Friday, April 26, 2024

IPC 2024: Suatu Pengalaman

Once upon a time, sedang fokus meeting (tak ingat meeting apa, banyak sangat), rakan sekerja Dr. Atifah whatsapp saya tentang penugasan mengurus bahagian penyelidikan sempena Minggu Terbuka Akademik bagi tahun 2024. Saya tidak pasti lantikan daripada Pengarah Program sendiri (Dr. Azrien, TDID) atau melalui Jawatankuasa Pengurusan Akademi. Saya pun buat tidak tahu sehinggalah dipanggil meeting pertama. Macam biasalah, memandangkan tiada arahan rasmi from top to bottom, saya memaklumkan saya tidak tahu apa-apa dan tindakan akan dibuat selepas meeting. Maka, bermulalah pembangunan pasukan.

Sekilas, empat orang pertama (Atifah, Alif, Azam, Arifuddin [semua A]) saya masukkan dalam group jawatankuasa yang dinamakan sebagai ‘Posto MiTA Q1 2024’ (taksub dengan Q). Kemudian, saya meminta setiap individu untuk bawa pertner masing-masing, unfortunately tiada penambahan besar yang berlaku. Nurfarzana sanggup ingin bersama mengambil kira pengalaman lepas, Zariff juga begitu kerana sudah menjadi GRA secara rasmi, dan Amiratul menjadi peneman Farzana. Dipendekkan cerita, maka berlakulah meeting pertama yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Saya buat agenda, saya buat minit dan dikongsikan dalam group (ingat main-main ke pengurusan ai).

Dipendekkan cerita lagi (tak ingat sangat secara micro), tiga perkara besar yang diputuskan, 1. pertandingan poster kali ini diangkat kepada peringkat antarabangsa (sasaran Indonesia, Brunei, Arab dan lain-lain yang mudah untuk peserta hadir); 2. yuran diturunkan separuh berbanding tahun lepas, namun sasaran dinaikkan sekali ganda; 3. penilaian dilakukan oleh tiga pakar (bidang, luar bidang dan metode). Pertandingan dilakukan selama dua hari mengambil kira keupayaan penilai. Selesai meeting pertama, Prof. Timbalan Dekan (Penyelidikan) baru dilibatkan sama. Maka, meeting bersama beliau dilakukan bagi mengesahkan usul yang diputuskan oleh ajk. Nama dalam satu dokumen, hanya saya dan Dr. Atifah sebagai PiC, dalam dokumen lain Prof. Zarrina sebagai pengerusi dan saya sebagai ketua.


Tindakan demi tindakan ... Poster siap (tahun lepas staf akademi yang buat, kali ini Nabihah aka roh [nama manjah] kepada Alif dilibatkan memandangkan beliau profesional dalam bahagian media), borang pendaftaran versi googleform diupgrade kepada linktree (power bagi saya generasi Y), pencarian 8 orang penilai setelah ramai yang tidak berkelapangan, tempahan hadiah, sijil dan makanan serta lain-lain (berdasarkan ToR), dan arahan saya, sebelum cuti raya by hook or by crook semua gerak kerja awal settle. And settled guys. Thanks in advance saya berikan. Selepas raya pula, gerak kerja lapangan bermula. Proses cetakan, penyusunan jadual dan kesemuanya berjalan. Fasa ini memenatkan minda dan badan.

“Bila ya kami boleh dapatkan surat pengesahan penerimaan abstrak?” Trigger pertama. Secara prinsip, semua dah settle sebelum raya. Usaha ini dilakukan oleh Jannah, pelajar Latihan Industri yang ditempatkan di Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan. Saya arahkan semakan semula, dan mereka maklumkan semua dah diambil tindakan sebelum raya. “Boleh tak proses penjurian hanya dilakukan secara satu hari sahaja?”. Kami semak semula garis panduan, dan jelas kami tetapkan untuk ready selama dua hari oleh sebab masa juri yang terhad. Hasil budi bicara Prof. pengerusi jadual disusun semula. Saya sebut, kalau demand sehari, sudah pasti akan ada demand satu sesi pula. And yeah exactly happened. Ada kawan rapat yang minta, saya kata tanya ajk. Ada yang tanya tidak disediakan makanan ke, saya kata kalau tahun lepas panel board sahaja dah RM115, hadiah RM50, dah over bajet, sedangkan yuran kali ini bermula RM150, belum masuk bayaran keperluan lain.

Sebagai ketua, saya tidak cenderung pindaan tersebut kerana segalanya telah disusun, bahkan syarat yang penganjur tetapkan tidak menjadi paksaan kepada peserta, siapa yang berminat dipersilakan, siapa ada komitmen lain juga dipersilakan. Saya sendiri akur with no demand kepada mana-mana penganjur untuk itu ini meskipun penglibatan sebagai invited speaker. Banyak lagi demand/request daripada peserta, saya hanya mampu ungkapkan keputusan atas ajk khusus atau refer to organiser. If you ask me, I will no ammend, follow the decision by the meeting. Saya keras sebab selaku setiausaha bagi dua NGO, presiden kata hormat kepada minit, nak pinda, usul agenda baharu. Ini perkara yang saya belajar ketika mengemudi persatuan pascasiswazah. Ajk sendiri, Zariff tersilap kategori pun saya tidak benarkan untuk membuat pindaan saat akhir kerana ia memberikan implikasi kepada unit pendaftaran dan hadiah meskipun ia memberikan merit kepada saya (saya juga ahli kajian).

