SEPERTI mana yang kita maklum, Negara kita Malaysia
mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja
Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua
Negara. Inilah acuan dan sistem yang digunakan oleh Negara kita sejak mencapai
kemerdekaan.
Kewujudan Parlimen membuktikan Malaysia mempunyai
kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dan perwakilan yang dipilih bagi
menganggotai Dewan Negara dan Dewan Rakyat bagi merealisasikan aspirasi rakyat.
Ahli Dewan Rakyat sebagaimana yang diketahui
merupakan Ahli Parlimen yang dilantik melalui pilihan raya. Mereka diundi oleh
rakyat sebagai wakil untuk menjaga kebajikan mereka.
Ahli Dewan Negara pula yang digelar sebagai
Senator, mereka berperanan dalam membahaskan rang undang–undang membincangkan
perkara yang berkaitan dengan kepentingan umum Negara.
Walaupun Ahli Dewan Negara tidak dipilih oleh
rakyat melalui sistem pilihan raya, namun dikatakan kebanyakan ahli senator
terdiri daripada ahli parti pemerintah.
Oleh yang demikian, sebagai rakyat kita
bertanggungjawab dalam memilih wakil dalam kalangan masyarakat yang paling
layak bagi mengisi kedudukan tersebut agar Badan Perundangan Negara dapat
berfungsi dengan signifikan, efektif serta memelihara kepentingan warganegara
dengan baik. Pendek kata, wakil rakyat berkhidmat untuk membela nasib rakyat.
Namun, hari ini sikap serta pendirian berbolak
balik sebahagian pemimpin yang dilantik telah menyebabkan kerajaan yang dibina
atas nilai kesepakatan berubah. Kemelut politik yang berlaku bukannya sekali,
tetapi kita telah dikejutkan sebanyak dua kali dalam tempoh sepenggal
pemerintahan.
Selain mencemarkan sistem demokrasi yang diamalkan
setelah sekian lama, sikap yang dipaparkan oleh sebahagian ahli politik kini
seolah-olah tidak lagi berkhidmat untuk membela nasib rakyat tetapi untuk
menyelamatkan periuk nasi masing-masing.
Budaya politik tidak sihat ini perlu dihakis
sebelum membarah dan memberi kesan yang lebih teruk. Rakyat perlu sedar, kita
sebenarnya memerlukan pemimpin yang mampu membawa perubahan kepada Negara dan
bukanlah individu yang hanya pandai bersembang lebat tanpa sebarang hasil.
Cukuplah menaikkan individu yang tidak kompeten dan
hanya melalak di parlimen tanpa menyelesaikan masalah rakyat.
Persoalan yang sentiasa berlegar di minda dan
menjadi kerisauan di jiwa kita, berapa kalikah kerajaan atau pemerintahan perlu
bertukar sehingga ianya stabil dan menemui kesempurnaan?
Imbau Kembali Pemerintahan Era Gemilang
Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin agung
sepanjang zaman. Ketokohan dan keunggulan keperibadian baginda tidak dapat
ditandingi.
Perkara ini bukanlah diangkat dan disanjung oleh
masyarakat Islam sahaja. Baginda juga diangkat oleh Barat kerana Baginda bukan
sahaja pemimpin untuk bangsa Arab, namun seluruh makhluk yang wujud di alam
ini.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud
“Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat
bagi seluruh alam”. (Surah al-Anbiya’, ayat 107).
Baginda memiliki peribadi pemimpin yang unggul buat
keluarga, masyarakat dan Negara serta menjadi sumber inspirasi dalam kehidupan
dengan mengsinergikan keperluan di dunia dan akhirat. Pendek kata, riwayat
hidup Baginda merupakan “Blue Print” terbaik untuk kita teladani.
Kesempurnaan diri disertakan dengan pemerintahan
yang adil dan bersistematik Baginda telah melahirkan bukan sahaja era gemilang
bahkan tamadun yang terkuat dan terbesar serta menggoncangkan dunia.
Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi semasa
pemerintahan Baginda bukanlah fantasi dan cerita dongeng. Jika disingkap
kembali lipatan sirah, Baginda sentiasa melakukan perancangan yang teliti dalam
membuat apa jua keputusan dengan mengambil kira kesan buruk dan baik.
Kesannya lahirlah pemerintahan seterusnya yang mana
terserlah beberapa kerajaan awal yang hebat seperti Umaiyyah, Abbasiyyah dan
Turki Uthmaniyyah dalam memimpin rakyat sehingga berjaya menguasai dunia dan
melahirkan tokoh pelbagai bidang umpama saintis terkemuka, ahli falsafah,
doktor perubatan dan banyak lagi.
Pemimpin Berjiwa Besar
Kunci kejayaan sesebuah pemerintahan adalah seperti
politik yang kuat dan stabil, ekonomi yang mampan serta ketenteraan yang kuat,
namun kesemua elemen ini perlu dipasakkan dengan roh keimanan.
Semangat bersatu padu sesama pemimpin dan rakyat
adalah sangat penting kerana ia merupakan tunjang utama kepada kekuatan
sesebuah pemerintahan. Kedua-dua komponen memainkan peranan yang penting dalam
melahirkan Negara yang aman damai.
Seorang pemimpin perlu mengurus tadbir dengan berhikmah
menjaga sensitiviti rakyat di bawahnya tidak kira latar belakang agama, bangsa,
ekonomi dan sebagainya. Inilah kualiti dan sikap yang perlu diketengahkan.
Berbeza dengan hari ini, lebih menyedihkan apabila
terdapat figura politik sendiri yang menunggang isu dan menjadi batu api bagi
memecah belahkan rakyat dengan menyerang parti lawan. Maka, hilanglah sikap
semak dan imbang dalam sesebuat pentadbiran.
Setiap usul dan cadangan perlu dibincangkan bersama
oleh semua pihak dengan cara yang terbaik. Sekiranya terdapat masalah yang
timbul, perundingan bagi mencari titik temu solusi perlu dibudayakan.
Para pemimpin Negara hari ini harus mencontohi
zaman kegemilangan terdahulu sebagai model rujukan serta mengambil iktibar
terhadap punca kejatuhan sesebuah empayar dengan penuh rendah hati dan
muhasabah diri.
Tatkala Negara kita masih diuji dengan pandemik
COVID-19 yang belum berakhir, pemimpin perlulah bersatu hati dan kurangkan
bersengketa sesama sendiri.
Jawatan dan pangkat yang diberikan bukanlah satu
kemuliaan, namun ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoal di
akhirat kelak.
Kepada semua pemimpin rakyat, berkhidmatlah dengan
sebaiknya agar Malaysia kekal utuh, stabil dan kita sebagai rakyat terus hidup
dengan harmoni, aman dan damai.
Rakyat Malaysia juga bakal menyambut ulang tahun
Hari Kebangsaan atau Kemedekaan kali ke-64 pada 31 Ogos 2021.
Dr. Mohd Syukri bin Zainal Abidin merupakan
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya manakala Muhamad Arif
Asnawi bin Mat Zaki ialah Pelajar Tahun 1, Jabatan Fiqh dan Usul di akademi
tersebut.
Penulisan ini diterbitkan oleh BEBASnews pada 18
Ogos 2021 di pautan: https://bebasnews.my/?p=67737
No comments:
Post a Comment