Friday, August 14, 2020

Acceleration to PhD

Bismillah.

 

Kali ini saya berhasrat untuk membebel pasal kemasukan terus ke PhD, memandangkan keputusan peperiksaan akhir baru keluar dan ada dua calon yang sedang melalui proses temu duga di peringkat jabatan sebagai prosedur sebelum mendaftar pengajian.

 

Sekejap, di mana nak bermula ya. Mula-mula banyak idea, bila mengadap PC terus jeng kreng.

 

Baik, pertama sekali ada beberapa orang pelajar, kawan dan pensyarah bertanya saya apa pandangan terhadap kemasukan terus ke PhD tanpa ada pengalaman pengajian sebagai graduan Sarjana. Skrip jawapan saya di mana-mana adalah fahami falsafah pengajian pasacasiswazah terlebih dahulu, kemudian semak balik nawaitu kita bagaimana. Perkara ini tidak tertakluk kepada trek pengajian terus ke PhD, bahkan diterima pakai juga bagi graduan Sarjana Muda yang ingin menyambung pengajian ke Sarjana dan Sarjana ke PhD. Praktikalnya tetap sama. Pertama, menyambung pengajian adalah pilihan, bukannya suatu kewajipan, maka apabila ia hanyalah option, dorongan akan sentiasa berbolak balik menjadi turun dan naik. Kedua, setiap peringkat pengajian mempunyai level kesukaran yang berbeza. Sarjana coursework, mix mode dan full research, begitu juga Doktor Falsafah aka PhD. Bagi saya, sarjana coursework ibarat dua kali ganda Latihan Ilmiah, belum lagi mod yang lain. Secara rumusannya, tesis PhD umpama enam kali ganda Latihan Ilmiah; dua atau tiga kali ganda disertasi Sarjana mod penyelidikan. Ini pandangan saya, tidak terima dipersilakan. Seperti mana di catatan blog yang lepas, graduan PhD adalah seorang scholar atau mujtahid kecil (mohon izin menggunakan istilah ini), perkara usul dalam sesuatu disiplin ilmu seharusnya dikuasai.

 

Again, senior-senior yang berpengalaman selalu ungkapan kata “No tears, no PhD”. Di situ anda boleh tafsirkan berdasarkan perspektif masing-masing. Anda perlu bersedia dengan sebenar-benar persiapan. Masa dan duit perlu dikorbankan. Niat dan komitmen menjadi aset serta pelaburan utama. Sambung pengajian disebabkan nak hebat, nak jadi pensyarah, tiada kerja itu penghalang mahupun cabaran dalam perjalanan seorang penuntut ilmu. Ada rekod yang berjaya, ada juga rekod yang sebaliknya. Menghadapi masalah kesihatan mental pun ada. Maaf, saya suka cerita aspek negatif supaya kita sentiasa dalam keadaan sedar bukan separa sedar ataupun merasakan persis orang kayangan. Di sekeliling saya ramai yang kuat usahanya, lagi-lagi mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia penyelidikan. Usaha adalah tugasan dan tanggungjawab anda, Allah SWT penentu segalanya. Istikharah terlebih dahulu, cuma persoalan saya, bagaimanakah pendirian kita bila mana clue yang kelihatan adalah negatif? Boleh sama-sama kita renung serta muhasabahkan.

 

Calon PhD adalah calon PhD. Tidak kira apa latar belakang anda, graduan cemerlang Sarjana, graduan dekan Sarjana Muda, ataupun individu beshew-beshew sahaja, syarat adalah tetap sama. Tahun 2020 bakal menghasilkan sekitar kurang lebih 50 lebih graduan PhD di fakulti. Maka, siapakah dan ke manakah anda dalam kalangan ini? Saya graduan 2018 bersama 55 graduan yang lain. Saya cuba mencari sedikit perbezaan berbanding orang lain. Saya membuat penyelidikan integrasi dua bidang dengan menggunakan metode yang baharu serta menghasilkan penerbitan yang lebih daripada yang disyaratkan dan mempunyai indeks yang tinggi. Akan datang, bermula 2021 dan ke atas, pencapaian saya boleh dikira lapuk. Maka, anda perlu mencari sesuatu yang jauh lebih baik daripada graduan yang ada pada sebelumnya. Berdikari mencari ilmu, pengalaman dan kemahiran yang ada di luar tanpa bergantung harap kepada penyelia.

 

Ok saya tarik brek tangan secara mengejut. Kita sambung coretan akan datang. Tak bolehlah kongsikan sekali gus. Habislah modal saya. Hehehe. Selamatlah semua ya. Semoga kita dipermudahkan dalam segala urusan.  



No comments:

Post a Comment