bait sebagai pengikut syiah yang taksub dengan saidina Ali RA, serta mengkafirkan para sahabat baginda yang lain.


 Menolak kepelbagaian jemaah-jemaah
Golongan wahabi ini amat benci kepelbagaian jemaah. Ini kerana mereka beranggapan bahawa merekalah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang sebenar seperti mana yang dimaksudkan oleh rasulullah SAW. Oleh itu, barang sesiapa yang tidak menyokongnya, dan tidak berbaiah dengan kepimpan mereka serta lari dari ketaatan, mereka seharusnya dibunuh.Ini kerana halah darah dan harta mereka.
 Mentajsimkan sifat-sifat Allah
Wahabi ini mentajsimkan sifat-sifat Allah apabila berhadapan dengan ayat-ayat mutasyabihat.Ini kerana mereka mengambil serta memahami setiap nas-nas al-Quran secara zahir sahaja.
 Menolak sifat 20
Wahabi bukan sahaja menolak ajaran sifat 20 bahkan mereka amat menentang keras ajaran tersebut.Ini kerana ajaran tersebut tidak diajar oleh rasulullah, malahan dicipta oleh seorang tokoh mu’tazilah iaitu Imam Abu Hassan al-Asyaari.Mereka juga berpendapat bahawa ajaran tersebut menyukarkan umat Islam untuk memahami aqidah Islam.
 Mengambil nas secara literal
Golongan wahabi ini memahami setiap ayat-ayat al-Quran secara zahir atau literal sahaja terutama sekali berhubung dengan ayat-ayat mutasyabihat iaitu ayat-ayat yang berkaitan dengan zat dan sifat-sifat Allah. Mereka ini, amat menolak keras penta’wilan kepada nas-nas baik dari segi ijmali mahupun tafsili.


KONSEP KETUHANAN YANG DI BAWA OLEH
GOLONGAN WAHABI

Tauhid Tiga
1. Tauhid Rububiyyah
Ar-Rububiyyah berasal dari kalimah ar-Rabb. Ar-Rabb الرّبّ) ) bermaksud yang memiliki, yang menguasai dan yang mentadbir. Tauhid Rububiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai ar-Rabb, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang mencipta alam ini, yang memilikinya, yang mengatur perjalanannya, yang menghidup dan mematikan, yang menurunkan rezki kepada makhluk, yang berkuasa mendatangkan manfaat dan menimpakan mudharat, yang mengabulkan doa dan permintaan hamba tatkala mereka terdesak, yang berkuasa melaksanakan apa yang dikehendakinya, yang memberi dan menegah, di tanganNya segala kebaikan dan bagiNya penciptaan dan juga segala urusan

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَهُمۡ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۖ فَأَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah.” (Az-Zukhruf: 87)

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡعَلِيمُ
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.” (Az-Zukhruf: 9)


2. Tauhid Uluhiyyah
Al-Uluhiyyah pula berasal dari kalimah al-Ilah. Al-Ilah (الإله)bermaksud yang berhak disembah di mana kepadanya ditujukan segala ibadah (pengabdian diri). Jadi, Tauhid al-Uluhiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai Ilah, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan diqasadkan segala ibadah, tidak harus ditunaikan ibadah melainkan kepadaNya sahaja dan tidak harus mensyirikkanNya dengan sesuatu apapun di langit mahupun di bumi
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِىٓ إِلَيۡهِ أَنَّهُ ۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۟ فَٱعۡبُدُونِ
“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada tuhan melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.” (Al-Anbiya’: 25)

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِى ڪُلِّ أُمَّةٍ۬ رَّسُولاً أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَ
“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut.” (An-Nahl: 36)

Tauhid dari sudut perspektif Ibnu Taimiyyah
Yang dimaksudkan dengan tauhid rububiyyah adalah mentauhidkan Allah dalam perbuatannya, iaitu mentauhidkan Allah yang mencipta, mentadbir, memiliki alam selaras dengan makna rububiyyah itu sendiri.Manakala tauhid uluhiyyah pula adalah mentauhidkan dan mengesakan Allah dalam perbuatan hamba, beriman dan percaya dengan Allah di samping menunaikan segala kewajipan serta suruhan Allah. Tambahan beliau lagi, tauhidrububiyyah tidak cukup dalam perkara keimanan sahaja, ini kerana orang musyrik juga mengakui tauhid rububiyyah iaitu mengaku bahawa Allah yang meciptakan, mengatur alam dan sebagainya. Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah. Ini kerana, mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.
Mereka berpegang dengan nas :
وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ‌ۚ بَلۡ أَڪۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?