Jarh dalam hadis iaitu luka. Luka bagi jawatankuasa. Antaranya, ajk anjur, ajk jadi peserta. Mereka tidak tahu kesemua poster ajk siap pada saat akhir, dan kehadiran poster Zariff dan Farzana pada asalnya bagi memenuhkan penyertaan sahaja. Hanya seorang sahaja ajk iaitu Azam yang mendapat emas, selebihnya perak dan poster yang saya pertaruhkan memperoleh gangsa. Bila saya sebut, saya tak masuk bertanding, masih ada nada yang mengatakan nama ada di poster. Saya kalau nak masuk bertanding, saya akan pertaruhkan projek 120k, namun pada meeting pertama saya sudah sebut, untuk elak bias, saya tidak turut serta secara langsung, dan ketua unit penjurian tidak boleh menyertai pertandingan, maka Arifuddin diamanahkan (Timbalan Pengerusi Lajnah Pascasiswazah).

Saya akui kerana saya merupakan rakan kolaborasi penyelidikan bersama invidu terlibat. Takkan kerana saya sebahagian daripada penganjur, rakan penyelidik tidak dapat turut serta. Kena lantik ajk yang tiada rakan penyelidik yang menjadi peserta kalau begitu sifir/formulanya. Meh saya lukakan lagi pasukan saya, 1. Alif the only peserta yang saya tumpu, poster siap sehari sebelum pertandingan, beliau tak dan nak ulangkaji kandungan poster. Masa kejadian, beliau ditugaskan mengirigi juri. Masa penjurian, saya sedang berjuang di luar demi lencana di dada, beliau terkontang kanting menggoreng tanpa syafaat; 2. Ustaz Handhalas, posternya meletakkan gambar Prof. masa muda; 3. Dr. Ida dari Unisba, tiada wakil ketika penjurian, 4. Zakwan, posternya penuh typo; 5-6. PM Dr. Khadher dan PM Dr. Faizuri, sdn. bhd. (saya tak tahu mereka masuk); 7. Zulfadli, beliau memang dari tahun 2023 platinum. Jika saya nakkan kemenangan, saya boleh arahkan 200 pelajar saya daripada kursus teras akademi untuk mengundi poster kami bagi anugerah khas (pilihan pengunjung). Oleh sebab nakkan segalanya trusted dan gunuine, biarkan sahaja takdir menentukannya meskipun ajk memaklumkan ada peserta membawa pelajar untuk membuat pengundian bagi posternya.

Macam-mana ragam serta kerenah yang dihadapi oleh anak buah saya yang sedang menimba pengalaman hidup dan berdiplomasi dalam pengurusan/pentadbiran. Terima kasih atas usaha dan komitmen yang diberikan. Sebagai ketua, untuk kali ketiga saya sebut, anda semua cukup sempurna, lagi-lagi setiap gerak kerja dibuat secara bersama bukan secara individu. Ketahuilah tiada kesalahan selepas berlakunya syura.

Jumaat, 3.30 petang 26 April 2024 di pejabat ummah.

 



 

Friday, January 27, 2023

Warkah buat Haziq Ikhmal 

Sekadar mencatatkan sebuah cerita sebagai kenangan yang tidak mungkin bisa diputarkan kembali. Sob3.

Haziq merupakan pelajar batch 2019. Sempat bersama dalam kelas untuk satu ketika sebelum Covid-19 melanda. Not really familiar. But yeah, sebagaimana saya sebut, Haziq selalu disebut oleh guru saya, Prof. Zarrina. Sebab apa, saya tidak tahu dan tidak pernah nak tanya. Maka, disebabkan ‘special’ saya mencemar duli untuk mengajak Haziq berbuka puasa bersama pada 27 April 2020 (jika tidak silap). Itulah pertemuan pertama. Walau bagaimanapun, saya dan Haziq tidak rapat, saya pun tidak pasti sebab apa sehinggalah kami bertemu sekali lagi dalam satu kelas. Masa ni Haziq dah dewasa (malas nak ingat sem berapa).

Haziq ni ada idea untuk berkarya dalam mengemukakan pandangan. Boleh menterjemahkan apa yang saya sampaikan tetapi tidak difahami oleh pelajar lain, begitu juga Haziq mampu menjelaskan tutur kata yang tidak jelas disampaikan oleh rakan sekelasnya. Cuma satu perkara yang menjadi sindrom bagi Haziq ialah Haziq berasa rendah diri atau insecure dengan kawan-kawannya. Sebab Haziq lihat kawan-kawan banyak menulis dengan saya. Nak buat macam mana, kita mana rapat. Hanya sebatas chipsmore, bersama apabila perlu.

Sem 7 merupakan cerita klimaks antara Haziq dan saya. Klimaks yang menuju fasa penutup cerita. Masa ini Haziq memilih saya sebagai penyelia Kertas Projeknya. Guys, siapa tidak suka dapat pelajar yang anda impikan. Al-maklum sumpah seorang guru adalah tidak boleh memilih muridnya melainkan murid ada hak untuk memilih gurunya. Saat nota ini ditulis, baru saya beritahu sepanjang perkhidmatan saya, inilah kali pertama saya mendapat pelajar yang saya sendiri inginkan. Selama ini banyak yang dilepaskan kepada saya sahaja. Tapi saya tetap menerima tanpa syarat, alhamdulillah.

