Sunday, November 24, 2019

Kehidupan sebuah takdir

Saya pada mulanya tidak berhasrat berkongsinya pada tatapan umum, tetapi ada satu hari saya terbaca sebuah posting menarik yang dikongsikan oleh seorang pemegang PhD. Jadi, saya terinspirasi untuk berkongsi juga. Namun begitu, matlamat apa yang hendak diceritakan tidak lain adalah untuk menanam serta memupuk keimanan yang tinggi terhadap Allah SWT, melaksanakan ibadah sebagai bukti keyakinan terhadapNya serta berusaha bersungguh-sungguh sebagai peranan sebagai seorang hamba.

Saya memasuki Universiti Malaya pada 2008 bagi program Asasi Pengajian Islam. Ketika itu, kampus terletak di Nilam Puri, Kelantan. Kemudian, saya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam di kampus Utama, Kuala Lumpur pada tahun 2010. Seterusnya, saya menyambung terus pengajian ke peringkat PhD pada 2015 dengan tajaan Biasiswa Universiti Malaya. Jika dihitung, kurang lebih 10 tahun keberadaan saya di kampus sehingga selesainya pengajian PhD pada tahun 2018. Pada tempoh tersebut, saya sangat selesa dengan persekitaran varsiti, termasuklah juga pihak pengurusan, pentadbiran, staf sokongan dan pensyarah. Boleh dikatakan 10 tahun saya tidak menghadapi sebarang masalah ketika berada di varsiti, alhamdulillah.

Secara peribadi, mereka yang berada di varsiti untuk tempoh pengajian yang lama tidak kira mana-mana kampus sekalipun, sudah pasti mereka akan selesa untuk turus berada buat selamanya. Pilihan dan keputusan ini menjadi amalan para guru saya. Mereka berkorban untuk terus berjuang di Universiti Malaya, meskipun berada pada kedudukan taraf pekerjaan yang rendah. Bahkan, ada juga yang menolak tawaran kenaikan pangkat di tempat lain demi varsiti yang dicintai. Mahabbah adalah level paling tinggi yang tidak mampu diganggu gugat oleh apa pun. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan juga bahawa ada juga individu yang mengangkat kaki berhijarah demi kebaikan yang lebih baik. Apa yang saya ingin sampaikan, ‘penipu’lah jika ada yang kata dia tidak sayang varsiti yang melahirkannya melainkan dia mengalami pengalaman tidak indah ketika keberadaanya di kampus.

Iya, Universiti Malaya adalah pilihan nombor satu saya. Begitulah pada awal pemilihan selepas SPM, begitulah juga institusi pengajian yang saya ingin berkhidmat. Namun, ada beberapa tragedi berlaku yang cuba mengetepikan penampilan aktif saya di kampus. Episod demi episod tersebut menyebabkan saya memaksa menggagahkan diri memohon penempatan perkhidmatan di tempat lain. Bahkan, saya memutuskan untuk membina hidup baru di luar ibu kota. Saya berhasrat untuk memadamkan memori yang ada sepanjang 28 tahun dan membina kehidupan baru bagi baki 32 tahun jika dipanjangkan usia. Saya berkeyakinan bahawa takdir akan memutuskan sebaik-baik tempat buat saya.

Diringkaskan cerita, selepas mendapat gelar pemegang doktor falsafah, saya terus memohon jawatan di Universiti Malaya atas saranan bekas penyelia saya. Hanya beberapa minggu saya mendapat jawapan permohonan saya ditolak atas justifikasi tiada waran atau slot kosong yang boleh diisi. Keputusan ini dibuat oleh Bahagian Sumber Manusia tanpa melalui pihak fakulti mahu pun jabatan terlebih dahulu. Tidak mengapa, ini memang bidang kuasa mereka, walaupun dikatakan secara kebiasaannya permohonan akan dibawa bincang di peringkat jabatan dan kemudiannya di bawa ke mesyuarat pelantikan fakulti. Prinsip yang sudah tertanam dalam jiwa saya adalah tidak perlu meresahkan apa yang sudah berlaku kerana ianya sejarah dan fakta yang sudah tertulis. Kita perlu berusaha meneruskan mencipta buku-buku sejarah baru yang lebih besar pada masa akan datang.