Di sini terdapat kata-kata yang sering kita dengar berhubung permasalahan tauhid tiga serangkai.
"Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT".
“Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang”
3. Tauid Asma’ dan Sifat
Tauhid ini adalah beriman dengan nama-nama Allah yang baik dan sifat-sifatnya yang suci dari kekurangan dan penyerupaan terhadap makhluk yang bersifat baharu sebagai mana yang telah diterangkan dalam al-Quran dan hadith.Maksudnya di sini, kita beriman bahwa Allah memiliki nama-nama yang Dia telah menamakan diri-Nya dan yang telah dinamakan oleh Rasul-Nya.Dan beriman bahwa Allah memiliki sifat-sifat yang tinggi yang telah Dia sifati diri-Nya dan yang telah disifati oleh Rasul-Nya. Allah memiliki nama-nama yang mulia dan sifat yang tinggi
وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِہَا‌ۖ وَذَرُواْ ٱلَّذِينَ يُلۡحِدُونَ فِىٓ أَسۡمَـٰٓٮِٕهِۦ‌ۚ سَيُجۡزَوۡنَ
مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
"Dan Allah memiliki Asma'ul Husna (nama-nama yang terbaik), maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asma'ul Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyalahartikan nama-nama-Nya.Mereka kelak akan mendapatkan balasan terhadap apa yang mereka kerjakan."( Al A'raf : 180)
قُلِ ٱدۡعُواْ ٱللَّهَ أَوِ ٱدۡعُواْ ٱلرَّحۡمَـٰنَ‌ۖ أَيًّ۬ا مَّا تَدۡعُواْ فَلَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ‌ۚ وَلَا تَجۡهَرۡ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتۡ بِہَا وَٱبۡتَغِ بَيۡنَ ذَٲلِكَ سَبِيلاً۬
Katakanlah (Muhammad), "Serulah Allah atau serulah Ar Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu dapat menyeru, karena Dia mempunyai nama-nama terbaik (Asma'ul Husna) dan janganlah engkau mengeraskan suaramu dalam shalat dan janganlah pula merendahkannya dan usahakan jalan tengah di antara kedua itu
(Al-Isra : 110)

Dalam hal ini, kita harus beriman kepada nama-nama dan sifat-sifat Allah sesuai dengan apa yang dimahukan Allah dan Rasul-Nya dan tidak menyelewengkannya sedikitpun. Imam Syafi’i meletakkan kaidah dasar ketika berbicara tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah sebagai berikut: “Aku beriman kepada Allah dan apa-apa yang datang dari Allah dan sesuai dengan apa yang dimahukan oleh Allah. Aku beriman kepada Rasulullah dan apa-apa yang datang dari Rasulullah sesuai dengan apa yang dimahukan oleh Rasulullah”

Permasalahan berkaitan Di mana Allah
Seperti mana yang kita ketahui bahawa, golongan wahabi beri’tiqad dan meyakini bahawa tuhan di langit. Ini kerana, mereka amat berpegang kuat dengan hadith jariah.