Cerita takdir sangat unik. Boleh jadi apa yang kita inginkan belum tentu baik buat kita. Saya teringat ketika pertama kali saya menjadi guru iaitu di sekolah rendah. Saya menjadi guru kelas pelajar tahun tiga dan kelas yang terakhir. Mula-mula rasa saya lebih layak mengajar pelajar pandai, tapi ternyata salah sangkaan tersebut. Jika kita rasa diri kita hebat, sudah pasti kita berjaya membimbing pelajar menjadi cemerlang. Dan boleh jadi, sangkaan kita mampu mendidik pelajar hebat ternyata tersasar sehingga menyebabkan pelajar cemerlang merundum pula.

Begitu juga kisah saya bersama Haziq. Pada peringkat awal penyeliaan, masing-masing bersemangat berganding bahu memulakan penulisan Kertas Projek. Bermula laju saat rakan-rakan lain belum bermula. Mesyuarat jabatan pun sangat lancar membincangkan tajuk tesis Haziq. Cuma hari demi hari mendung datang, hujan menjelma. Kepelbagaian keadaan mengindahkan suasana. Bebelan, perjanjian sehinggalah ugutan telah digunakan, tetapi saya tetap masih gagal membimbing Haziq dengan baik dan sempurna.

Walau bagaimanapun, usaha Haziq saya kira sangat berbeza dengan kawan-kawan. Haziq berdikari berjumpa dengan pakar, mengurus dengan pihak sekolah untuk mengumpul data. Pengalaman yang boleh dijadikan bekalan selepas fasa Sarjana Muda. Biasa saya akan bersama pelajar dalam setiap tugasan mereka. Tetapi untuk Haziq, saya lepaskan untuk melihat Haziq mandiri. Jika jatuh, baru saya akan angkat.

Maaf Haziq sebab saya gagal menjadi penyelia yang terbaik. Jika Haziq bersama pensyarah lain mesti lebih berjaya dan memberi makna dalam hidup. Terima kasih untuk 14 minggu ini. Terima kasih atas setiap moment bersukan, makan, musafir dan segalanya. Semoga Haziq lebih berjaya selepas ini. Moga hasrat ingin menjadi Pegawai Tadbir Diplomatik berhasil. Banggakan ibu dan ayah. Kotakan janji dengan arwah adik. Jaga Zack dengan baik. Hehehe. Terima kasih. Saya sayang Haziq Ikhmal saya.



27 Januari 2023

5.54 pm

Hujan lebat oiii 

Wednesday, August 18, 2021

Kembalikan Corak Kepimpinan Zaman Silam

 


SEPERTI mana yang kita maklum, Negara kita Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Inilah acuan dan sistem yang digunakan oleh Negara kita sejak mencapai kemerdekaan.

 

Kewujudan Parlimen membuktikan Malaysia mempunyai kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dan perwakilan yang dipilih bagi menganggotai Dewan Negara dan Dewan Rakyat bagi merealisasikan aspirasi rakyat.

 

Ahli Dewan Rakyat sebagaimana yang diketahui merupakan Ahli Parlimen yang dilantik melalui pilihan raya. Mereka diundi oleh rakyat sebagai wakil untuk menjaga kebajikan mereka.

 

Ahli Dewan Negara pula yang digelar sebagai Senator, mereka berperanan dalam membahaskan rang undang–undang membincangkan perkara yang berkaitan dengan kepentingan umum Negara.

 

Walaupun Ahli Dewan Negara tidak dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya, namun dikatakan kebanyakan ahli senator terdiri daripada ahli parti pemerintah.

 

Oleh yang demikian, sebagai rakyat kita bertanggungjawab dalam memilih wakil dalam kalangan masyarakat yang paling layak bagi mengisi kedudukan tersebut agar Badan Perundangan Negara dapat berfungsi dengan signifikan, efektif serta memelihara kepentingan warganegara dengan baik. Pendek kata, wakil rakyat berkhidmat untuk membela nasib rakyat.

 

Namun, hari ini sikap serta pendirian berbolak balik sebahagian pemimpin yang dilantik telah menyebabkan kerajaan yang dibina atas nilai kesepakatan berubah. Kemelut politik yang berlaku bukannya sekali, tetapi kita telah dikejutkan sebanyak dua kali dalam tempoh sepenggal pemerintahan.

 

Selain mencemarkan sistem demokrasi yang diamalkan setelah sekian lama, sikap yang dipaparkan oleh sebahagian ahli politik kini seolah-olah tidak lagi berkhidmat untuk membela nasib rakyat tetapi untuk menyelamatkan periuk nasi masing-masing.

 

Budaya politik tidak sihat ini perlu dihakis sebelum membarah dan memberi kesan yang lebih teruk. Rakyat perlu sedar, kita sebenarnya memerlukan pemimpin yang mampu membawa perubahan kepada Negara dan bukanlah individu yang hanya pandai bersembang lebat tanpa sebarang hasil.

 

Cukuplah menaikkan individu yang tidak kompeten dan hanya melalak di parlimen tanpa menyelesaikan masalah rakyat.