Dalam tempoh setahun, saya telah mencuba menghantar permohonan di pelbagai negeri. Namun, Pahang adalah negeri utama yang ingin saya migrasi. Kampung kelahiran emak dan ayah saya. Saya ingin membawa mereka bersama-sama menjalani fasa akhir kehidupan di sana. Temu duga demi temu duga saya hadiri bersama mengharungi pelbagai ujian kehidupan yang memenatkan emak saya khususnya. Saya jelaskan bahawa dunia ini adalah ujian. Semua pasti melaluinya dengan reka bentuk yang berbeza. Saya menghadiri satu temu duga yang terdiri daripada enam orang calon dan hanya saya salah seorang pemegang PhD. Jika dianalisis secara logik kuantitaf, pasti saya menang bergaya. Namun, takdir bukan begitu. Takdir adalah ketentuan mutlak daripada Allah SWT yang Maha Berkuasa, tidak mampu diukur oleh sesiapa pun dalam kalangan makhluknya.

Dalam proses mencari pekerjaan yang baik, saya menggalas terlebih dahulu kerja-kerja biasa terlebih dahulu. Pegangan sedemikian telah menjadi pengalaman buat saya. Secara kebetulan, saya dimaklumkan oleh rakan sekerja bahawa terdapat seorang pensyarah senior yang akan bersara tidak lama lagi. Yeah. Saya terus memohon jawatan tersebut bertawassul rakan tadi. Ketika waktu temu duga, saya agak terkejut apabila ada tiga lagi calon yang akan bersaing satu jawatan tersebut. Kami perlu melalui dua peringkat tapisan; fakulti dan universiti. Saya menganalisis bahawa saya merupakan calon yang paling kurang berpengalaman. Calon lain tidak sangat luas pengalaman mereka. So, secara statistiknya saya pasti tewas juga bergaya. Walau bagaimanapun, sebelum temu duga peringkat kedua berlangsung, bekas penyelia saya maklumkan bahawa dekan fakulti tersebut ingin mengambil saya bekerja. Namun begitu, dekan fakulti saya memaklumkan kepada dekan tersebut bahawa nama saya telah melepasi mesyuarat jawatakuasa tapisan pensyarah fakulti dan telah dibawa ke sesi temu duga universiti. Bak kata pegawai pengambilan staf, saya ini persis pisang goreng panas yang menjadi pilihan dua fakulti. Haa gichew. So, saya diletakkan sebagai calon simpanan incase kalau fakulti saya tidak mahu ambil, dekan tersebut akan ambil.

Jangan riyak guys. Cerita belum habis lagi. Tunggu punya tunggu untuk temu duga jawatan pensyarah di fakulti saya sendiri, saya mendapat perkhabaran bahawa kekosongan sudah diisi. Jadi, permohonan saya dibekukan seketika dan perlu dibawa ke mesyuarat Sumber Manusia varsiti semula. Peh. Ini dikatakan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Seperti biasa, doa adalah alat untuk kita menyatakan hasrat kepada Allah SWT. Walau bagaimanapun, takdirNya tidak pernah sama sekali salah mahu pun kurang tepat. Akhirnya, saya dipanggil untuk ditemu duga peringkat universiti. Seperti biasa, mesyuarat dipengerusikan oleh TNCA, diikuti dua wakil senat dan pegawai dari Bahagian Sumber Manusia. Pasal panel, tidak diperbahaskan. Universiti ranking ke-70, sudah pasti panelnya yang terbaik. Walau bagaimanapun, uniknya Universiti Malaya, temu duga mengambil masa hanya 10 minit sahaja dan tidak perlu membawa apa-apa dokumen pun. Saya datang lenggang kangkung sahaja. Bukan apa, kalau bawa dokumen dikhuatiri pelbagai persoalan akan timbul. Walaupun temu duga berjalan sekadar 10 minit, soalan pertama sudah mampu membuatkan anda blank dan black out. Kekosongan untuk PTj saya ada dua, namun pihak Sumber Manusia memaklumkan saya seorang sahaja yang berjaya. Ini kerana seorang calon lagi tidak memenuhi merit yang dikehendaki oleh jawatankuasa.



Guys. Tahukah anda setiap detik itu ujian? Ujian yang hendak memastikan anda sentiasa berpijak kepada bumi dan bukan mendongakkan diri ke langit. Tahukah anda selepas melapor diri, bahagian penggajian universiti tidak menemui waran saya. Fuh suspen. Akhirnya Puan Hasanah berjaya menyantuni panggilan saya setiap hari dengan baik (sebab saya menyantuinya dengan baik terlebih dahulu). Sekian dulu buat masa ini. Saya tidak dapat berkongsi 100% dari A hingga Z apa yang berlaku. Nanti kita bersua muka, kita berbincang lebih lanjut ya (Jika saya nak la :-p). Tips pun kena buat slot khas. Tidak boleh dimuatkan sekali gus semua perkara. Make a appoinment, we drink a cup of coffee and discuss about it. See ya.

24 November 2019
Bilik Rumah

No comments:

Post a Comment