“Telah datang seorang hamba perempuan kepada Rasulullah SAW, kemudian rasulullah bertanya kepadanya “di manakah Allah”, jawab perempuan tersebut “di langit”, rasulullah bertanya lagi, “siapakah aku”, dia menjawab lagi, “engkau rasulullah”, kemudian rasulullah bersabda, “yakinilah bahawa sesungguhnya dia seorang perempuan yang beriman”
(Hadith riwayat Muslim)
Permasalahan berkaitan ayat mutayabihat terutama pada lafaz istiwa
Fahaman wahabi beserta pendokongnya, mereka mengimani bahawa Allah duduk bersila di atas arasy tetapi duduknya tidak serupa dengan duduk makhluk. Kenyataan seperti lebih cenderung kepada mujassimah kerana meletakkan Allah bertempat dan melakukan perbuatan menyerupai makhluk. Mereka juga berpegang dengan hujah yang tidak benar iaitu :
Berdasarkan riwayat Imam Malik RA :
الاستواء معلوم والكيف مجهول والايمان به واجب والسؤال عنه بدعة
“Istiwa’ itu kita ketahui, dan caranya kita tidak ketahui, beriman dengannya wajib,
menanyakan tentangnya bida’ah”

Jawapan Ahlu Sunnah Wal Jamaah Terhadap Persoalan di mana Allah
Namun begitu, ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah khususnya telah menjawab setiap persoalan dan keraguan yang diajukan oleh golongan wahabi. Mereka berpendapat bahawa hadith yang dinyatakan sebentar tadi bukannya merupakan hadith mutawatir.Maksudnya di sini, hanya segelintir sahabat Nabi SAW sahaja yang meriwayatkannya, yang mana jumlahnya tidak ramai yang tidak mencapai jumlah mutawatir. Hadith ini juga masyur digelarkan sebagai hadith jariah (hamba perempuan)
Bukan itu sahaja, hadith tersebut difahami berhubung dengan situasi hadith itu diucapkan, di mana jariyah tersebut adalah orang biasa yang kurang berpelajaran, maka wajarlah Nabi SAW melayaninya menurut kemampuan akal fikirannya. Dalam riwayat berkenaan beliau menjawab: “Di langit”, kerana inilah kefahaman semua orang biasa, termasuk kaum Yahudi, Nasrani dan kaum musyrikin yang percaya kewujudan Tuhan dan kekuasaannya. Apa yang membezakan dengan mereka di sini ialah pengakuannya terhadap kerasulan Nabi SAW, lalu baginda menghukumkannya sebagai mukminah. Manakala dalam satu riwayat lain, beliau hanya menunjuk ke arah atas, manakala yang berkata ‘ke langit’ ialah perawi hadith yang menceritakan situasi berkenaan
Namun begitu, ada sebahagian ulama Ahlus Sunnah seperti Imam Muhammad Zahid al-Kawthari dan al-Hafiz ‘Abdullah al-Ghumari mengatakan bahawa hadith tersebut adalah syaz, iaitu hadith yang sahih sanadnya, tetapi matannya berlawanan dengan hadith-hadith sahih yang lain. Ini kerana kebanyakan dakwah Nabi SAW adalah dengan seruan supaya mengucap syahadah (لا إله إلا الله ), bukannya bertanya ; “Di mana Allah?” (أين الله).Maka hadith syaz tidak dapat dijadikan hujah.

Jawapan Ahlu Sunnah Wal Jamaah Terhadap Permasalahan Yang Wujud Pada Lafaz Istiwa
Jawapan Imam Malik RA terhadap ayat ini :
استوى كما وصف نفسه ولا يقال عنه كيف وكيف عنه مرفوع
“Beristiwa’ sebagaimana Dia menyifatkat zatNya, tidak dikatakan bagaimana, dan persoalan bagaimana tidak layak bagi Allah” (Riwayat Imam Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir)

Menurut riwayat Imam al-Lalika’I pula :
الاستواء معلوم ولايقال كيف والكيف غير المعقول
“Istiwa’ sudah diketahui,dan tidak boleh bertanya bagaimana caranya, dan bagaimana caranya itu tidak boleh diterima akal”


Mengikut riwayat Imam Ahmad Bin Hanbal pula :
استوى كما أخبر لا كما يخطر للبشر
“Allah beristiwa seperti mana disebutkan dalam al-Quran, bukannya seperti yang
terlintas dalam fikiran manusia”