 

Persoalan yang sentiasa berlegar di minda dan menjadi kerisauan di jiwa kita, berapa kalikah kerajaan atau pemerintahan perlu bertukar sehingga ianya stabil dan menemui kesempurnaan?

Imbau Kembali Pemerintahan Era Gemilang

 

Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin agung sepanjang zaman. Ketokohan dan keunggulan keperibadian baginda tidak dapat ditandingi.

 

Perkara ini bukanlah diangkat dan disanjung oleh masyarakat Islam sahaja. Baginda juga diangkat oleh Barat kerana Baginda bukan sahaja pemimpin untuk bangsa Arab, namun seluruh makhluk yang wujud di alam ini.

 

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam”. (Surah al-Anbiya’, ayat 107).

 

Baginda memiliki peribadi pemimpin yang unggul buat keluarga, masyarakat dan Negara serta menjadi sumber inspirasi dalam kehidupan dengan mengsinergikan keperluan di dunia dan akhirat. Pendek kata, riwayat hidup Baginda merupakan “Blue Print” terbaik untuk kita teladani.

 

Kesempurnaan diri disertakan dengan pemerintahan yang adil dan bersistematik Baginda telah melahirkan bukan sahaja era gemilang bahkan tamadun yang terkuat dan terbesar serta menggoncangkan dunia.

 

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi semasa pemerintahan Baginda bukanlah fantasi dan cerita dongeng. Jika disingkap kembali lipatan sirah, Baginda sentiasa melakukan perancangan yang teliti dalam membuat apa jua keputusan dengan mengambil kira kesan buruk dan baik.

 

Kesannya lahirlah pemerintahan seterusnya yang mana terserlah beberapa kerajaan awal yang hebat seperti Umaiyyah, Abbasiyyah dan Turki Uthmaniyyah dalam memimpin rakyat sehingga berjaya menguasai dunia dan melahirkan tokoh pelbagai bidang umpama saintis terkemuka, ahli falsafah, doktor perubatan dan banyak lagi.

Pemimpin Berjiwa Besar

 

Kunci kejayaan sesebuah pemerintahan adalah seperti politik yang kuat dan stabil, ekonomi yang mampan serta ketenteraan yang kuat, namun kesemua elemen ini perlu dipasakkan dengan roh keimanan.

 

Semangat bersatu padu sesama pemimpin dan rakyat adalah sangat penting kerana ia merupakan tunjang utama kepada kekuatan sesebuah pemerintahan. Kedua-dua komponen memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Negara yang aman damai.

 

Seorang pemimpin perlu mengurus tadbir dengan berhikmah menjaga sensitiviti rakyat di bawahnya tidak kira latar belakang agama, bangsa, ekonomi dan sebagainya. Inilah kualiti dan sikap yang perlu diketengahkan.

 

Berbeza dengan hari ini, lebih menyedihkan apabila terdapat figura politik sendiri yang menunggang isu dan menjadi batu api bagi memecah belahkan rakyat dengan menyerang parti lawan. Maka, hilanglah sikap semak dan imbang dalam sesebuat pentadbiran.

 

Setiap usul dan cadangan perlu dibincangkan bersama oleh semua pihak dengan cara yang terbaik. Sekiranya terdapat masalah yang timbul, perundingan bagi mencari titik temu solusi perlu dibudayakan.

 

Para pemimpin Negara hari ini harus mencontohi zaman kegemilangan terdahulu sebagai model rujukan serta mengambil iktibar terhadap punca kejatuhan sesebuah empayar dengan penuh rendah hati dan muhasabah diri.

 

Tatkala Negara kita masih diuji dengan pandemik COVID-19 yang belum berakhir, pemimpin perlulah bersatu hati dan kurangkan bersengketa sesama sendiri.

 

Jawatan dan pangkat yang diberikan bukanlah satu kemuliaan, namun ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoal di akhirat kelak.

 

Kepada semua pemimpin rakyat, berkhidmatlah dengan sebaiknya agar Malaysia kekal utuh, stabil dan kita sebagai rakyat terus hidup dengan harmoni, aman dan damai.

 

Rakyat Malaysia juga bakal menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan atau Kemedekaan kali ke-64 pada 31 Ogos 2021.

 

Dr. Mohd Syukri bin Zainal Abidin merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya manakala Muhamad Arif Asnawi bin Mat Zaki ialah Pelajar Tahun 1, Jabatan Fiqh dan Usul di akademi tersebut.

 

Penulisan ini diterbitkan oleh BEBASnews pada 18 Ogos 2021 di pautan: https://bebasnews.my/?p=67737

 

 

 

 

 

 


Friday, August 14, 2020

Acceleration to PhD

Bismillah.

 

Kali ini saya berhasrat untuk membebel pasal kemasukan terus ke PhD, memandangkan keputusan peperiksaan akhir baru keluar dan ada dua calon yang sedang melalui proses temu duga di peringkat jabatan sebagai prosedur sebelum mendaftar pengajian.

 

Sekejap, di mana nak bermula ya. Mula-mula banyak idea, bila mengadap PC terus jeng kreng.

 

Baik, pertama sekali ada beberapa orang pelajar, kawan dan pensyarah bertanya saya apa pandangan terhadap kemasukan terus ke PhD tanpa ada pengalaman pengajian sebagai graduan Sarjana. Skrip jawapan saya di mana-mana adalah fahami falsafah pengajian pasacasiswazah terlebih dahulu, kemudian semak balik nawaitu kita bagaimana. Perkara ini tidak tertakluk kepada trek pengajian terus ke PhD, bahkan diterima pakai juga bagi graduan Sarjana Muda yang ingin menyambung pengajian ke Sarjana dan Sarjana ke PhD. Praktikalnya tetap sama. Pertama, menyambung pengajian adalah pilihan, bukannya suatu kewajipan, maka apabila ia hanyalah option, dorongan akan sentiasa berbolak balik menjadi turun dan naik. Kedua, setiap peringkat pengajian mempunyai level kesukaran yang berbeza. Sarjana coursework, mix mode dan full research, begitu juga Doktor Falsafah aka PhD. Bagi saya, sarjana coursework ibarat dua kali ganda Latihan Ilmiah, belum lagi mod yang lain. Secara rumusannya, tesis PhD umpama enam kali ganda Latihan Ilmiah; dua atau tiga kali ganda disertasi Sarjana mod penyelidikan. Ini pandangan saya, tidak terima dipersilakan. Seperti mana di catatan blog yang lepas, graduan PhD adalah seorang scholar atau mujtahid kecil (mohon izin menggunakan istilah ini), perkara usul dalam sesuatu disiplin ilmu seharusnya dikuasai.

 

Again, senior-senior yang berpengalaman selalu ungkapan kata “No tears, no PhD”. Di situ anda boleh tafsirkan berdasarkan perspektif masing-masing. Anda perlu bersedia dengan sebenar-benar persiapan. Masa dan duit perlu dikorbankan. Niat dan komitmen menjadi aset serta pelaburan utama. Sambung pengajian disebabkan nak hebat, nak jadi pensyarah, tiada kerja itu penghalang mahupun cabaran dalam perjalanan seorang penuntut ilmu. Ada rekod yang berjaya, ada juga rekod yang sebaliknya. Menghadapi masalah kesihatan mental pun ada. Maaf, saya suka cerita aspek negatif supaya kita sentiasa dalam keadaan sedar bukan separa sedar ataupun merasakan persis orang kayangan. Di sekeliling saya ramai yang kuat usahanya, lagi-lagi mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia penyelidikan. Usaha adalah tugasan dan tanggungjawab anda, Allah SWT penentu segalanya. Istikharah terlebih dahulu, cuma persoalan saya, bagaimanakah pendirian kita bila mana clue yang kelihatan adalah negatif? Boleh sama-sama kita renung serta muhasabahkan.

 

Calon PhD adalah calon PhD. Tidak kira apa latar belakang anda, graduan cemerlang Sarjana, graduan dekan Sarjana Muda, ataupun individu beshew-beshew sahaja, syarat adalah tetap sama. Tahun 2020 bakal menghasilkan sekitar kurang lebih 50 lebih graduan PhD di fakulti. Maka, siapakah dan ke manakah anda dalam kalangan ini? Saya graduan 2018 bersama 55 graduan yang lain. Saya cuba mencari sedikit perbezaan berbanding orang lain. Saya membuat penyelidikan integrasi dua bidang dengan menggunakan metode yang baharu serta menghasilkan penerbitan yang lebih daripada yang disyaratkan dan mempunyai indeks yang tinggi. Akan datang, bermula 2021 dan ke atas, pencapaian saya boleh dikira lapuk. Maka, anda perlu mencari sesuatu yang jauh lebih baik daripada graduan yang ada pada sebelumnya. Berdikari mencari ilmu, pengalaman dan kemahiran yang ada di luar tanpa bergantung harap kepada penyelia.

 

Ok saya tarik brek tangan secara mengejut. Kita sambung coretan akan datang. Tak bolehlah kongsikan sekali gus. Habislah modal saya. Hehehe. Selamatlah semua ya. Semoga kita dipermudahkan dalam segala urusan.  



Wednesday, December 18, 2019

Indahnya rezeki Tuhan


Syukur kepada Allah SWT kerana sentiasa menentukan takdir yang baik sehingga ke saat ini. Bagi semester 1 sesi 2019/2020, aku diberikan kelas pengajaran bagi subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia di Pusat Sukan dan fakulti Sains, setelah kesemua rakan pensyarah lain memilih fakulti yang diinginkan terlebih dahulu. Aku agak tidak berminat dengan pelajar sukan pada awalnya dek kerana junior aku ada pengalaman terhadap keaktifan diri mereka yang sukar dikawal di dalam kelas. Jika diikutkan pengalaman semester lepas, subjek ini diajar berdasarkan bidang pengajian. Sebagai contoh, aku mengajar di fakulti Saster dan Sains Sosial, maka pelajarnya kesemua dari bidang tersebut. Berbeza pada sesi kali ini. Pengajaran diadakan di mana-mana fakulti, namun pelajarnya tidak terhad pada satu fakulti sahaja.
            Sebelum masuk ke kelas pada hari pertama, aku hanya mampu berdoa dan bertawakal terhadap apa-apa kerenah pelajar aku. Mengamalkan prinsip seorang daie iaitu menerima tanpa syarat serta berbekalkan pengalaman yang ada dalam berhadapan dengan pelbagai jenis manusia daripada berbagai ragam. Pelajar sukan ini merupakan pelajar majoriti, berbanding dengan pelajar daripada bidang yang lain. Yang seronoknya mereka semua atlet, tidak kira wakil Negara mahu pun di peringkat yang rendah. Bermula pertemuan pertama iaitu sesi perkenalan, mereka menunjukkan roh yang baik, aktif berpakaikan kesopanan dan ketamadunan yang tinggi. Bermula daripada minggu pertama sehinggalah ke minggu akhir pengajaran. Kurang lebih 2 jam menjadi tempat aku berehat dan menghilangkan tekanan yang ada. Telatah adik-adik tahun satu katakan, masih belajar erti kematangan mungkin.
            Nak ceritanya aura kami mampu disatukan apabila kami mampu keluar berjimba bersama dan mereka memilih berjumpa dengan aku atas beberapa urusan sedangkan aku bukan pensyarah fakulti mereka. Ini dinamakan kasih dan sayang tidak mengenal siapa. Aummm. Dalam kegembiraan bersama mereka, aku tetap mempunyai impian terhadap mereka. Aku ingin mengajak mereka terbang sama tinggi dengan aku di sisi. Tapi aku lupa mereka baru hendak mengenal apa itu universiti. Ada beberapa ketika aku merasa lemah melihat prestasi mereka yang tidak memenuhi kayu ukur aku. Selepas berjumpa dengan guru aku dan bermuhasabah, aku kena berjiwa besar untuk membimbing mereka langkah demi langkah, bukannya terus mengajak mereka terbang tinggi.
            Pada saat ini tiada lagi apa hendak aku sampaikan. Tembok keegoan telah aku robohkan bagi memastikan mereka berjaya dengan cemerlang tanpa sedikit pun rasa was-was di hati. Aku sangat berharap mereka berjaya dalam dunia yang mereka pilih untuk menjadi hero kepada keluarga terutamanya. Kesempatan aku sudah tiada. Masa juga sudah tamat. Aku harus pulang ke tempat yang aku bermula. Namun, diri aku masih terbuka seluas langit dan bumi menerima kehadiran mereka meskipun peluang kedua untuk bersama mereka secara formal tidak mungkin berulang. Aku menjunjung kemuliaan mereka demi kebahagian mereka. Jaga diri. Kenang aku dalam lipatan sejarah kehidupan kamu.        

- 18 Disember 2019; 16.00 -












Sunday, November 24, 2019

Kehidupan sebuah takdir

Saya pada mulanya tidak berhasrat berkongsinya pada tatapan umum, tetapi ada satu hari saya terbaca sebuah posting menarik yang dikongsikan oleh seorang pemegang PhD. Jadi, saya terinspirasi untuk berkongsi juga. Namun begitu, matlamat apa yang hendak diceritakan tidak lain adalah untuk menanam serta memupuk keimanan yang tinggi terhadap Allah SWT, melaksanakan ibadah sebagai bukti keyakinan terhadapNya serta berusaha bersungguh-sungguh sebagai peranan sebagai seorang hamba.

Saya memasuki Universiti Malaya pada 2008 bagi program Asasi Pengajian Islam. Ketika itu, kampus terletak di Nilam Puri, Kelantan. Kemudian, saya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam di kampus Utama, Kuala Lumpur pada tahun 2010. Seterusnya, saya menyambung terus pengajian ke peringkat PhD pada 2015 dengan tajaan Biasiswa Universiti Malaya. Jika dihitung, kurang lebih 10 tahun keberadaan saya di kampus sehingga selesainya pengajian PhD pada tahun 2018. Pada tempoh tersebut, saya sangat selesa dengan persekitaran varsiti, termasuklah juga pihak pengurusan, pentadbiran, staf sokongan dan pensyarah. Boleh dikatakan 10 tahun saya tidak menghadapi sebarang masalah ketika berada di varsiti, alhamdulillah.

Secara peribadi, mereka yang berada di varsiti untuk tempoh pengajian yang lama tidak kira mana-mana kampus sekalipun, sudah pasti mereka akan selesa untuk turus berada buat selamanya. Pilihan dan keputusan ini menjadi amalan para guru saya. Mereka berkorban untuk terus berjuang di Universiti Malaya, meskipun berada pada kedudukan taraf pekerjaan yang rendah. Bahkan, ada juga yang menolak tawaran kenaikan pangkat di tempat lain demi varsiti yang dicintai. Mahabbah adalah level paling tinggi yang tidak mampu diganggu gugat oleh apa pun. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan juga bahawa ada juga individu yang mengangkat kaki berhijarah demi kebaikan yang lebih baik. Apa yang saya ingin sampaikan, ‘penipu’lah jika ada yang kata dia tidak sayang varsiti yang melahirkannya melainkan dia mengalami pengalaman tidak indah ketika keberadaanya di kampus.

Iya, Universiti Malaya adalah pilihan nombor satu saya. Begitulah pada awal pemilihan selepas SPM, begitulah juga institusi pengajian yang saya ingin berkhidmat. Namun, ada beberapa tragedi berlaku yang cuba mengetepikan penampilan aktif saya di kampus. Episod demi episod tersebut menyebabkan saya memaksa menggagahkan diri memohon penempatan perkhidmatan di tempat lain. Bahkan, saya memutuskan untuk membina hidup baru di luar ibu kota. Saya berhasrat untuk memadamkan memori yang ada sepanjang 28 tahun dan membina kehidupan baru bagi baki 32 tahun jika dipanjangkan usia. Saya berkeyakinan bahawa takdir akan memutuskan sebaik-baik tempat buat saya.

Diringkaskan cerita, selepas mendapat gelar pemegang doktor falsafah, saya terus memohon jawatan di Universiti Malaya atas saranan bekas penyelia saya. Hanya beberapa minggu saya mendapat jawapan permohonan saya ditolak atas justifikasi tiada waran atau slot kosong yang boleh diisi. Keputusan ini dibuat oleh Bahagian Sumber Manusia tanpa melalui pihak fakulti mahu pun jabatan terlebih dahulu. Tidak mengapa, ini memang bidang kuasa mereka, walaupun dikatakan secara kebiasaannya permohonan akan dibawa bincang di peringkat jabatan dan kemudiannya di bawa ke mesyuarat pelantikan fakulti. Prinsip yang sudah tertanam dalam jiwa saya adalah tidak perlu meresahkan apa yang sudah berlaku kerana ianya sejarah dan fakta yang sudah tertulis. Kita perlu berusaha meneruskan mencipta buku-buku sejarah baru yang lebih besar pada masa akan datang.

Dalam tempoh setahun, saya telah mencuba menghantar permohonan di pelbagai negeri. Namun, Pahang adalah negeri utama yang ingin saya migrasi. Kampung kelahiran emak dan ayah saya. Saya ingin membawa mereka bersama-sama menjalani fasa akhir kehidupan di sana. Temu duga demi temu duga saya hadiri bersama mengharungi pelbagai ujian kehidupan yang memenatkan emak saya khususnya. Saya jelaskan bahawa dunia ini adalah ujian. Semua pasti melaluinya dengan reka bentuk yang berbeza. Saya menghadiri satu temu duga yang terdiri daripada enam orang calon dan hanya saya salah seorang pemegang PhD. Jika dianalisis secara logik kuantitaf, pasti saya menang bergaya. Namun, takdir bukan begitu. Takdir adalah ketentuan mutlak daripada Allah SWT yang Maha Berkuasa, tidak mampu diukur oleh sesiapa pun dalam kalangan makhluknya.

Dalam proses mencari pekerjaan yang baik, saya menggalas terlebih dahulu kerja-kerja biasa terlebih dahulu. Pegangan sedemikian telah menjadi pengalaman buat saya. Secara kebetulan, saya dimaklumkan oleh rakan sekerja bahawa terdapat seorang pensyarah senior yang akan bersara tidak lama lagi. Yeah. Saya terus memohon jawatan tersebut bertawassul rakan tadi. Ketika waktu temu duga, saya agak terkejut apabila ada tiga lagi calon yang akan bersaing satu jawatan tersebut. Kami perlu melalui dua peringkat tapisan; fakulti dan universiti. Saya menganalisis bahawa saya merupakan calon yang paling kurang berpengalaman. Calon lain tidak sangat luas pengalaman mereka. So, secara statistiknya saya pasti tewas juga bergaya. Walau bagaimanapun, sebelum temu duga peringkat kedua berlangsung, bekas penyelia saya maklumkan bahawa dekan fakulti tersebut ingin mengambil saya bekerja. Namun begitu, dekan fakulti saya memaklumkan kepada dekan tersebut bahawa nama saya telah melepasi mesyuarat jawatakuasa tapisan pensyarah fakulti dan telah dibawa ke sesi temu duga universiti. Bak kata pegawai pengambilan staf, saya ini persis pisang goreng panas yang menjadi pilihan dua fakulti. Haa gichew. So, saya diletakkan sebagai calon simpanan incase kalau fakulti saya tidak mahu ambil, dekan tersebut akan ambil.

Jangan riyak guys. Cerita belum habis lagi. Tunggu punya tunggu untuk temu duga jawatan pensyarah di fakulti saya sendiri, saya mendapat perkhabaran bahawa kekosongan sudah diisi. Jadi, permohonan saya dibekukan seketika dan perlu dibawa ke mesyuarat Sumber Manusia varsiti semula. Peh. Ini dikatakan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Seperti biasa, doa adalah alat untuk kita menyatakan hasrat kepada Allah SWT. Walau bagaimanapun, takdirNya tidak pernah sama sekali salah mahu pun kurang tepat. Akhirnya, saya dipanggil untuk ditemu duga peringkat universiti. Seperti biasa, mesyuarat dipengerusikan oleh TNCA, diikuti dua wakil senat dan pegawai dari Bahagian Sumber Manusia. Pasal panel, tidak diperbahaskan. Universiti ranking ke-70, sudah pasti panelnya yang terbaik. Walau bagaimanapun, uniknya Universiti Malaya, temu duga mengambil masa hanya 10 minit sahaja dan tidak perlu membawa apa-apa dokumen pun. Saya datang lenggang kangkung sahaja. Bukan apa, kalau bawa dokumen dikhuatiri pelbagai persoalan akan timbul. Walaupun temu duga berjalan sekadar 10 minit, soalan pertama sudah mampu membuatkan anda blank dan black out. Kekosongan untuk PTj saya ada dua, namun pihak Sumber Manusia memaklumkan saya seorang sahaja yang berjaya. Ini kerana seorang calon lagi tidak memenuhi merit yang dikehendaki oleh jawatankuasa.



Guys. Tahukah anda setiap detik itu ujian? Ujian yang hendak memastikan anda sentiasa berpijak kepada bumi dan bukan mendongakkan diri ke langit. Tahukah anda selepas melapor diri, bahagian penggajian universiti tidak menemui waran saya. Fuh suspen. Akhirnya Puan Hasanah berjaya menyantuni panggilan saya setiap hari dengan baik (sebab saya menyantuinya dengan baik terlebih dahulu). Sekian dulu buat masa ini. Saya tidak dapat berkongsi 100% dari A hingga Z apa yang berlaku. Nanti kita bersua muka, kita berbincang lebih lanjut ya (Jika saya nak la :-p). Tips pun kena buat slot khas. Tidak boleh dimuatkan sekali gus semua perkara. Make a appoinment, we drink a cup of coffee and discuss about it. See ya.

24 November 2019
Bilik Rumah

Thursday, May 2, 2019

Jalan-jalan Cari Pasal


Aku mempunyai pengalaman 3 semester (2015, 2016 & 2017) mengendalikan tutor. 5 subjek, 6 kelas dan ratusan pelajar. Kelas paling aku suka adalah... (jeng3). Mereka aku dah hilangkan dari radar hidup aku (shob3). 2019 sekali lagi bekas penyelia aku mempelawa aku untuk mengendalikan kelas, tapi kali ini kuliah dan tutor sekali gus. Mmm. Tawaran yang aku amat sukar untuk dilepaskan dek kerana jiwa aku setakat hari ini suka untuk berhadapan dengan ramai manusia (sila baca: pelajar). Tahun ini lainnya, selain daripada aku mengajar pelajar luar fakulti, aku juga dapat budak-budak usia dewasa sekitar 24 tahun. Fikiran dan tingkah laku yang agak matang. Halus bicaranya. Tinggi pekerti.

            Aku pernah mengajar rakan sebatch mereka tapi lemahnya aku menyebabkan mereka sangat krik-krik. Tapi kali ini intake mereka gila dan berani mengajak aku sambut ramadan dengan aktiviti yang fun. Bak kata orang London “kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan”. Nak harapkan aku yang ajak memang taklah. Cukuplah spoil-spoil yang lepas (kah3).

            Sebagai tenaga muda sambilan, aku suka menerapkan unsur inovatif dalam pengajaran. Integrasi ilmu dalam kuliah dan praktikal di kajian lapangan. Maka dijadikan cerita, perancangan dan aturan Allah yang termaktub di lawh mahfuz, awal Mei kami berlima (dua tidak dapat turut serta) menjalankan tutor di Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komunikasi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Kebetulan pula aku dijadualkan bertugas pada waktu itu. Bukan itu sahaja, indahnya perjalanan yang ditentukan Tuhan, mereka dapat duduk bersama dengan pihak Jabatan dan Majlis Agama Negeri seluruh Malaysia. Bahkan dapat kuliah percuma bersama dua tokoh dan figura hebat dalam bidang pentadbiran dan akademik. Meskipun mereka kelaparan tidak mengambil makanan sejak dari pagi lagi, mereka paksakan juga diri mendengar kalam orang berpengalaman walaupun zahirnya anggota badan gelisah untuk memenuhi keperluan fisiologi diri.




            Dipantaskan cerita, sebagai super senior yang acah kpop, mereka melahirkan kebersamaan (ada agenda tersembunyi sebenarnya) dengan aku makan tengah hari menu korea. Walaupun pada awalnya ‘macam kancil masuk bandar’, akhirnya mereka lebih korean daripada aku. Licin kuali ditibainya.



            Kemudian, kami memasuki ke grand program. Program yang diketuai kadet darat Universiti Malaya. Janji yang dicapati pada semester lepas dan dibawa ke semester ini (aku tidak pernah lupa dengan janji-janji manusia). Riadah tatkala aku ponteng kerja dan mereka ponteng kelas. Harreiii. Masa ini Allah buka ‘hijab’ aku (kasyaf), aku nampak mereka meletakkan niat untuk juara. Habis semua pakat tersipu-sipu riyak termasuklah aku sekali. Lelz.


Aku ambil game kedua sahaja sebab game pertama markah tidak lengkap :-p
            Selesai sudah dating mereka (2 lelaki, 2 perempuan, aku cover line). Sangat cute apabila mereka ketagih selfie dengan dua orang artis; seorang masa tengah makan, seorang lagi Umi Nazirah dalam kedai baju. Aku tidak hairan langsung dengan retis selebriti sebab Redza Rosli jalan bersama aku. Hew3.



Hamdalillah, suatu kesempatan yang cukup pendek di kala masing-masing mempunyai tanggungjawab tersendiri. Aku sangat sangat berharap pertemuan kami dirahmati Allah dan perpisahan antara kami akan dipelihara sentiasa. Doakan aku sentiasa dapat memperbaiki diri, terus menerus istiqamah berbakti kepada ummah seluruhnya. Ramadan kareem. Jumpa iftor vvvip nanti jika aku masih bersama kalian dan hati kalian ada aku (nampak tak falsafah psikospiritual).

Malam Jumaat,
2 Mei 2019
11:30 pm

Sila tonton dalam bentuk video:

https://www.youtube.com/watch?v=ZoP8YzJUf-E&feature=youtu.be