Abu al-Qasim al-Ashfahani berpendapat bahawa :
ان الاستواء اذا عدي بعلى كان معناه الاستيلاء
“Sesungguhnya jika kalimah istiwa dita’addikan dengan kalimah ‘ala, maka akan menjadi makna memerintah atau menguasai”

Imam al-Qusyairi berpandangan pula bahawa :
استوى أي حفظ وقهر وأبقى ولا يجوز اعتقاد أنه جالس على العرش لأن هذه عقيدة اليهود
“Istiwa beerti memelihara, menguasai, menetapkan. Tidak boleh meng’itikadkan bahawa Allah duduk atau bersemanyam di atas Arasy, kerana keyakinan seperti ini adalah aqidah orang yahudi”



PERBANDINGAN ANTARA MANHAJ AS-SALAFIYYAH
AL-WAHABIYYAH DENGAN MANHAJ ASWJ
( ASYAI’RAH )

Konsep KetuhananSalafiyyah al-Wahabiyyah
Sepertimana yang telah dibincangkan sebelum ini, konsep ketuhanan yang digunakan oleh golongan Wahabi adalah berdasarkan kepada konsep Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa sifat ataupun dikenali sebagai tauhid tiga. Selain mengenengahkan konsep tauhid tiga ini, mereka juga menyeru supaya umat Islam meninggalkan perbahasan yang mendalam dalam bab aqidah sepertimana yang dipelopori oleh golongan Asyai’rah dan Maturidiyyah. Mereka menyatakan bahawa persoalan aqidah adalah persoalan yang sepatutnya dibahaskan secara ringkas tanpa dimasukkan unsur-unsur falsafah ke dalamnya.Mereka juga telah mendakwa bahawa diri mereka beraqidah dan berpegang dengan pegangan golongan salaf dan para sahabat Nabi Muhammad S.A.W.
Langkah mereka dalam menyatakan pendirian mereka berkenaan dengan perkara aqidah dan tentangan mereka terhadap golongan Asyai’rah menunjukkan bahawa mereka tidak mengiktiraf penggunaan aqal dalam mengukuhkan pemahaman terhadap nas-nas al-Quran.Mereka menafikan kemampuan aqal dalam memahami nas-nas al-Quran kerana bagi mereka aqal manusia tidak mampu untuk memahami isi al-Quran. Natijahnya, mereka telah berpegang dengan al-Quran secara total dan menerima keseluruhan ayat- al-Quran secara literal. Metodologi ini digunakan kerana mereka mahu persoalan aqidah perlu dikembalikan sepertimana pegangan hidup golongan ahli salaf. Mereka juga mendakwa bahawa penggunaan aqal dalam mengisbatkan perkara-perkara berkenaan dengan aqidah adalah perkara yang baharu yang mana perkara ini sama sekali tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan kata lain ia merupakan sesuatu bid’ah yang perlu dielakkan.

Jawapan daripada pendukung Asyai’rah
Sesesungguhnya, apa yang telah didakwa oleh golongan Wahabi adalah tidak benar. Pertamanya mengenai dakwaan mereka tentang tauhid tiga. Sesungguhnya tiada perbezaan antara tauhid Uluhiyyah dan tauhid Rububiyyah, sepertimana apa yang telah didakwa oleh mereka. Perbezaan antara Uluhiyyah dan Rububiyyahadalah pada masalah bahasa sahaja. Hakikatnya, ia membawa maksud yang sama. Ilah adalah Rab, dan Rab adalah Ilah. Firman Allah S.W.T;
Katakanlah: "Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia.Sembahan manusia.Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia. Dari (golongan) jin dan manusia.
Pengangan mereka ini jelas bertentangan dengan Surah an-Nas yang mana pada ayat pertama surah ini, Allah telah menggunakan perkataan Rab dan diikuti dengan perkataan Ilah pada ayat yang ketiga.Selain itu, dalam pembahagian tauhid Rububiyyah, terdapat pendapat dalam kalangan mereka menyatakan bahawa orang-orang kafir turut beriman kepada Allah S.W.T.
Selain itu, pendapat mereka dalam menolak kemampuan aqal bagi mengisbatkan dan mengukuhkan aqidah amatlah janggal sekali kerana penggunaan aqal yang digunakan oleh Asya’irah ada batasnya dimana penggunaan aqal adalah untuk berkhidmat kepada nas al-Quran agar apa yang disampaikan oleh Allah kepada manusia dapat difahami dengan baik. Bagi Ahlussunnah wal-Jamaah, penggunaan aqal yang sejahtera dalam mengukuhkan nas-nas al-Quran mahupun al-Sunnah adalah dibenarkan kerana matlamat penggunaan aqal ini adalah menambahkan keyakinan pada nas-nas al-Quran mahupun al-Sunnah.
Selain itu, Ulama Asyai’rah tidak bersetujudengan pendekatan yang digunakan oleh golongan Wahabi yang mana mudah untuk membid’ahkan satu-satu perkara baru. Sesungguhnya, apabila terwujudnya perkara-perkara baru, perbahasan mengenai hukumnya terletak pada neraca penilaian yang sebenar, bukan kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Perbahasannya haruslah pada sekitar sama ada perkara baru itu wajib, haram. Sunat, makruh ataupun harus.


Penta’wilan pada ayat-ayat Mutasyabih
a. Makna secara bahasa
Mutasyabih secara bahasa berasal dari kata syabaha, yakni bila salah satu dari dua hal serupa dengan yang lain. Syubhah ialah keadaan di mana satu dari dua hal itu tidak dapat dibezakan dari yang lain karena adanya kemiripan di antara keduanya secara konkrit atau abstrak.
b. Makna secara Istilah
Nas-nas al-Quran atau al-Sunnah yang mengandungi makna yang tidak jelas umpamanya nas yang mengenai sifat-sifat Allah dan huruf-huruf di awal surah.

Perbezaan dalam Pendekatan memahami ayat-ayat mutasyabih
Salafiyyah al-Wahabiyyah
Golongan wahabi mendakwa diri mereka mengikut manhaj yang ditinggalkan oleh golongan salaf dimana mereka tidak menta’wilkan ayat-ayat mutasyabih. Namun ketika menukilkannya, mereka terperangkap dengan menghampiri kaedah yang digunakan oleh golongan Mujassimah. Hal ini sama sekali tidak sealiran dengan manhaj yang digunakan oleh golongan salaf yang terdahulu kerana golongan salaf mengambil pendekatan mentawfidkan ayat-ayat ini.
Antara contoh kesilapan mereka dalam menafsirka ayat-ayat mutasyabih ialah;]



Tuhan yang Maha Pemurah.yang bersemayam di atas 'Arsy

Golongan Wahabi dalam menerangkan tentang pegangan mereka berkenaan dengan ayat dengan menerima ayat ini secara literal.Mereka menyatakan bahawa Allah S.W.T bersemayam di atas Arasy, namun bersemayamNya tidak seperti bersemayam makhluk.Ini amat jelas bertentangan dengan golongan salaf yang mengembalikan ayat ini bulat-bulat kepada Allah S.W.T.
Asyai’rah (Ahli as-Sunnah Wal Jama’ah)
Bagi manhaj yang dipelopori oleh golongan Asya’irah, mereka bersama dengan pendekatan yang diguna pakai oleh golongan ahli salaf.Namun begitu, terdapat keperluan untuk menta’wilkan ayat-ayat mtasyabih kerana beberapa faktor. Antara faktornya ialah penguasaan bahasa arab oleh umat Islam mulai menurun dan masuknya golongan bukan bangsa arab ke dalam agama Islam yang tidak memahami sepenuhnya bahasa arab. Ta’wilan adalah bertujuan untuk menjaga aqidah umat Islam supaya ayat-ayat ini tidak disalah tafsirkan maknanya.
Dalam mereka mena’wil ayat-ayat mutasyabih, mereka merujuk kepada ayat yang muhkam yang mana maknanya telah jelas. Antara contoh pena’wilan yang dilakukan oleh mereka ialah;


Tuhan yang Maha Pemurah.yang bersemayam (menguasai) di atas 'Arsy
Golongan Asyai’rah telah mena’wilkan kalimah yang membawa maksud bersemayam dengan menguasai. Hal ini kerana perkataan menguasai adalah salah satu maksud daripada maksud ‘istiwa’ dan maksudnya adalah lebih sejahtera berbanding dengan maksud-maksud yang lain.


Tawassul dan Tabarruk
Antara isu lain yang telah dimainkan oleh golongan Wahabi adalah isu tawassul dan tabarruk.Perselisihan pendapat tentang masalah ini berlaku dan pendapat mereka teramatlah jelas bertentangan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh para sahabat dan ulama-ulama yang mu’tabar.Mereka juga meletakkankedua-dua isu ini dikaitkan dengan masalah aqidah umat Islam.
Makna Tawassul
Tawassul secara bahasa berasal dareipada perkataan ‘wasilah’bermaksud mengambil perantaraan. Secara Istilah pula, ia membawa maksud perkara-perkara yang dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T denganmenggunakan wasilah yang mulia (bukandaripada perkara-perkara yang maksiat). Antara contoh tawassul yang terdapat dalam umat islam ialah seperti doa yang dipohon kepada Allah dan diperantarai dengan sesuatu yang baik. Sebenarnya, kita sering kali bertawassul dalam kehidupan kita seharian, cuma kita sahaja yang tidak menyedarinya, iaitu lafaz ‘Basmalah’ yang sering kita bacakan sewaktu kita mahu memulakan sesuatu perkara.Dengan itu, ‘Basmalah’ adalah contoh terbaik bagi kita memahami maksud tawassul. Apabila kita membaca ‘Basmalah’, kita akan mulakannya dengan membaca kalimah ‘Bismillah’ yang membawa maksud ‘Dengan nama Allah’. Kita memperantaraiNya dengan nama Allah S.W.T, bukan pada zatNya. Itulah antara contoh terdekat dalam diri kita.
Pendapat Wahabi tentang Isu Tawassul
Dalam isu ini, mereka hanya menerima pakai pendapat yang telah dinyatakan oleh ulama-ulama yang mana telah membahagikan tawassul yang dibenarkan pada tiga keadaan iaitu pertama, bertawassul dengan nama-nama Allah S.W.T seperti mana firman Allah S.W.T;
“Dan Allah mempunyai nama-nama Yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya Dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang Yang berpaling dari kebenaran Dalam masa menggunakan nama-namaNya.mereka akan mendapat balasan mengenai apa Yang mereka telah kerjakan.”

Kedua, bertawassul dengan amalan soleh yang telah kita kerjakan pada masa lalu sepertimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah S.A.W kepada para sahabat tentang tiga orang hamba Allah yang telah terperangkap dalam sebuah gua, lalu mereka bertawassul kepada Allah dengan perkara-perkara baik yang telah mereka kerjakan pada masa lalu, lalu mereka telah dibebaskan daripada gua tersebut dengan izin Allah S.W.T. Dan tawassul yang terakhir yang dibenarkan oleh mereka ialah bertawassul dengan orang-orang soleh yang masih hidup sepertimana yang telah dilakukan para sahabat keatas Nabi serta keatas para sahabat yang lain sewaktu mereka masih hidup. Hanya tiga keadaan ini sahaja yang diterima dalam bertawassul, Adapun bertawassul selain daripada tiga perkara dianggap bid’ah.Mereka menolak amalan tawassul dengan orang alim yang terdahulu yang telah mati termasuklah Rasul, Nabi dan para Wali Allah. Mereka juga telah menghukum masalah tawassul ini adalah masalah yang berkait rapat dengan masalah aqidah yang mana ia boleh mendatangkan syirik kapada Allah S.W.T.
Pendapat Ulama-ulama Asyai’rah dalam menjawab Isu ini
Masalah bertawassul tidaklah dilihat menjadi salah satu masalah yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah S.W.T Selagi mana doa ditujukan dan dipohon kepada Allah, dan tidak pula mensyirikkan Allah dengan sesuatu. Ianya tidak melibatkan persoalan aqidah selagi mana Allah dijadikan tempat untuk memohon Bahkan, Ijma’ 4 mazhab telah mengharuskan bertawassul dengan perkara-perkara yang dimuliakan termasuklah kepada orang-orang yang telah mati.Banyak dalil menunjukkan para ulama yang mu’tabar menerima tawassul, antaranya diceeritakan bahawa Imam Syafi’e bertawassul keatas Imam Abu Hanifah yang mana telah meniggal dunia.Cerita ini telah dipetik di dalam buku‘al-Tarikh Baghdad’ dimana apabila Imam Syafi’e mempunyai sesuatu hajat, beliau akan sembahyang dua rakaat dan terus pergi ke kubur Imam Abu Hanifah untuk bertawassul, tidak lama kemudian, hajatnya termakbul oleh Allah. Selain itu, Contoh lain dalam penerimaan tawassul kepada orang yang telah meninggal dunia ialah Imam Berzanji dalam kitabNya ‘Maulid’ telah bertawassul kepada zat Nabi S.A.W begitu juga yang telah dilakukan oleh Imam Ramli didalam kitabnya ‘Nihayah al-Muhtaj’.


Makna Tabarruk
Kalimah ‘Tabarruk’ berasal daripada perkataan ‘Barakah’ yang membawa maksud kebahagiaan atau penambahan.Daripada sudut istilah pula, tabarruk adalah membawa maksud pengharapan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T dengan sesuatu perkara atau barang yang mulia.
Jika kita lihat, konsep yang dibawa antara tawassul dan tabarruk adalah hampir sama. Namun, Ulama telah menfokuskan perbuatan bertabarruk adalah sesuatu yang diperantarai oleh barang ataupun perkara tertentu manakalan tawassul adalah perkara yang diperantarai dalam bentuk doa dan kata-kata. Antara contoh tabarruk yang boleh kita lihat dalam masyarakat kita adalah seperti air Yasiin, air minuman orang alim, tempat ibadat orang alim, dan lain-lain lagi.
Pendapat Wahabi tentang Isu Tabarruk
Menurut pendapat golongan Wahabi,Mengambil berkat atau tabarruk terbahagi kepada dua bahagian iaitu bertabarruk secara Syar’idan bertabarruk secara tidak syar’i.Bertabarruk secara syar’i adalah terbahagi kepada dua sahaja iaitu Mengambil berkat daripada al-Quran dan al-Sunnah yakni melalui ilmu dan pengamalannya dan yang kedua, Mengambil berkat daripada orang alim melalui asuhan dan tarbiyyahnya.Adapun amalan tabarruk selain daripada dua perkara ini adalah tergolong dalam golongan amalan tabarruk yang tidak syar’i. Antara contoh amalan tabarruk yang tidak syar’i ialah sepertiair Yasiin, air yang didoa oleh orang alim, sisa makanan dan minuman orang-orang alim, melazimi tempat Ibadat orang alim, ayat al-Quran atau al-Sunnah digantung didinding rumah dan lain-lain lagi.

Pendapat Ulama-ulama Asyai’rah dalam menjawab Isu ini
Kebanyakan Ulama termasuklah Ulama yang bermazhab Asyai’rah telah mengharuskan perbuatan bertabarruk ini. Dalilnya adalah perkara-perkara yang telah dilakukan oleh para sahabat keatas Nabi Muhammad S.A.W. Antara amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh para sahabat untuk bertabarruk keatas Nabi ialah para sahabat berebut untuk mengambil bekas yang mempunyai lebihan air wuduk Nabi, para sahabat meminum air daripada bekas minuman Nabi dan isteri Nabi telah mengumpulkan peluh nabi sewaktu nabi sedang tidur. Kesemua peristiwa ini telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari didalam Shahihnya.Terdapat juga seorang sahabat yang memohon Nabi supaya bersolat dirumahnya.Terdapat juga kisah dimana Saidina Abu Bakar ditegur oleh A’isyah kerana beliau amat gemar memakai satu baju yang lusuh. Apabila ditanya apakah sebabnya, Abu Bakar telah menyatakan bahawasanya dia pernah memakai baju itu sewaktu solat bersama-sama Nabi S.A.W. Selain itu, kisah Muawiyyah bin Abi Sufyan dalam kitab ‘Tarikh Damsyiq’dan kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang dipetik daripada‘at-Tobaqat’pernah memesan kepada waris mereka supaya mereka dikafankan dengan helaian rambut Nabi Muhammad S.A.W.


KESIMPULAN

Aqidah Wahhabi sememangnya banyak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah-Wal Jama'ah bahkan amat berbeza dengan akidah yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti pernah berkata;

ان كنت ناقلا فالصحة,أو مدعيا فالدليل
“Jika kamu menukilkan sesuatu, Sahkan akan ia. Dan jika kamu mendakwa sesuatu, datangkan dalil”

Sesuatu dakwaan perlulah dinilai secara teliti dan mendalam dengan menggunakan neraca hujah keilmuan.Pendekatan yang digunakan oleh Salafiyyah al-Wahabiyyah amatlah bertentangan dengan manhaj yang diguna pakai oleh Asya’irah dan Maturidiyyah. Kadangkala, perbezaan dan perselisihan bukan sahaja berlaku pada masalah furu’, tetapi juga turut berlaku pada masalah Usul agama.Diharap, usaha-usaha dalam mengkaji kesalahan fahaman ini perlulah diteruskan agar kebenaran dapat dizahirkan dan kebatilan dapat dilenyapkan.

Akhir Kalam, Dalam negara kita sendiri tidak terlepas daripada pergerakan golongan Wahabi. Sejak kebelakangan ini, sambutan terhadap fahaman mereka mulai masuk kedalam pemikiran masyarakat di Malaysia. Perkara ini perlulah disekat dan tindakan yang sepatutnya perlulah diambil selaras denganapa yang telah di Muzakarahkan oleh pihak JAKIM.Berdasarkan kajian, akidah fahaman Wahhabi harus ditolak kerana menganggu-gugat perpaduan umat Islam dan inilah yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan JAKIM.

Allahua’lam.

RUJUKAN

1) Syeikh Muhammad Soleh Uthaimin. (2003). Syarah al-Aqidah al-Washotiyyah. Jeddah : Dar Ibn Rejab.

2) Syeikh Sa’ad Yusuf Abu Aziz. (2008). Sunnah & Bid’ah. Jakarta : Pustaka Kautsar.


3) Rasul Dahri. (1997). Setiap Bid’ah Menyesatkan. Johor Baharu : Jahabersa

4) Ayyub Sabri Pasha (1998), Wahhabism and Its Refutation By The Ahl As-Sunna, Johor, Percetakan Surya, Ter. Abu Bakar Othman.

5) Dr. Abdul Rahman Mahmood, Engku Ibrahim Engku Wan Zin. (2010, Julai) Pemikiran Imam Ibnu Taimiyah Dan Muhammad Abdul Wahab : Satu Analisis Perbandingan. Paper presented at the Seminar pemikiran islam peringkat kebangsaan kali ke-2 “Ashairah Dan Cabaran Mutakhir”, UM, Kuala Lumpur.

6) Dr Muhammad sa’id Ramadhan al-Buti. (2004). Kubra al-Yakiniyyat al-Kauniyyat. Damsyik : Dar Fikr Mua’sir.

7) Dr Muhammad sa’id Ramadhan al-Buti. (1996). Keyakinan Hakiki, terj,.Selangor : Budaya Ilmu.

8) Haji Said Haji Ibrahim. (1997). Perbandingan Aqidah dan Pahaman Umat Islam. Kuala Lumpur : Dar Ma’rifah.

9) Dr Muhammad al-Maliki al-Hasani. (2001). Meluruskan KesalahPahaman Seputar Keistimewaan Rasulullah,…Tabarruk, Bandung : Posda.

10) Muhadir Hj. Joll, Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama', Mawleed Publishing.

Hasil Karya :
Mohd Syukri Bin Zainal Abidin
Mohamad Affi Yusri Bin Mohamad Zaini
Jabatan Akidah & Pemikiran Islam, UM

0 comments: